Rabu, November 19, 2008

MAU KEKAL MUDA?

Apabila ikon bola sepak, David Beckham mengambil keputusan untuk menyertai AC Milan secara pinjaman selama beberapa bulan demi mengekalkan kecergasannya bagi merebut tempat dan meraih penyertaan ke-108nya dalam pasukan kebangsaan England, banyak pihak yang bersuara memberi komentar.

Ramai yang menyelar Milan yang dikatakan mahu mengambil peluang meraih keuntungan besar hasil jualan jersi merah-hitam Rossoneri bernombor 75 yang akan dipakai Beckham. Tidak kurang yang menganggap permainan Beckham tidak sesuai dengan corak permainan Milan. Malah ada juga yang meramalkan Beckham akan sekadar memanaskan bangku simpanan dan ditugaskan sebagai 'penjual jersi' kelab sahaja.

Namun, berdasarkan pemerhatian pakar kecergasan bola sepak, Beckham dilihat mengambil langkah bijak untuk terus bermain dalam tempoh yang panjang dengan menyertai Milan. Apa lebihnya Milan berbanding kelab-kelab ternama lain?

Khabarnya, kelab gergasi Itali tersebut memiliki sebuah 'makmal ajaib' yang dikenali sebagai Milan Lab yang berkemampuan mengekalkan kecergasan pemain. Pakar-pakar sains sukannya dikatakan menemui 'ramuan rahsia' bagi membolehkan pemain yang hampir menggantung but dan melepasi kemuncak prestasi meneruskan karier mereka, malah cergas seperti pemain muda. Makmal ini juga dikatakan berupaya mengesan kecederaan pemain yang mungkin akan menjadi lebih teruk (jika diturunkan bermain). Selain kajian terperinci terhadap but dan material jersi yang dipakai oleh pemain, ada diet tertentu disediakan untuk pemain bagi membolehkan mereka lekas pulih.

Buktinya, pasukan Milan sekarang purata umur para pemain utamanya sekitar 30 tahun! Sebut sahaja senarai bintangnya seperti Gattuso, Shevchenko, Seedorf, Dida, Inzaghi dan Nesta, semuanya berusia 30-an. Bahkan, kaptennya yang juga dianggap pemain bek kiri terbaik sepanjang zaman, Paolo Maldini masih aktif bermain sehingga kini walaupun hampir berusia 40 tahun. Mengikut rekod-rekod terdahulu juga, bintang-bintang utama Milan mencapai kemuncak tahap prestasi mereka sewaktu berusia pertengahan 30-an seperti Franco Baresi, Roberto Baggio, Cafu, dan George Weah.


Justeru, bagi Beckham yang pendapatan hasil penajaannya sahaja lebih tinggi daripada gajinya sebagai pemain, tahap fizikalnya menjadi keutamaan untuk dikekalkan. Cukup baginya mengekalkan kecergasan menerusi latihan dan diet khusus walaupun tanpa perlu bermain secara kompetitif. Bagaimanapun, jika dia berjaya meraih cap ke-108nya, itu bolehlah dianggap bonus.

Baca lanjut di sini dan di sini tentang Milan Lab.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP