Jumaat, Ogos 01, 2008

TA'ZIYAH

Awal pagi Khamis, kira-kira jam 1.20 pagi, terjaga tiba-tiba dari tidur. Kemudian termanggu seketika apabila telefon bimbit menerima SMS daripada Puan Nisah Haron. Khabarnya, SN S. Othman Kelantan telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

Saya mengetahui kegeringan almarhum lewat blog Tuan Hj Shamsudin Othman sejak dua minggu lalu. Tetapi belum berkesempatan ke ibu kota untuk berkunjung ke Hospital Serdang. Kali terakhir bertemu almarhum adalah pada malam penyampaian HSKU 2006 di Hotel JW Marriot pertengahan tahun lalu.

Dia guru yang baik dan sangat pelucu orangnya. Saya selalu teringatkan kali pertama bertemu almarhum di Wisma Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak pada Ogos 2000. Ketika itu saya menyertai Bengkel Pembinaan Penulis I anjuran DBP-Gapena yang dibimbing oleh almarhum dan Khadijah Hashim. Almarhum sangat sporting. Sanggup bersama kami (saya, Saharil Hasrin, Ashadi Saiman, Dian, dan beberapa teman lain) menyusuri Taman Tasik Permaisuri sambil berbicara tentang sastera hingga jam 2.30 pagi!

Selain itu, sikap dan pendirian almarhum terhadap pelaksanaan PPSMI juga tegas dan tidak pernah berselindung. Siapa dapat menafikan ucapannya yang mempertahankan Bahasa Melayu dalam penganugerahan Anugerah Sastera Negara pada 2003?

Memang ini kehilangan besar bagi dunia bahasa dan sastera negara. Hilangnya seorang Sasterawan Negara adalah kehilangan yang tidak berganti. Matinya sebuah institusi. Sebuah universiti.

Moga Allah merahmati rohnya. Al-Fatihah!

Memo: Ta'ziyah buat Abang Zakir dan keluarga.

Read more...

PESTA BUKU SELANGOR

Insya-Allah.

Sempena Pesta Buku Selangor 2008, saya akan hadir di Kompleks PKNS, Shah Alam untuk sesi promosi Salju Sakinah.

Hari: Sabtu
Tarikh: 2 Ogos 2008
Masa: 4-5 petang
Tempat: Booth PTS


PESTA BUKU MALAYSIA

Hari: Ahad
Tarikh: 3 Ogos 2008

Masa: 2-3 petang

Tempat: PWTC

Jumpa di sana.

Read more...

Khamis, Julai 31, 2008

DISKUSI KARYA MANTAN MPR, 2008

Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) akan mengadakan satu majlis Diskusi Novel dan Kumpulan Puisi Mantan Minggu Penulis Remaja, 2008. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu. Butirannya seperti berikut;

TARIKH: 2 OGOS 2008
HARI : SABTU
WAKTU : 8 PAGI
TEMPAT: DEWAN BAHASA & PUSTAKA, KUALA LUMPUR
BAYARAN: PERCUMA

BUKU YANG AKAN DIBICARAKAN:

SESI PERTAMA (NOVEL)
- MANIKAM KALBU (Faisal Tehrani), akan dibicarakan oleh En. Saleeh Rahamad
- PUISI UNTUK ESDYZUAR (Nisah Hj. Haron), akan dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Faridah Jalil, UKM
- SALJU SAKINAH (Zaid Akhtar), akan dibicarakan oleh Dr. Rahmah Ahmad H. Osman, UIAM

SESI KEDUA (KUMPULAN PUISI)
- TAMAN PERCAKAPAN (Shamsudin Othman), akan dibicarakan oleh Prof. Arbak Othman, UPM
- MENGGELEDAH NURANI (Fahd Razy), akan dibicarakan oleh En. Naapie Mat.
- SULUK CINTA (Ridzuan Harun), akan dibicarakan oleh En. S.M Zakir

Memo: Pihak urusetia meminta warga mantan Minggu Penulis Remaja hadir beramai-ramai ke majlis ini. Untuk mantan wanita, pihak urusetia meminta agar anda mengenakan pakaian berwarna merah jambu, serta mantan lelaki mengenakan pakaian berwarna perang/coklat.

Seluruh penggemar, pemerhati dan pencinta sastera tanah air juga dijemput hadir untuk tambah memeriahkan dan menyerikan majlis.

Read more...

Selasa, Julai 29, 2008

MAK LONG TERUJA DAPAT GELANG EMAS

MERSING - "Mak Yah terkejut bila Tunku (TMJ) beri gelang emas,". Demikian reaksi Yah Mohd., 69, apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar memakaikan sendiri dua utas gelang kepadanya selepas Maghrib kelmarin.

Menurut Mak Yah, dua utas gelang tangan emas itu merupakan hadiah daripada TMJ dan isteri, Raja Zarith Sofea Almarhum Sultan Idris.

"Masa Tunku panggil dan kami berbual di atas tikar mengkuang, Tunku ada keluarkan gelang tangan dan beri pada Mak Yah.

"Mak Yah memang terkejut dan letak hadiah di atas tikar sebelum Tunku sendiri mengambilnya dan memakaikannya ke tangan Mak Yah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Felda Endau di sini semalam. Rumah Mak Yah terpilih sebagai salah satu destinasi bermalam rombongan TMJ sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2008 pada hari ketiga di Kampung Felda Endau, di sini.

Bercerita lanjut, Mak Yah berkata, sebagai rakyat biasa, kunjungan keluarga raja itu memang memberi pengalaman baru yang luar biasa kepada Mak Yah sekeluarga. Sejujurnya, Mak Yah memberitahu, sikap ramah dan kemesraan TMJ sendiri semasa berada di rumahnya ternyata telah memecahkan suasana untuk mereka sekeluarga.

"Pada mulanya, anak-anak dan cucu-cicit Mak Yah sendiri rasa takut untuk duduk berbual dan menjamu selera bersama TMJ. Namun, bila melihat baginda sendiri senyum dan gelak besar ketika berbual bersama-sama kami, akhirnya perbualan kami sekeluarga berlanjutan sehingga pukul 2 pagi," ujarnya.

Memo: Teringin juga pulang ke Endau menyaksikan peristiwa bersejarah yang dilalui keluarga Mak Long. Malangnya Sabtu lepas adalah hari persekolahan bagi menggantikan cuti raya puasa. Sebelah petangnya pula, ada event di Plaza Angsana, JB. Harapnya Abang Lee (anak sulung mak long) atau Pak Anjang Yim ada merakamkan detik-detik bersejarah bersama TMJ itu dengan kamera video. Bolehlah ditonton bila pulang bercuti nanti.

Khabarnya juga, krew TV3 ada merakam perjalanan KMJ tahun ini. Termasuk persinggahan semalaman TMJ di rumah Mak Long. Menurut sumber, KMJ dijadualkan tersiar menerusi slot Majalah Tiga pada 9 Ogos nanti.

Read more...

Isnin, Julai 28, 2008

JIKA KITA LUPA SEJARAH, SEJARAH AKAN MENDERA KITA

Simpati sungguh rasanya dengan Sdr Mahfuz Hj Omar, ketua penerangan sebuah gerakan Islam terbesar negara. Boleh baca permohonan maafnya di sini. Keterlanjurannya berasas. Dan dia yang berasa bersalah dan berdosa terpaksa "menipu" khalayak atas kapasiti ketua penerangan segera memohon maaf di atas kesilapan yang bukan sengaja dilakukannya. Dapat dirasakan betapa dia benar-benar kesal di atas perbuatan yang tidak sepatutnya itu.

Tetapi, bagaimana dengan "beberapa orang" yang terlanjur langkah terhegeh-hegeh pergi berjumpa untuk ber"muqabalah" dengan musuh lama yang sedang tersepit, tetapi boleh saja mematuk bila-bila masa. Malah ada pula yang didakwa berunding 4 hari 4 malam dengan seteru silam untuk memastikan boleh menjadi wazir kabir yang bakal berkuasa di sebuah negeri. Adakah tidak mahu meniru perbuatan mulia yang Sdr. Mahfuz tunjukkan?

Sdr. Mahfuz, tindakan saudara memang terhormat. Ketara sejarah masih erat digenggam, bukan senang-senang dibuang ke dalam bakul sampah. Moga saudara terselamat dalam muktamar Ogos nanti.

Yang lain-lain itu, tunggu sajalah. Pemimpin datang dan pergi. Boleh datang dan boleh pergi, bukan masalah. Temberang itu bukan daripada sunnah Nabi. Yang menjadi liabiliti dan memudaratkan, boleh ma'assalaamah!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP