Selasa, Februari 03, 2009

Antara Kuliah Maghrib & Bacaan Yaasin

Setiap Isnin malam Selasa, biasanya anta akan berkuliah Maghrib di surau sebuah sekolah berasrama. Sudah agak lama juga rutin itu. Anta tak ingat masuk tahun ke berapa. Entah mengapa akhir-akhir ini keinginan anta untuk bercakap itu kadangkala meluap-luap. Barangkali anta banyak terusik dengan isu pembantaian Palestin di Gaza. Barangkali juga kerna melihatkan remaja kini semakin kurang sensitivitinya terhadap isu global dunia Islam yang berlaku di mana-mana, hatta di sekeliling mereka. Di celah-celah 'kebarangkalian' itu, sebenarnya banyak tugasan yang perlu diselesaikan di rumah, tetapi anta rasa 'kewajipan' untuk memberi tazkirah kepada golongan remaja itu lebih mendesak.

Anta sudah berkira-kira, dalam bulan ini anta akan bercakap soal Yahudi dan Palestin. Anta akan huraikan susur-galur bangsa terlaknat itu. Anta akan jelaskan kisah-kisah Nabi Musa, Daud, Sulaiman yang pernah menjadi pemimpin Bani Israel yang degil itu. Anta akan kronologikan segalanya tentang perancangan Yahudi musuh Islam nombor wahid dari sidang Basle hinggalah ke Camp David.

Sebab anta tahu, remaja kini bukan ambil kisah sangat tentang
dunia Islam. Mereka lebih kenal artis dan atlet. Mereka lebih ingat apa dia sarapan pagi Memey Suhaiza dan apa pula diet malam Abby Abadi. Mereka lebih menghafaz tarikh lahir David Beckham dan Angelina Jolie berbanding tarikh pembukaan Constantinople atau kewafatan Hasan al-Banna. Mereka lebih tahu jumlah anggota Meet Uncle Hussain berbanding jumlah pemuda Ashabul Kahfi yang lari bersama anjing bernama Qitmir. Dan anta memang tahu yang mereka boikot juga barang Amerika dan Israel, tetapi sayangnya mereka tidak pasti apakah sebab utamanya berlaku pemulauan itu. Sekadar ikut-ikutan sahaja. Sekadar simpati kemanusiaan sahaja.

Malam itu anta ke surau sekolah tersebut seperti biasa. Sebaik tiba di pekarangannya, anta mendengar para murid diminta oleh seorang pemimpin mereka agar 'duduk rapat-rapat ke depan'. Itu biasa. Memang dalam majlis ilmu selalunya begitu. Bukankah ribuan malaikat menyertai majlis ilmu? Namun anta tidak pula dipersilakan ke ruang mihrab bagai selalu. Anta masih menanti di luar. Barangkali sebentar lagi akan ada yang datang menggamit, menjemput masuk.

Seorang pemimpin murid yang agak senior datang menghampiri anta, bersalam.
"Maaf ustaz. Malam ini kitotang nak buat bacaan Yaasin. Untuk arwah mak Ustaz S yang meninggal minggu lepas."
Anta tersenyum. Tenang. Memandang ke dalam. Tiada meja kecil untuk anta berkuliah tersedia seperti biasa di depan sana. Seorang pemimpin murid yang berada di depan mengumumkan nama seorang temannya sebagai 'pemimpin' bacaan Yaasin dan tahlil supaya tampil ke depan. Nampaknya memang mereka beria-ia benar hendak baca Yaasin malam ini. Kuliah maghrib ini apalah sangat. Seolah-olah sudah tidak ada malam Jumaat (yang lazimnya dijadikan 'malam wajib' membaca Yaasin dan tahlil beramai-ramai).
"Tak apa, ya, ustaz?"
Anta senyum lagi. Anta memandang telefon bimbit. Anta malas menunjukkan reaksi yang anta tidak berapa gembira dengan situasi seperti ini.
"Tak apalah." jawab anta.
Barangkali itu jawapannya yang mahu didengar oleh pemimpin murid tadi. Barangkali dia tidak terfikir langsung yang anta datang bukan suka-suka. Datang dalam keadaan anak-anak anta yang masih kecil di rumah merengek-rengek mengganggu ibunya mahu bersolat. Datang dalam keadaan terpaksa meninggalkan rutin antara Maghrib dan Isyak.

Anta memandang terus ke dalam surau. Bacaan Yaasin hampir bermula. Anta menghela nafas berat. Pelbagai cetusan lekas timbul dalam fikiran anta. Segalanya datang mampir. Macam-macam. Kefahaman sebegini bukan berlaku di sini saja. Tetapi di mana-mana. Ya, di banyak tempat juga. Bukan di surau sekolah berasrama ini saja.

Kesimpulannya, anta rasa begini. Memang sedikit pahit, tetapi itulah realiti. Mereka ini (mungkin juga gambaran masyarakat di luar) masih lagi tidak dapat membezakan keutamaan majlis ilmu berbanding bacaan Yaasin dan Tahlil.

Insya-Allah. Mudah-mudahan selepas ini mereka akan lebih berfikir.

7 komentar:

Tirana 7:34 PG  

Sedih dengan masyarakat sekarang...kadang-kadang tak tahu yang mana satu perlu lebih diutamakan. Dan menjadi tanggungjawab kita yang tahu untuk memberitahu kepada yang tidak tahu.

razzyy 9:26 PG  

Salam ziarah kembali..Saya musykil la...mengapa "anta"..sebab anta dlm bahasa arab,awak...kalau saya,ana..harap maklum...atau mungkin saudara Zaid mempunyai maksud yg tersirat dr penggunaan tersebut...Selamat Berjuang.

Zaid Akhtar 2:58 PTG  

Kak Tirana,
tanggungjawab makin berat.
masa pula sentiasa menghambat.
Al-Wajibat aktsar minal awqat.


Razzyy,
tak silap lagi,
memang "anta".
:-)

Tanpa Nama,  9:21 PTG  

Cikgu,

1. Maaf... ini lari topik, saja-saja nak ucap tahniah Liverpool menang lawan Chelsea. Lepas ni hanya Liverpool dan Man Utd sahaja yang bakal merebut juara Premeir League.

2. Roobie Keane pulang kembali ke Spurs... tak sampai setahun di Liverpool..., kenapa cikgu ya?

Sekian. Terima kasih.

rar/

Azhar Salleh 9:51 PTG  

Salam SAUDARA ZAID,
Beginilah mentaliti anak-anak Melayu yang dididik oleh fahaman yang nyata tersasar!

Tanpa Nama,  4:21 PTG  

Salam.

Ana juga bepengalaman yang sama di sekolah ana...semangat selalu meluap-luap..tetapi programnya lain..

atha.
kluang.

Haikal Nawwarah 6:30 PTG  

salamullahi 'alaik...
penggunaan kata ganti diri yg menarik... (anta)
membuatkan kisah yyg berlaku itu spt benar2 terjadi pada diri pembaca...

saudara zaid...
teruskan berkarya...
demi dakwah...
demi ukhwah...
demi ummah...

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP