Sabtu, November 29, 2008

BANDAR NOSTALGIA
(KUALA KANGSAR, AKU DATANG!)

Sejurus bersantai dan mandi-manda di Bukit Merah, kami berhajat untuk berhenti solat. Lantas selepas hampir sejam memandu, saya menyusur keluar ke kiri. Masuk ke Tol Kuala Kangsar. Selepas 6 tahun, inilah kali pertama, saya mampir ke Kuala Kangsar. Ya, Kuala Kangsar, aku datang!

Ia bandar nostalgia bagi saya. Arwah ayah pernah bersekolah di MCKK sekitar tahun 50-an (barangkali senior kepada DSAI). Sementara saya menjalani latihan praktikum selama lebih kurang 3 bulan sekitar awal 2001. Di sebuah sekolah yang mewah sejarah. Di Madrasah Idrisiah Bukit Chandan (MIBC), Kuala Kangsar. Entah bagaimana saya tergerak untuk memilih sekolah diraja ini menjadi tempat latihan ilmu perguruan saya, saya tidak tahu. Yang pasti, saya jatuh cinta dengan sekolah ini dan Kuala Kangsar juga. Di sini bagi saya, kedamaian bagaikan melata. Tenang. Setenang air coklat Sungai Perak yang mengalir lesu. Sungguh saya rindu dengan daerah damai-tenang ini.

Lalu, kami singgah di Masjid Ubudiyyah yang indah metah di kaki Bukit Chandan. Dahulu, semasa zaman bujang di sinilah saya kerap bersolat jemaah dan sempat juga mengenali sebahagian ahli jemaahnya. Binaan masjid ini hebat. Kedudukannya strategik. Lanskapnya cantik. Di hadapannya, di seberang jalan, berdiri tegap Madrasah Idrisiah. Nun di atas bukit sana, Istana Iskandariah Bukit Chandan. Di tepi sebelah kiri istana, ada padang bola tempat saya dan para pelajar MIBC bermain bola sepak saban petang.

Sayang sekali, teman baik saya, Ustaz Syaffawi Zainon pulang ke kampungnya di Kampung Gajah. Namun saya tetap singgah ke MIBC. Rindu ini harus saya langsaikan. Memandu masuk ke dataran asrama-sekolahnya, meninjau-ninjau dari dalam kereta, kemudian keluar semula setelah tidak menemui kelibat teman-teman lama. Tiada sesiapa yang mengenali saya kecuali guru-guru lama yang tentunya sedang bercuti. Generasi pelajarnya yang pernah saya mesrai dulu sudah tiada. Sudah tamat sekolah. Malah ramai juga bekas pelajar yang menegur saya bila berlaga bahu di UM atau di mana-mana juga.

Jam 7 malam, kami keluar dari MIBC dan menuju ke selatan. Insya-Allah, panjang umur akan datang lagi. Ah, berat rasanya mahu meninggalkan bandar nostalgia!

Read more...

Khamis, November 27, 2008

RFC

Adik ipar mahu memilih gadis Pulau Pinang sebagai teman hidupnya, lantas kami sekeluarga turut serta dalam rombongan meminang hujung minggu lalu. Saya tidak pernah memandu ke utara sehingga sejauh ini. Inilah kali pertama. Destinasinya di Sungai Dua. Satu fakta menarik yang harus saya akur sepanjang memandu adalah luasnya negeri yang dikuasai pembangkang. Dari Bangi hingga ke Tanjung Malim hingga ke Bukit Merah dan akhirnya tiba di Tol Juru.

Kami menginap di Hotel UiTM Permatang Pauh semalam dua. Majlis pertunangan berjalan lancar. Setelah semua selesai, ahli rombongan yang lain pulang semula ke Johor. Lalu kami tinggal sehari lagi untuk menjelajah daerah-daerah padat di sekitar Seberang Perai ini.

Namun saya lebih teruja untuk ke Sungai Petani. Susur keluar di Tol Sungai Petani Utara, ambil kiri, masuk ke Bandar Lagenda, kami menemukan premis RFC di seberang jalan.

RFC - Radix Fried Chicken. Ia adalah restoran makanan segera pertama bumiputera-Islami di bawah HPA. Halal menjadi keutamaannya. Dan kita tahu reputasi HPA yang memiliki kilang di Jejawi sebagai pengeluar produk Islami yang semakin meningkat naik kini. Motonya, jika tidak silap, 'mencari yang halal itu fardu'. Ia beroperasi dari jam 10-30 pagi hingga 11-00 malam.

Ramainya pelanggan di RFC memaksa saya berbaris selama 25 minit sebelum beroleh juadah yang diidamkan. Ramai juga yang berkopiah dan berjubah di dalamnya. Ketara, ayam herba gorengnya juga lebih ummppphhh daripada KFC!

Memo: Beruntung sekali penduduk Sungai Petani yang berdekatan dengan RFC. Yang jauh-jauh, terpaksalah masuk juga ke KFC atau McD. Kalau ke utara lagi, kami takkan lupa singgah di Sungai Petani!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP