Sabtu, Disember 06, 2008

HAIWAN LONGKAI

Penyamun ada di mana-mana. Hati-hati. Anda boleh disamun secara peras ugut dan kasar mahupun secara licin dan halus. Jika kenderaan anda rosak di lebuh raya, jangan tertipu dengan 'longkai' yang bermaharajalela. Kalau ada agen-agen syarikat yang menawarkan khidmat menunda kenderaan anda ke bengkel mereka, jangan sesekali diterima atau terpedaya dengan kata-kata mereka. Mereka penipu besar. Mereka layak dibakar oleh api neraka!

Hubungi pihak PLUS dan tunggu. Kalau anda mahu mereka menunda juga, tundalah sampai ke tol sahaja. Tiba di tol, berhenti dan pastikan kenderaan tidak ditunda lagi. Segera hubungi teksi dan cari bengkel yang anda yakini. Atau, anda fikirlah cari lain. Hubungi kawan berdekatan atau sesiapa untuk meminta nasihat. Jangan sesekali mempercayai 'haiwan' longkai yang tidak berhati perut itu.

Walaupun ia sukar, lambat, dan memang memenatkan, tetapi ia lebih selamat berbanding anda menurut sahaja saranan longkai-longkai jahanam yang akan mengenakan caj tak masuk akal ke atas anda. Mereka memang mesra, ramah, nampak baik dan boleh sahaja tiba-tiba muncul sukarela datang membantu anda, membawa bekalan air paip untuk menyejukkan radiator anda yang kering dan berasap, tetapi itu semua lakonan.

Jangan sesekali percaya lakonan keji mereka, kerana anda akan rugi besar jika terpedaya walau sekali cuma. Mereka akan menyebut caj yang rendah dan kerosakan yang minima kononnya, tetapi segalanya bertukar ngeri apabila tiba di bengkel nanti. Komponen-komponen enjin anda akan dicabut dengan sekelip mata!

Baru-baru ini, saya ke ibu kota atas urusan pengajian. JPJ tiba-tiba sahaja membuat sekatan di tengah-tengah lebuh raya sebelum masuk ke Tol Senawang. Entah apa yang mahu diperiksa. Kenderaan sesak tunda-menunda tiga empat kilometer panjangnya. Trafik bergerak terlalu perlahan. Setelah setengah jam terperangkap dalam kesesakan yang amat itu, bonet depan Wira saya mulai mengeluarkan asap nipis. Entah mengapa. Temperature kereta stabil, tidak pula naik menunu. Saya cemas, lantas menyalakan lampu isyarat kiri untuk masuk ke lorong kanan, perlahan-lahan menyelit di celah-celah kesesakan, dan akhirnya berhenti di bahu jalan, di tepi lorong kecemasan.

Ah, saya tidak mampu meneruskan catatan pahit ini. Anda boleh meneka plot selanjutnya. Saya tidak mahu mengenangnya lagi kerana akan menyebabkan sakit hati, benci, dan geram berpanjangan. Saya hanya mampu memberi peringatan.

Penyamun ada di mana-mana. Hati-hati!

Klik sini untuk baca tentang angkara longkai!

2 komentar:

Ibnu Ahmad al-Kurauwi 3:43 PTG  

Di sebalik susah ada senang. Di sebalik senang ada susah. Boleh mencipta alasan untuk kereta baharu.

zaid 12:34 PG  

Salam ustaz,
Saya pelajar tajaan JPS - Jabatan Poket Sendiri. Perit juga rasanya bila terkena, masakan gila-gila mahu mencuba kereta baharu. :-)

Apapun,
watawa sau bilhaq
watawa sau bissobr.

Sabar itu besar hikmahnya.
Insya-Allah.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP