Jumaat, November 07, 2008

SEHARI di DADA SINGA

Dengan niat berdakwah dan menyampaikan mesej-mesej Islam, saya tidak pernah mensasarkan sesebuah "destinasi" dalam penulisan saya. Bagi saya, segala kelebihan adalah anugerah Allah. Haaza min fadhli rabbi. Saya terima seadanya. Hadiah atau anugerah duniawi yang datang saya anggap rezeki. Jika ada, adalah. Jika tiada, saya tetap redha dalam syukur.

Namun, kadang-kadang, malah selalunya, apa yang tidak pernah kita hasratkan, menjengah tanpa diduga. Baru-baru ini, ada pembaca karya saya di seberang Tambak menghubungi menerusi e-mel. Tentunya saya terkejut. Karya-karya saya yang tidak seberapa itu mendapat perhatian sebilangan saudara serumpun kita. Mereka mengundang saya ke sana - dengan tujuan mengeratkan silaturahmi pastinya. Tambah terpinga saya. Saya belum pernah ke Singapira. Bagaimanapun, saya akhirnya muwafik meskipun ada bengkel menjawab Bahasa Arab calon-calon STPM yang mesti saya kendalikan di sekolah pada petang Ahad.

Lalu, pagi Sabtu, 1 November lalu, saya berpagi-pagi lagi menaiki bas ke sana. Naik Cepat Ekspres jam 7.40 pagi di Stesen Bas Segamat, tiba di Larkin jam 10 pagi. Tanpa berlengah saya memanjat pula tangga bas Singapore-Johore Express (SJE) dengan tambang RM2.50 sebelum tiba di Queen Street setelah melalui dua rutin imegresen yang pantas.

Saya memang bercadang sekadar menghabiskan sehari suntuk di Bumi Temasek. Dijemput oleh Surya dan Mus'ab - graduan NUS - dengan teksi, langsung makan tengah hari di Wishry Padang Restaurant di Kandahar Street. Sebelum itu sempat saya bergegas ke pusat pengurup wang untuk menukar RM100 yang diganti dengan 41 Dolar Singapura. Mahalnya!

Kemudian kami ke Wardah Bookstore yang dilatari irama tarian sema para sufi berhampiran Masjid Sultan. Bersembang mesra sambil melanjutkan taaruf, kami langsung ke Rumah Seni Singapura di Parliament Lane sejurus dijemput oleh Cikgu Karmin dengan keretanya. Berjalan dengan anak-anak muda pertengahan 20-an tentu sahaja panjang langkahnya. Banyak juga lokasi yang kami lewati, malah sempat juga merasai kesesakan menaiki MRT.

Sejurus bersolat maghrib di rumah Mus'ab, kira-kira jam 8 suku malam saya dihantar semula ke Queen Street oleh Mus'ab dan Surya. Berpisah dan bergegas menaiki SJE. Tiba di Larkin jam 9.45 malam. Saya mengambil bas terakhir Cepat Ekspress ke Segamat iaitu pada jam 10.30 malam. Jam 1.35 pagi saya tiba di rumah!

Gambar atas: Bangunan jam besar yang berwarna putih itu menurut Cikgu Karmin adalah jam yang sama dalam filem Labu-Labi.
Gambar bawah: Di Rumah Seni Singapura bersama Surya dan Cikgu Karmin.

Memo: Terima kasih kepada Surya Darma, Mus'ab, Cikgu Karmin, Azhar, Mukhtar dan SK yang seperti 'sahabat lama yang terpisah jauh tetapi baru bertemu semula'.

Read more...

Rabu, November 05, 2008

MANUSIA PALING BERKUASA di DUNIA?

"Saya yakin presiden AS mempunyai pengaruh besar dan saya berharap Obama akan menggunakan pengaruh positif ini untuk memastikan isu ini (Afghanistan, Iraq, Palestin, dan Iran) diselesaikan secepat mungkin," kata Pak Lah.

"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujar MB Kelantan

“Jika Obama menang, beliau akan melawat sekolah kita,” umum Timbalan Pengetua sekolah lama Obama di Menteng, Indonesia.

Baca Profil Obama

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP