Jumaat, Oktober 24, 2008

MERDU YANG SEBENAR

Subhan Allah. Memang lemak merdu. Meskipun tergolong orang kurang upaya, tetapi gemersik suaranya memang luar biasa. Memukau. Memikat. Menusuk. Inilah merdu yang sebenarnya, saya kira. Inilah bakat yang sebetulnya. Inilah juara yang selayaknya. Bukan kerana aura. Bukan kerana bijak memainkan simpati audiens. Sungguh, saya menanti-nanti album sulung 'penasyid' berbakat besar dari hujung benua Asia ini.

Namun dalam penantian itu, sempat juga membeli VCD yang diterbitkan oleh beliau sendiri berjudul Azhan Atan: Live in Konsert.

Di dalamnya terdapat beberapa rakaman persembahannya dalam road-shownya sepanjang Ramadhan dan Syawal di beberapa negeri serta sedutan program realiti TV - Akademi Nasyid - yang disertainya di TV9 dulu.

Memo: Suara Azhan malah jauh lebih lunak dan menusuk berbanding ikon bersuara 'jantan' yang kadang-kadang kurang sempurna lenggok 'burdah'nya.

Baca catatan seorang ustaz tentang Azhan di sini.


Read more...

Ahad, Oktober 19, 2008

MENARIK TAPI TAK ELOK UNTUK JANTUNG

Menonton perlawanan bola sepak adalah satu kegemaran. Saya jarang sekali menonton TM Liga Malaysia yang rendah kualiti permainannya. Biasanya saya menonton pada hujung minggu beberapa liga di Eropah, terutama Liga Perdana Inggeris (EPL). Namun tidak semua perlawanan menjadi pilihan, kecuali yang membabitkan pasukan Liverpool.

Liverpool - pasukan yang disokong sejak kecil - sudah 19 tahun tidak menjuarai Liga Inggeris. Sentiasa dibayangi oleh kelab-kelab kaya seperti Manchester United, Chelsea dan Arsenal. Barangkali badi jersinya yang berjenama minuman haram yang menjadi penaja sejak 1991. Namun kebangkitan kelab berjersi serba merah yang merupakan kelab paling berjaya di England ini mulai tercetus sejak kehadiran Rafael Benitez, pengurusnya yang berbangsa Sepanyol. Setelah beberapa tahun menunjukkan peningkatan, nampaknya musim ini The Reds kian terserlah ciri-cirinya untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama hampir dua dekad.

Setelah lapan perlawanan EPL berlangsung musim ini, The Reds belum lagi kalah malah mengiringi Chelsea mengepalai kedudukan liga. Paling menarik apabila kelab ini menunjukkan karekter sebuah pasukan unggul dengan 'bangkit setelah ketinggalan' sebanyak lima kali pada musim ini. The Reds menang setelah ketinggalan kepada Boro, Man Utd, Manchester City dan Wigan. Malah dalam perlawanan di tempat lawan dalam Liga Juara-juara turut mengejar dan menang 2-1 setelah ketinggalan kepada Marseille.

Perlawanan-perlawanan sebegini memang menarik ditonton, tetapi agak mendebarkan dan tidak baik untuk jantung. Begitu kata Benitez setiap kali ditemubual sejurus perlawanan. Awal bulan ini, Pool bangkit untuk menang secara dramatik dengan keputusan 3-2 setelah ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama di Man. City.

Dan semalam, Wigan pula menjadi mangsa kelima. Setelah kelab itu mendahului dua kali, Pool mula mempamerkan aksi hebat selepas rehat untuk menang 3-2. Namun minggu depan menjanjikan perlawanan yang lebih mendebarkan apabila The Reds akan bertemu pendahulu liga, Chelsea yang belum pernah kalah musim ini ( juga belum pernah kalah sebanyak 86 perlawanan liga berturut-turut) di Stamford Bridge.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP