Ahad, November 16, 2008

KENDURI KARAOKE

Cuti bermula. Majlis walimah pun melata. Tengah hari tadi saya dan keluarga menghadiri majlis walimah di sebuah Felda. Jam 1 suku kami tiba di persimpangan lorong rumah yang mengadakan kenduri menyambut menantu. Dari jauh sudah kedengaran bunyi muzik yang kuat. Hati sudah rasa semacam.

Semakin dekat, semakin kuat bunyinya. Anak-anak saya tampak agak ketakutan. Sebaik sampai di halaman rumah pengantin, Irfan yang akan berusia 4 tahun minggu hadapan menangis. Takut dengan bunyi muzik yang begitu kuat. Isteri terpaksa menenangkannya. Di sebelah kanan rumah pengantin, ada bangsal kecil beratap kanopi yang menempatkan deejay jemputan dan alatan karaoke. Seorang lelaki sedang mendendangkan lagu asli di hadapan sebuah mikrofon yang didirikan sambil menghadap sebuah peti televisyen. Seumur hidup saya, tidak pernah saya menghadiri majlis walimah yang memasang pembesar suara sedemikian kuat. Dua buah speaker diletakkan di halaman rumah. Ini bising tahap melampau. Gegendang telinga saya berdengung dan saraf pendengaran saya tentunya terpaksa bekerja keras secara luar biasa.

Lalu saya menghampiri tuan rumah yang menjadi kenalan kami. Dia juga melangkah ke arah saya. Pak R namanya. Saya menjabat tangannya.

"Tahniah, bang, baru dapat menantu." Dia tidak mendengar apa yang saya ucapkan. Dua kali lagi saya mengulang ayat yang sama. Tidak dengar juga. Akhirnya kami sama-sama menganggukkan kepala. Saya pasti dia tidak mendengar apa yang saya ucapkan lantaran muzik yang terlalu bingit.

Kami mengambil makanan yang dihidangkan secara buffet. Nasi beriani yang dijamah memang enak, tetapi selera kami sudah lama pergi. Bunyi bising nyanyian dan karaoke terlalu mengganggu. Stres pula jadinya. Tanpa banyak bicara, kami sedikit tergesa-gesa menelan nasi. Hendak bercakap, suara tidak dengar. Jadi, yang paling afdal, beredar segera meninggalkan kenduri ini. Pencemaran bunyi di sini tidak elok untuk orang dewasa apatah lagi kanak-kanak.

Sempat saya berkata dalam bahasa Arab kepada isteri, "Qawiy jiddan (kuat sangat)."
Kalau kami bercakap dalam bahasa Melayu pun, tetamu di sebelah pasti tidak akan mendengar. Nyanyian seorang lelaki akhir 50-an saya kira cukup 'merosakkan' keadaan. Keseronokan mendendangkan lagu pop yeh-yeh barangkali membuatkan penyanyi bersuara sumbang itu lupa sebentar betapa kubur sudah tidak berapa lama lagi akan memanggilnya datang.

Namun kami hairan, tiada siapa pula yang menegur deejay agar memperlahankan sedikit volume karaokenya. Baik tuan rumah, mahupun jiran tetangga dan penduduk setempat kelihatan mereka biasa saja. Bagai tiada apa-apa. Seolah-olah kebisingan tahap melampau itu tidak mengganggu mereka. Yang nampak resah, hanyalah beberapa kerat orang luar seperti kami yang datang bertandang. Juga beberapa jemaah masjid berketayap putih yang saya lihat baru tiba dari masjid berdekatan sejurus menunaikan fardu Zuhur. Apakah mereka langsung tidak 'terjejas' seperti kami? Apakah telinga kami terlalu sensitif dan menghadapi masalah? Bagaimanapun akhirnya saya berfikir, barangkali mereka sudah biasa. Ya, barangkali.

Mengapa saya fikir sudah biasa? Maafkan saya jika kesimpulan begitu agak kasar bunyinya dan tidak dapat diterima oleh orang Felda. Namun, pengalaman saya masuk ke beberapa Felda di sekitar Segamat ini menyimpulkannya begitu.

Kegilaan terhadap karaoke ini sesuatu yang lumrah di Felda-Felda. Terutama golongan dewasa. Ada Felda yang memiliki enam kedai makan yang menawarkan karaoke sebagai tarikan. Dalam beberapa buah itu, ada kategorinya pula. Ada yang khas untuk golongan muda (sebagai pusat lagu kontemporari), ada yang khas untuk penggemar lagu-lagu retro, dan ada juga untuk yang khusus untuk 40-an ke atas (lagu asli dan pop yeh-yeh). Ada sesetengahnya terletak di betul-betul hadapan masjid dan mulai beroperasi pada jam 6 petang. Apabila maghrib, sama kuat pula bunyi muziknya dengan azan yang berkumandang. Dan jangan terperanjat jika pusat karaoke untuk warga 40-an ke atas biasanya juga dipenuhi oleh makcik-makcik yang sudah bercucu.

Ini realitinya. Nampak pelik tapi benar. Nampak cantik membangun maju dan berjaya tapi pengisian rohani penduduknya membimbangkan dan boleh jadi sifar. Justeru, memang tidak hairan jika kenduri kahwin seperti tadi menjadi hambar dan tidak bermakna bagi mereka jika tidak 'diserikan' dengan muzik yang menggegar!

5 komentar:

Dyat 4:22 PTG  

salam ustaz.

betul... betul..

lagi satu... suka sangat block jalan...

ada padang, dewan, balai raya, masjid...

tapi kat depan rumah juga pasang khemah 'block' jalan awam....

senang kita susah orang... tak patut... tak patut...

Fasiha 9:20 PG  

macam mana kita nak kongsi sama perasaan setiap org paling tidak pun bersederhanalah....supaya telinga, mata tidak sakit.

Sayang sikit, majlis yang mengandungi aktiviti spt ini yg membuat kita tak sabar2 nak angkat kaki, bukan kerana tak hormat tuan rumah, bukan kerana juadah tak enak tetapi tak tahan dengan menu juadah pendengaran...

ummueihab 4:39 PTG  

betull...itu pengalaman saya mengajar di salah satu felda di daerah Mersing selama 5 tahun...

sitinurulhawa 11:34 PG  

setuju sangat. hujung minggu lepas pergi ke kenduri di semerah, mereka jemput kumpulan ghazal. penyanyi perempuannya bertudung penuh gaya macam ustazah norbahiyah. saya bisik kepada emak, kalau akak ni kita jumpa kat sekolah, mesti kita ingat dia ustazah.

bukan lagu ghazal je yang 'ustazah' tu nyanyi, lagu dangdut pon dibalunnya sambil goyang2 pinggul

nurul.najib 6:16 PTG  

salam..bukan di felda saja.skang nih boley katakan acara wajib karaoke ni dlm walimah.agaknya rakyat malaysia ni mmg dah makin berkeyakinan diri kut.*alangkah bagusnys minat menyanyi2 ini disalurkan ke arah ilmiah.ini tak masa belajar di skolah,IPT dok diam je..

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP