Sabtu, Ogos 30, 2008

Segalanya PASti

Begitu judul lagu nasyid baru yang didendangkan sebentar tadi oleh juara sulung Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan. Tahniah! Mengejutkan juga apabila melihat Azhan mendakap para VIP di atas pentas termasuk Datuk Zahid Hamidi ketika penyampaian hadiah.

Azhan adalah satu-satunya peserta OKU dan cukup merendah diri. Menurutnya sebelum ini, "Bukan habuan RM100 ribu (hadiah utama Akademi Nasyid) itu yang saya kejar. Sebaliknya, inilah cara terbaik untuk kita mendekati golongan muda untuk menyampaikan mesej. Hendak mengajak mereka ke surau atau masjid, mungkin agak sukar kini. Justeru, menerusi program seperti inilah kita mampu mengajak mereka ke arah kebaikan."

Katanya lagi, "Hiburan itu suatu seni. Paling penting penyampaian kita dalam memberikan hiburan berguna. Setiap persembahan yang dilakukan, biarlah mempunyai mesej di dalamnya. Bukan setakat hubungan mata yang perlu ada di antara penyanyi dengan penonton, bahkan hubungan hati juga penting sekali.

Selain itu, Azhan juga mengetuai para pemuda yang cintakan Islam di Tanjung Piai, Pontian.

Untuk lebih mengenali Azhan, sila layari blog peribadi beliau di sini. Atau untuk menonton persembahannya, boleh juga klik di sini.

Memo: Gambar Azhan bersama sahabat dan peminat.

Read more...

Khamis, Ogos 28, 2008

BILA OGOS MAMPIR DAN PERGI

OGOS datang dan hampir berangkat pergi. Selain mengingatinya sebagai bulan merdeka, saya kerap merenung kembali perjalanan diri setiap kali tibanya bulan ini. Tanggal 1 Ogos lalu, bermakna genaplah 7 tahun saya bertugas menabur bakti di sekolah ini.

7 tahun yang terasa sekejap sebetulnya bukanlah perjalanan yang pendek saya kira. Di sinilah saya menikmati bahagia - berumahtangga dan beroleh tiga cahaya mata. Saya kira lebih sepertiga usia, saya habiskan di daerah Segamat ini, lebih tepat lagi di SMKA Segamat.

Saya masih ingat lagi tarikh 26 Disember 1989, hari pertama saya mendaftar di sekolah bertuah ini untuk masuk ke tingkatan satu. Terasa masih baru hari itu. Kali pertama bersua Ustaz Paiman Jemo, pengetua sulung sekolah ini. Kemudiannya bagai tanpa sedar lima tahun berlalu. Itulah fasa pertama saya di sini. Sebagai pelajar.

Sementara fasa keduanya menyusul enam tahun kemudian. Setelah saya meninggalkan daerah ini pada 1995 untuk melanjutkan pengajian ke Jordan, saya sendiri tidak menyangka akan kembali lagi. Lalu bermulalah fasa keduanya dengan saya menjadi tenaga pengajar di sini mulai 1 Ogos 2001.

Kini 7 tahun berlalu. Banyak kenangan tersimpan. Padat pengalaman terhimpun. Malah teman-teman akrab juga sudah ramai yang berangkat pergi. Sama ada berhijrah sekolah mahupun menjawat jawatan di tempat baru. Kadangkala terasa sepi. Suasana sudah tidak sama.

Saya sedari itu. Usia makin bertambah. Zaman sudah berubah. Sampai kapankah saya harus di sini? Serasanya cukuplah khidmat tidak seberapa yang saya taburkan di daerah yang segar amat ini.

Jauh di dasar hati, saya sedar; meskipun sayang, saya perlu berhijrah. Meskipun payah, saya mesti bergerak lagi. Saya harus mencari angin baru. Menghirup iklim baru. Cuma masa dan ketikanya saya tidak pasti. Entah bila.

Read more...

Rabu, Ogos 27, 2008

SALJU SAKINAH lahir daripada RISIK?

Barangkali kebanyakan pembaca tidak mengesannya, namun beberapa pembaca yang mengekori karya saya sejak dahulu menyedari bahawa kira-kira 10 tahun lalu saya pernah menulis sebuah cerpen berjudul Risik. Cerpen ini ditulis di rumah sewa saya, Darul Ulum di pinggiran kampus Universiti Yarmouk, Irbid. Tersiar dalam majalah Muslimah edisi Ogos 1998.

Risik adalah cerpen pertama saya yang tersiar di media sejak 'bergelandangan' ke Dataran Syam mulai Ogos 1995. Risik juga disiarkan oleh suara kampus pelajar Johor, Tanjung Puteri tidak lama kemudian. Cetusan idea pertama Risik berasal daripada ayat ini:

“Oleh itu hendaklah keluar dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, supaya memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Tentunya ayat di atas boleh sahaja dikaitkan dengan peranan golongan agamawan Timur Tengah apabila pulang ke tanah air, lantas ia saya lanjutkan dengan lebih jauh ke dalam Salju Sakinah.

Malah beberapa pembaca prihatin yang setia mengikuti siri-sirinya di Utusan Malaysia sepanjang 2005 dahulu pasti menyedari bahawa saya ada menyelitkan fragmen Risik ke dalam Salju Sakinah pada sirinya yang berjudul Mimpi yang Panjang. Namun, semasa mengedit kembali novel bersiri itu sebelum dibukukan, saya terpaksa mengambil keputusan menggugurkan siri tersebut demi mengukuhkan lagi struktur naratifnya.

Untuk membaca cerpen Risik, boleh klik di sini.

Read more...

Ahad, Ogos 24, 2008

MENGAPA IHYA' ULUMUDDIN?

Saya bukanlah pakar bahasa Arab. Tetapi saya melihat penggunaan ini begitu berleluasa dan saya selalu rasa tidak selesa. Serasa-rasanya - oleh saya yang jahil ini - sebutan yang tepat adalah IHYA' ULUMIDDIN. Bukan Ihya' Ulumuddin sepertimana yang kita biasa baca, dengar, dan sebut. Bagaimanapun ia sudah menjadi kesilapan yang berleluasa dan berlarutan. Malah kesilapan yang tidak disengajakan ini juga melarat hingga ke judul-judul buku.

Perkataan ULUM menurut ilmu qawaid nahwiyyah berada dalam kedudukan mudhaf ilayh, maka MIMnya majrur dengan kasrah (baris bawah). AD-DIN pula mudhaf mudhaf ilayh. Juga majrur dengan kasrah.

Mungkin kita boleh sama-sama baiki sebutan nama kitab tersohor Hujjatul Islam itu selepas ini.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP