Selasa, November 11, 2008

ERTI KONVOKESYEN

Seperti watak Sumayyah dalam Salju Sakinah, saya tidak pernah menghadiri majlis konvokesyen. Sungguh. Semasa tamat studi dulu, iaitu sekitar Januari 2000, saya terus pulang ke Malaysia sejurus beroleh transkrip. Majlis konvokesyen universiti pula diadakan pada awal musim panas - sekitar pertengahan Jun. Ijazah saya wakilkan kepada kawan untuk menguruskannya.

Justeru majlis palin
g grand (mungkin tidak bagi sesetengah individu) sepanjang hidup yang pernah saya hadiri hanyalah majlis penyampaian hadiah-hadiah sastera di peringkat kebangsaan mahupun negeri. Meskipun bukan sehebat konvo, namun beberapa hadiah yang saya terima itu tetap mempunyai kenangannya tersendiri. Tetap mendapat ruang yang istimewa dalam memori diri.

Bagaimanapun, baru-baru ini saya cuba menghadiri sebuah majlis konvokesyen. Bukan pada peringkat IPT, tetapi peringkat PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) Kawasan Segamat. Nailofar (Nil) puteri sulung saya, dikhabarkan oleh gurunya, akan menerima hadiah dalam majlis konvo tersebut. Gembiranya hati mendengar pertama kali anak sendiri akan menerima hadiah adalah pengalaman baru bagi saya. Sama sekali berbeza dengan rasa girang apabila diri sendiri diberitakan akan menerima hadiah daripada TPM, PM atau putera raja sekalipun.

Saya lekas terkenang semasa berumur enam tahun dahulu. Ketika itu saya bersekolah tadika di Jalan Bulang (sekarang tapak sekolah itu tiada lagi sebaliknya dijadikan stesen bas dan teksi Endau). Pada penghujung tahun 1983 itu, saya menerima hadiah murid kedua terbaik daripada Allahyarham YB Kadri Sabran. Saya masih ingat, tempat pertama dimiliki Siti Zariah Tahir dan ketiga oleh Aifa Sulaiman. Barangkali mak (yang baru setahun kehilangan ayah) ketika itu tersenyum bangga seperti saya sekarang. Bezanya kali ini, Nil menerima hadiah murid terbaik kategori 5 tahun bagi PASTI seluruh Segamat.


Namun malangnya tetap ada. Saya gagal menghadiri majlis konvokseyen atau disebut juga Ihtifal PASTI itu. Sabtu lalu, saya ada tugasan dari jabatan. Saya terpaksa ke Johor Bahru bagi mempromosi kelas tingkatan enam aliran agama untuk tahun 2009. Tentunya Nil agak hampa dengan ketidakhadiran saya. Hanya ibunya dapat menemani menyaksikan detik paling bersejarah bagi dirinya sepanjang lima tahun usianya itu.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP