Khamis, November 13, 2008

HMMM ... DAH AGAK DAH

KOTA BAHARU: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sejak 2003 tidak gagal dan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini, membuktikannya, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Ini bukti PPSMI ini tidak gagal tetapi saya tidak katakan dasar ini sudah lengkap atau tepat dan ia boleh diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Gang di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian mengulas desakan termasuk daripada tokoh akademik yang mahukan subjek Sains dan Matematik kembali diajar dalam Bahasa Malaysia bagi mengelakkan bahasa itu terpinggir.

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata pada UPSR lalu, 57 peratus calon telah menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris dan ia membuktikan calon juga selesa untuk menggunakan bahasa tersebut dan ia adalah satu kebanggaan kementerian.
"Jauh sekali untuk kita meminggirkan Bahasa Malaysia ini tetapi pada masa yang sama apa yang Kementerian lakukan adalah mahukan pelajar turut mempraktikkan Bahasa Inggeris demi masa depan mereka," katanya.

Hishammuddin berkata rumusan terhadap keputusan UPSR itu akan dibawa ke persidangan meja bulat yang akan diadakan nanti dan dibentangkan kepada anggota persidangan itu sebelum dibawa ke Kabinet.
"Dasar ini boleh ditukar tetapi saya mahukan semua pihak bersepakat dan tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak selepas ini. Apa pun juga saya minta semua pihak tidak beremosi dalam menyuarakan pendapat," katanya.

Sumber asal Berita Harian.
Rajah hiasan di atas adalah analisis keputusan UPSR di sebuah sekolah.

Memo: Timbul pertanyaan: Apakah graf keputusan peperiksaan tidak boleh dinaikkan atau diturunkan? Ya Allah, selamatkanlah bangsaku dan Bahasa Melayuku dari tangan-tangan manusia berkepentingan duniawi !

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP