Jumaat, Februari 06, 2009

PETIKAN KERTAS KERJA mengenai SALJU SAKINAH
(Bahasa dan Pemerkasaan Masyarakat dalam Novel-novel Berunsur Islam
oleh Dr. Kamariah Kamarudin& Dr. Pabiyah Hajimaming, UPM)


Nilai al-Khayr (kebaikan) dalam novel Salju Sakinah dalam konteks Islam ialah hal-hal yang menjurus kepada kebaikan yang direstui oleh Allah SWT dalam galur kehidupan manusia. Dalam erti kata lain, nilai kebaikan tersebut ialah perkara-perkara yang melibatkan amar makruf nahi mungkar yang menjadi landasan manusia yang beriman. Ini sejajar dengan peranan sebagai seorang Muslim yang perlu meyakini bahawa tujuan utamanya dalam hidup di dunia adalah untuk mengabdi kepada Allah SWT.2 Hal ini disuguhkan dalam al-Qur’an misalnya menerusi surah al-Baqarah ayat 110, surah Ali Imran ayat 110, surah Al-Nisa’ ayat 114, surah Al- Hajj ayat 41, surah Luqman ayat 17, surah Muhammad ayat 218 dan beberapa surah lain yang mengagaskan peri pentingkan nilai kebaikan dalam kehidupan manusia.

Justeru, menerusi novel Salju Sakinah, nilai kebaikan diketengahkan pengarang menerusi watak-watak utama yang unggul yang berperwatakan dengan sifat mulia, iaitu berakhlak mulia, bersopan santun, berhemah tinggi, bertimbang rasa, berperi kemanusiaan, mengajak kepada kebaikan, berbaik dengan jiran dan berkasih sayang. Pemaparan nilai kebaikan yang dikemukakan pada watak Sumayyah terserlah menerusi corak pergaulan dan daya kepimpinannya sebagai seorang mahasiswa Universiti Yarmouk, Jordan.

Pengarang memperlihatkan watak utama ini sebagai anak muda yang cekal dalam meraih ilmu di perantauan. Dalam hal ini, didapati bahawa Sumayyah seringkali berusaha bersungguh-sungguh dalam prosesnya menekuni ilmu dengan para ilmuwan di bumi anbiya’ tanpa mempedulikan beberapa siri dugaan yang ditempohnya sepanjang menyudahkan pengajian tersebut. Kebijaksanaan Sumayyah mengawal emosi dengan mendekatkan dirinya melalui proses pembacaan buku-buku agama untuk meneguhkan dirinya sebagai Muslimah sejati menunjukkan usaha pengarang memugar masyarakat pembaca dengan bahasa yang baik dan berkesan:
Umi tidak kelihatan, barangkali sedang lena di kamar. Petang Ahad begini memang enak jika beristirahat dan tidur, namun dia sudah tidur hampir satu jam pada sebelah pagi. Lantas dia ke ruang tamu dan mencapai buku La Tahzan yang sudah beberapa hari tertangguh pembacaannya. Rindu pula untuk menikmati inti buku motivasi terlaris itu. Di muka surat 145 hingga 146 buku itu, terselit kata-kata yang berbunyi: Jangan bersedih. Lantaran kesedihan itu menakutkan engkau untuk menghadapai masa depan. Dan kesedihan itu tidak akan mengembalikan yang hilang dan yang pergi; tidak akan menghidupkan yang mati. Dan kesedihan itu juga daripada syaitan! (Salju Sakinah, hlm. 198)

Berdasarkan cara pengarang menggambarkan sifat cintakan ilmu dan sikap rajin membaca Sumayyah dalam Salju Sakinah, jelas menunjukkan nilai kebaikan yang mengarahkan khalayak pembaca kepada hal-hal yang murni dalam kehidupan. Dengan menjadikan medan ilmu dan bahan bacaan agama sebagai hubungan menjalinkan rasa cinta manusia yang kudus kepada Allah SWT, novel ini mengajak khalayak mengambil ibrah (pengajaran) daripada buku La Tahzan.

Di samping itu, gambaran daya kepimpinan yang jitu pada Sumayyah turut memperlihatkan sahsiah diri yang terpuji bagi seorang anak muda. Pengarang mengemukakan nilai-nilai luhur Sumayyah dalam mengemudikan beberapa masalah kaum Hawa kala berada di perantauan. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai mahasiswa universiti, namun penglibatan anak muda tersebut dalam kancah persatuan tidak menghalangnya memenuhi tuntutan kuliah dan sebagainya. Malahan dengan menyertai persatuan, Sumayyah ditampilkan sebagai wanita yang hebat berhujah, berani mengemukakan pandangan, betah menyesuaikan pergaulan dan tenang berhadapan dengan pelbagai rencam kehidupan. Pengukuhannya terhadap agama dan penghayatannya terhadap Islam jelas menerusi ungkapan hadis Nabawi yang mendorong khalayak pembaca menjana fikiran tentang keunggulan Muslim yang bertaqwa:
Sumayyah memberi salam, bertahmid dan berselawat sebagai mukadimah. Dia tidak berkeinginan bercakap lama, apatah lagi di hadapan rezeki. Lantas dengan tangan kosong dan tanpa persedian, dia mengungkapkan sepotong hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Al-Hakim berbunyi: “Barang siapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakan (takwa), maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya.”
(Salju Sakinah, hlm. 123)

Selain itu, Sumayyah turut digambarkan sebagai seorang anak muda yang mempraktikkan ilmu yang dipelajari ketika membantu kawan-kawan dalam kesusahan. Menerusi Salju Sakinah, pengarang memaparkan ketekunan Sumayyah dalam kerja-kerja sosial, iaitu membantu orang lain tatkala ditimpa musibah. Dalam hal ini, didapati Sumayyah berusaha menyembuhkan sahabat wanitanya yang terkena penyakit histeria dan sihir dengan melakukan pengubatan menerusi pembacaan ayat-ayat suci al-Quran terutamanya Ayatul Kursi yang terkenal sebagai ayat penyembuh dan mujarab daripada gangguan makhluk halus dan sebagainya.9 Pengarang memperlihatkan nilai kebaikan yang ada pada diri Sumayyah berdasarkan ilmu pengetahuan yang dimilikinya untuk menyelesaikan permasalahan sekeliling:
Lantas dia selawat Syifa’ dan selawat Tafrijiyyah sebelum dihembus ke telinga Masnida. Dan disusuli Ayatul Kursi yang dibaca dengan sembilan kali wakaf. Kala itu hatinya cukup yakin dengan hadis daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran. Tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan kecuali ia keluar darinya – iaitu Ayatul Kursi. (Salju Sakinah, hlm. 149)

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP