Khamis, Julai 02, 2009

SS dan Senaskhah Tesis

Sore tadi saya menerima senaskhah tesis atau projek ilmiah semester akhir seorang bakal graduan UKM. Terpinga-pinga saya pada awalnya tatkala menerima buku kulit tebal yang berbungkus cantik itu. Rupanya novel SS telah menjadi subjek kajiannya bagi memperoleh Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan).

Saya sendiri teruja. Tidak menyangka pertolongan saya yang sedikit menerusi e-mel dahulu dibalas dengan sebuah tesis yang sempurna. Sebenarnya saya sendiri sudah lupa kerana beberapa e-mel daripada beberapa pelajar lain juga bertanyakan soalan-soalan seputar novel-novel saya. Banyak yang bertanya itu ini begitu begini hingga saya lupa yang mana satu.

Saya sendiri terpinga. Tidak menduga novel bersiri di ruangan agama Utusan Malaysia yang saya tulis dengan penuh siksa sepanjang tahun 2005 mendapat perhatian yang tidak sedikit oleh pembaca dan sarjana. Saya kira SS bukanlah karya terbaik saya setakat ini. Saya secara peribadi, lebih menyenangi Rona Bosphorus yang jauh menjelajah ke Istanbul dan mendepani pengaruh Yahudi. Namun pakej yang diberikan kepada SS ternyata istimewa lantas saya reda dengan tuah dan pemberian-Nya.

Saya membelek-belek naskhah tesis berkulit hijau tua yang bertaip kemas. Setebal 74 halaman.
Siapa sangka, selepas lima belas bulan Salju Sakinah berada di pasaran, kini sudah ada kajian yang ditulis tentangnya. Saya kira judulnya juga menarik: Mesej Dakwah dalam Novel Ayat-ayat Cinta dan Novel Salju Sakinah.

Memo: Terima kasih kepada Liza Dadie. Tahniah dan selamat berkonvo!

4 komentar:

wardah munirah 1:36 PG  

Assalamualaikum saudara,
Tahniah atas kejayan Salju Sakinah. Doakan penulis baru seperti saya yang baru bertatih mencari ruang di dunia sastera kita berjaya meraih kejayaan seperti saudara juga.

naimisa,  8:27 PG  

Assalamualaikum...

Ya. mantop.

Tahniah!
Saya setuju kalau dikata RB itu lebih menarik, tetapi SS juga ada kekuatan tersendiri kerana latar ceritanya dlm negara sendiri.

penaklukcinta 4:35 PTG  

Salam
saya jua lebih menyukai Rona Bhosporus berbanding novel us yang lain
dan watak2 dlam novel itu masih terbayang-bayang dalam ingatan walaupn dah beberapa tahun saya membaca novel itu

helmiwafie 5:24 PTG  

tahniah ustaz...saye pun suke rona bosphorus. Tapi sebenarnye saye belum mendapatkan salju sakinah. yela kalau boleh nak dgn tandatangan penulisnye sekali...huhu

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP