Sabtu, Ogos 23, 2008

SEPETANG di UKM

Pagi Khamis. Sejurus menghadapi PTK yang entah bila akan ditalqinkan, saya berkejar ke UKM, Bangi untuk memenuhi satu undangan. Sebetulnya, saya tidak pernah diundang berbicara tentang sastera atau penulisan di mana-mana IPT. Saya kira inilah kali pertama diminta berbicara tentang pengalaman, tentang cabaran, tentang harapan dalam penulisan novel dakwah di hadapan para peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan penulis. Terima kasih kepada pihak IKRAB, UKM di bawah pimpinan Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek yang sudi mengundang saya ke Kolokium Citra Dakwah dalam Novel Popular.

Mengapa Pengarang Harus Berdakwah?

Sebagai penulis yang terdidik dalam jurusan agama – seboleh mungkin – saya harus menjulang Islam dan berdakwah dalam penulisan saya. Peranan kita sebagai khaira ummah selalu singgah di telinga. Sebagaimana firmannya:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah (Ali Imran : 110).

Justeru, saya melihat amar ma’ruf nahi munkar adalah tuntutan yang utama, yang perlu dilaksanakan oleh setiap dai’e, yang perlu diterjemahkan oleh setiap penulis Islam dalam penulisannya. Inilah yang kerap ‘menganggu’ saya setiap kali berhadapan tugasan menulis ini. Lantaran peranan melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar ini bukan sahaja terpikul di bahu pihak berkuasa atau pemerintah, tetapi setiap yang bergelar khalifah.

Selain itu, saya juga seringkali disedarkan betapa penulis Islam harus menjadi manusia ulul albab - iaitu manusia yang berzikir dan berfikir. Saranan ini sangat jelas dalam ayat 191 surah Ali Imran yang berbunyi:

Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Saya kira dua ‘tuntutan’ itu sudah cukup untuk mewajarkan penulis berdakwah menerusi pena dengan menulis karya-karya yang menuju ke arah pelaksanaan kedua-duanya. Mungkin destinasinya dilihat sangat jauh, tetapi sekurang-kurangnya penulis sudah berusaha berdasarkan kemampuan yang ada.

(Petikan kertas kerja Dari Nailofar ke Impian di Jaring: Pengalaman Dakwah Lewat Novel)

Read more...

Jumaat, Ogos 22, 2008

Kenangan Yarmouk dalam Salju Sakinah

Salju Sakinah membawa saya kembali ke alam universiti sebagai seorang siswa. Lebih tepat lagi, ia menyebabkan saya mengimbau kembali kenangan dan nostalgia sebagai seorang siswa di Universiti Yarmouk, Jordan dulu (1996-2000). Walaupun watak-watak utama dalam novel ini merupakan para siswi (atau boleh dipanggil para ustazah), tetapi kehidupan sebagai seorang siswa di sana banyak persamaannya walaupun berbeza jantina.

Baca lanjut di sini.

Memo: Ada juga teman-teman sekampus di Universiti Yarmouk dulu yang sudi membaca novel saya. Barangkali nostalgia di sana masih basah dan segar, lantas novel ini lekas menyuburkannya semula. Kepada teman-teman seUrdun, terima kasih. Moga ukhuwah dan dakwah kita berterusan.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP