Selasa, Mei 19, 2009

Cerpen Sempena Hari Guru


Rindu Ini, Cikgu

ENTAH mengapa. Saya sendiri tidak pasti mengapa dada saya tiba-tiba sahaja dihentak debaran sebaik sahaja Mercedes yang saya naiki melepasi pintu pagar sekolah. Bertalu-talu hentakannya. Kata ibu, jika berdebar-debar begini tidak semena-mena tandanya kita akan menemukan sesuatu yang besar. Tuah apakah agaknya yang akan jatuh ke riba saya?

Bagaimanapun pertanyaan demi pertanyaan yang menyerbu benak itu segera pupus apabila kereta berhenti. Debaran merosot sedikit. Saya mengintai sekali imbas keluar. Pintu kereta terkuak kerana dibuka dari luar. Terpacul wajah Haji Mustakim di muka pintu dengan senyuman bergula.

“Selamat datang, Yang Berhormat. Selamat bertandang ke sekolah kami.”

Saya menyahut ucapan selamatnya juga dengan senyuman. Lalu bingkas keluar dari perut kereta. Sebaik sahaja tangan kami berjabat, paluan kompang mula bergema memecah suasana. Beberapa orang guru dan dif-dif kehormat yang mengiringi Haji Mustakim selaku pengetua juga menyambut ketibaan saya dengan jabatan tangan, ukiran senyuman dan ucapan selamat datang.

Sejurus seorang pelajar barangkali ketua pengawas – menyematkan roset di dada kanan saya, lalu saya diarak dari kereta menuju ke pintu masuk dewan besar. Empat orang pelajar memegang bunga manggar menjadi teraju di depan. Di kiri kanan, para pelajar dan ibu bapa berbaris memberi hormat sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Di belakang, satu pasukan kompang perlahan-lahan mengekori.

Lantas saya yang bagaikan menerajui satu rombongan kecil melangkah memasuki dewan. Tidak semena-mena debaran yang sirna tadi mampir semula. Gemuruh pula rasanya hari ini. Meskipun inilah kali pertama saya menjejaki sekolah ini, namun ini bukanlah kali pertama saya menghadiri undangan seumpama majlis yang akan berlangsung sebentar lagi. Seisi dewan bangun tanda hormat sehinggalah saya melabuhkan punggung di atas sofa empuk di atas pentas, diapit oleh pengetua dan Yang Dipertua PIBG.


Baca lanjut di sini.


Memo: Cerpen ini ditulis lebih setahun yang lalu. Tersiar dalam Utusan Melayu Mingguan 7 & 14 Julai 2008. Iya, barangkali terlalu ramai guru yang berjasa dalam hidup kita, namun saya cuba mengabadikan nama salah seorang guru yang berjasa kepada saya semasa di sekolah rendah dahulu dalam cerpen ini.

2 komentar:

HASMORA MASNURI 11:58 PG  

salam..

kenapa sebak benar cerita ni.. waduh..

selamat hari guru ye..

sitisuraya 1:44 PG  

salam

selamat hari guru :)

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP