Sabtu, November 29, 2008

BANDAR NOSTALGIA
(KUALA KANGSAR, AKU DATANG!)

Sejurus bersantai dan mandi-manda di Bukit Merah, kami berhajat untuk berhenti solat. Lantas selepas hampir sejam memandu, saya menyusur keluar ke kiri. Masuk ke Tol Kuala Kangsar. Selepas 6 tahun, inilah kali pertama, saya mampir ke Kuala Kangsar. Ya, Kuala Kangsar, aku datang!

Ia bandar nostalgia bagi saya. Arwah ayah pernah bersekolah di MCKK sekitar tahun 50-an (barangkali senior kepada DSAI). Sementara saya menjalani latihan praktikum selama lebih kurang 3 bulan sekitar awal 2001. Di sebuah sekolah yang mewah sejarah. Di Madrasah Idrisiah Bukit Chandan (MIBC), Kuala Kangsar. Entah bagaimana saya tergerak untuk memilih sekolah diraja ini menjadi tempat latihan ilmu perguruan saya, saya tidak tahu. Yang pasti, saya jatuh cinta dengan sekolah ini dan Kuala Kangsar juga. Di sini bagi saya, kedamaian bagaikan melata. Tenang. Setenang air coklat Sungai Perak yang mengalir lesu. Sungguh saya rindu dengan daerah damai-tenang ini.

Lalu, kami singgah di Masjid Ubudiyyah yang indah metah di kaki Bukit Chandan. Dahulu, semasa zaman bujang di sinilah saya kerap bersolat jemaah dan sempat juga mengenali sebahagian ahli jemaahnya. Binaan masjid ini hebat. Kedudukannya strategik. Lanskapnya cantik. Di hadapannya, di seberang jalan, berdiri tegap Madrasah Idrisiah. Nun di atas bukit sana, Istana Iskandariah Bukit Chandan. Di tepi sebelah kiri istana, ada padang bola tempat saya dan para pelajar MIBC bermain bola sepak saban petang.

Sayang sekali, teman baik saya, Ustaz Syaffawi Zainon pulang ke kampungnya di Kampung Gajah. Namun saya tetap singgah ke MIBC. Rindu ini harus saya langsaikan. Memandu masuk ke dataran asrama-sekolahnya, meninjau-ninjau dari dalam kereta, kemudian keluar semula setelah tidak menemui kelibat teman-teman lama. Tiada sesiapa yang mengenali saya kecuali guru-guru lama yang tentunya sedang bercuti. Generasi pelajarnya yang pernah saya mesrai dulu sudah tiada. Sudah tamat sekolah. Malah ramai juga bekas pelajar yang menegur saya bila berlaga bahu di UM atau di mana-mana juga.

Jam 7 malam, kami keluar dari MIBC dan menuju ke selatan. Insya-Allah, panjang umur akan datang lagi. Ah, berat rasanya mahu meninggalkan bandar nostalgia!

4 komentar:

Dyat 10:01 PG  

salam ustaz.
KK ni kampung mak sy.
perkara wajib jika disini adalah pekena laksa dan cendol.

=)

Zaid Akhtar 10:34 PG  

Dyat,
tak sempat nak singgahlah tempoh hari. geram juga. saya selalu petang-petang hirup cendol enak di gerai kuala (betul-betul muka kuala)hingga menjelang maghrib.

kalau malam pula, makan malam di stesen keretapi. er, pernah 'pekena' mi kicap? tak akan dijumpai di mana-mana, kecuali di KK.

::simple-shida:: 12:49 PG  

salamun alaik.. slm menjengah blog ust.. kami team ukhwah.com bru je ke masjid ubuduiah. huhu.. bestt.. lama juge ana xkesana..
team UC ada rehlah ke sana.. JK Kembara ke bumi perak.. ;)

wokeh ust.. jumpe lg.. barakallahu.. salam perjuangan !!

Harizzamzuri 1:34 PG  

ustaz penah ajar saya dulu. 2 ibnu rusyd...kini saya pn bakal menjejak kaki seperti ustaz-menjadi seorang guru

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP