Jumaat, Januari 18, 2008

Seminar Kepengarangan Muda Johor

SEMINAR Kepengarangan Muda Johor yang membicarakan karya sastera serta perkembangan penulis muda negara ini dijadualkan berlangsung di Hotel Traders, Muar, Johor, pada 1 dan 2 Februari ini.

Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Rusdi Abd Rahman, berkata memberi tumpuan kepada kelompok terbabit memandangkan mereka banyak memberi sumbangan karya sehingga berjaya pada peringkat negeri dan kebangsaan. “DBPWS selaku penganjur seminar bersama Persatuan Penulis Johor (PPJ) serta Perkumpulan Penulis dan Peminat Bahasa Muar (PPPBM) sedar bahawa mereka jarang diperkatakan secara khusus pada seminar atau kolokium meskipun sudah mencapai kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, badan berkanun terbabit berharap seminar itu dapat memperkenal dan mengupas karya pengarang muda untuk membolehkan masyarakat mengenali mereka secara dekat serta menghargai sumbangan mereka dalam dunia sastera tanah air dan serantau.

Ucap utama seminar itu disampaikan Ketua 1 PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah, manakala penyair puisi Islam, Shamsudin Othman membincangkan genre puisi; cerpenis, Syed Mohd Zakir Syed Othman (cerpen); novelis, Dzulkarnain Ithnain (novel) dan penggiat teater, Rahimah Muda (teater dan drama). Rusdi berkata, Malam Puisi Citra Muar turut diadakan pada 1 Februari, jam 9 malam bersempena seminar terbabit dan puisi berlatarkan Muar membabitkan tokoh, destinasi dan keistimewaan daerah berkenaan akan dikongsi bersama khalayak.

“Antara deklamator yang terbabit, Amiruddin, Shamsudin, Abd Aziz Mohamed, Mohd Rosli Bakir dan Hamzah Hamdan, selain dimeriahkan dengan persembahan sketsa Majlis Teater Negeri Johor, Dari Teluk Dalam ke Muara yang mengangkat sejarah Muar,” katanya. DBPWS yang berjaya mengumpul 50 puisi yang mengangkat Muar dalam bentuk dokumentasi akan diedarkan kepada khalayak pada malam baca puisi itu manakala maklumat lanjut hubungi Rusdi di talian 07-2358802.

(Sumber: Berita Harian 17 Jan 2008)
Memo:
Insya-Allah, serasa-rasanya ingin menyertai. Sudah lama tidak bersua teman-teman penulis seJohor dalam program-program sastera sebegini. Khabarnya, kali ini novelis Senjakala, Baharuddin Kahar dan novelis Rengsa, Zharulnizam Zainal Abidin akan turut serta bersama mudik Sungai Segamat untuk ke Muar.

Read more...

Isnin, Januari 14, 2008

NOVEL POPULAR BAKAL JADI TEKS KOMSAS?

Tiada karya Sasterawan Negara tersenarai sebagai antara buku yang dicadangkan untuk teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.

Turut tidak tersenarai ialah puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta baik bertema Islam mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Sumber memberitahu Berita Harian, tindakan tidak menyenaraikan karya SN dan penerima serta pemenang anugerah untuk buku teks yang baru kerana Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran, mendapati sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar.

“PPK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan karya SN berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar. Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat mereka dalam Komsas,” katanya.

Sumber itu berkata, tidak wajar SN yang mendapat pengiktirafan negara, karyanya dinafikan daripada turut disenaraikan dalam cadangan teks baru untuk Komsas kerana masih ada jalan menghormati mereka iaitu dengan memilih karya mudah agar memenuhi selera remaja. Berita Harian difahamkan antara penulis yang karya mereka termasuk dalam senarai cadangan ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar.

“Hanya novel Zaid Akhtar pernah memenangi hadiah sastera. Pendekatan baru PPK ini akan merugikan pelajar kerana pemikiran dan penggunaan bahasa penulis karya popular boleh dipersoalkan, di samping tidak menepati matlamat asal Komsas,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu turut memberitahu, PPK tidak lagi melantik sarjana sastera dan pengarang sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas, sebaliknya melantik Guru Pakar Bahasa Melayu dan Guru Pakar Sastera untuk mengeluarkan senarai pendek teks untuk penilaian akhir.

(Sumber: Berita Harian, Sabtu, 12 Januari 2008)

Selain itu, boleh juga baca tulisan
Nisah Haron, Sifu Ainon Mohd dan Dr. Ghazali Lateh berkenaan isu ini.

Read more...

Ahad, Januari 13, 2008

NENEKKU TAK SEDAR DIRI

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Seorang wanita yang mempunyai dua orang cucu adalah antara 1,000 orang yang menghadiri hari pertama uji bakat Akademi Fantasia 6 (AF6) di ibu pejabat Astro, di sini hari ini.

Hainina Abd. Halim, 44, yang mempunyai pengalaman 25 tahun menyanyi di kelab malam berkata, dia menyambut baik langkah Astro membenarkan had umur 45 tahun untuk menyertai program realiti TV itu.

“Saya gembira dan memandang perkara ini sebagai satu langkah positif dan setidak-tidaknya orang seperti kami juga dapat menonjolkan bakat masing-masing,” katanya yang berasal dari Sentul.

Sejak musim pertama AF diperkenalkan pada tahun 2003, had umur bagi mereka yang ingin menyertai uji bakat berkenaan adalah dari 18 hingga 27 tahun. Tambahnya, penyertaannya dalam uji bakat berkenaan hanyalah sebagai satu percubaan sahaja dan dia menyerahkan segalanya kepada pihak juri yang akan menilai persembahannya nanti.

“Saya juga tidak gentar untuk sama-sama bersaing dengan peserta lebih muda seandainya saya terpilih antara mereka yang terbaik menyertai AF6 kelak,” jelasnya yang menyampaikan lagu popular Anita Sarawak, Akhirnya Kini Pasti pada uji bakat itu.

Hainina berkata, penyertaannya itu juga tidak diketahui oleh anak perempuannya dan mahu menjadikan ia sebagai satu kejutan.

Luahan Cucu: Nek, saya malu ada nenek yang tak tahu malu macam nenek saya ni! Ini bukan kejutan, nek. Ini namanya menempah tiket ke neraka! Sedarlah, nek, bagi cucumu ini, suara nenek bukan sedap sangat pun. Tambah pula, suara wanita tu aurat, nek. Gunakanlah suara nenek yang 'merdu' tu ketika bermesra dengan datuk. Gunakanlah tubuh nenek yang masih gebu itu untuk 'menggoda' datuk! Bukan untuk menghiburkan dan memuaskan nafsu orang lain. Suara dan tubuh itu pinjam-pinjaman saja, nek. Entah bila akan diambil-Nya semula.

Untuk baca lebih lanjut, sila klik di sini. Atau di sini jika mahu membaca cerpen tentang Artis Jempolan!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP