Rabu, September 30, 2009

GURU MENANGIS SIAPA TAHU?

Bayangkan anda seorang guru.

Suatu hari anda ditugaskan membawa pelajar anda pergi ke sebuah daerah untuk menyertai pertandingan. Pidatolah katakan. Sekolah anda pula tiada kemudahan van atau bas yang dibekalkan kementerian. Takkanlah nak guna teksi atau van sewa pula, besar pula belanjanya, malah susah untuk bergerak di daerah asing itu nanti.

Lantas anda terpaksa membawa pelajar anda ke tempat pertandingan yang mungkin jauhnya beratus kilometer dengan kenderaan sendiri. Soal tuntutan perjalanan, akan dibincangkan kemudian dengan pihak pentadbir nanti. Yang penting pelajar@ peserta berjaya sampai tepat pada masanya dan seterusnya bertanding.

Dalam perjalanan ke daerah terbabit, kereta anda terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Alhamdulillah, anda selamat dan panjang umur. Tetapi pelajar anda meninggal dunia!

Bagaimanakah keadaan anda selepas itu? Ke balai poliskah? Atau ke lokapkah?

Jawapannya, anda akan didakwa. Jadi, berhati-hatilah apabila membawa pelajar anda pergi bertanding ke mana-mana. Kalau ada van atau bas milik sekolah, jangan pula tidak digunakan. Rebutlah harta kerajaan itu terlebih dahulu sebelum ia ditempah atau digunakan oleh mereka yang bukan warga sekolah dan sebagainya.

Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang persoalan guru akan didakwa jika pelajarnya meninggal dunia dalam perjalanan yang berada di bawah tanggungjawabnya. Ia isu kontroversi yang mengerikan saya kira. Na'uzubillah. Cumanya hari ini saya ingin berkongsi perasaan gembira kerana sahabat saya Cikgu Zharul Nizam Shah Zainal Abidin @ Pujangga Seni telah menang dalam perbicaraannya di sebuah mahkamah di Kluang.

Kesnya sulit. Rumit. Bayangkan! Dua orang pelajarnya mati di dalam keretanya akibat kemalangan tragis dalam perjalanan pulang mereka dari Johor Bahru. Ah, ia cukup mengerikan! Sungguh, Tuhan, saya tidak sanggup menanggungnya. Bukan sekadar tragedi itu yang menakutkan, bahkan implikasinya selepas itu sangat menyeksakan. Betapa besarnya tanggungjawab seorang guru!

Justeru, sejak pertengahan 2006, Cikgu Zharul yang juga novelis Rengsa ini terpaksa turun naik mahkamah. Betapa sukarnya menempuh beberapa tahun dengan diri berada di kandang pesalah meskipun jasadnya bebas. Lesen memandunya digantung. Malah dia hampir kehilangan kerjaya jika sabit kesalahan. Lebih memeritkan apabila diri sering ditohmah bersalah. Dan kesnya sudah beberapa kali ditangguhkan perbicaraannya dari setahun ke setahun.

Syukur. Hari ini setelah lebih tiga tahun tidak pulas tidur dan rasa terdera, mahkamah akhirnya memutuskan kesnya dianggap selesai. Saya pasti air mata kegembiraan mengalir tanpa henti-henti. Begitu juga dengan tahmid dan syukur kepada Tuhan.

Tahniah, Zharul. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar.

8 komentar:

Ibnu Ahmad al-Kurauwi 4:24 PTG  

Ya, saya pernah mendengar cerita ini. Syukur ya Allah.

Sham al-Johori 11:37 PG  

salam kpd Zahrul.
Itulah yg dinamakan perjuangan.
Suruh dia novelkan cerita itu.

Rusdi Abd Rahman 4:13 PTG  

Cikgu,
1. Semoga Cikgu Zahrul dapat kembali menulis dengan penuh semangat setelah selesai perkara ini.
2. Bagaimanakah pula ungkapan 'Penggerak Sastera dan Bahasa Menangis Siapa Tahu?' Hehehe...

Melihat Kesunyataan 12:36 PTG  

Tentang Cikgu Zahrul saya kenal beliau sebagai seorang penulis yang banyak menghadiri aktiviti PPJ. Pengalaman beliau ini sebenarnya amat mahal sekali. Siapakah yang tahu betapa nilai pengorbanan kita sebagai guru. Perayaan Hari Guru hanyalah helah poltik yang kononnya untuk mengenang jasa guru. Tak usaha berharap guru akan dapat pingat seperti gelaran 'datuk' atau sebagainya. Jika dibandingkan dengan artis, mereka sungguh bertuah. Ramai yang telah bergelar 'Datuk'. Bukan kita iri atau cemburu. Kalau memang mereka berhak, apa salahnya. Fikirkanlah sendiri.
Sebagai guru kita tidak minta apa-apa, cuma fahamailah tugas guru. Mengapa apabila berlaku sesuatu tragedi yang menimpa murid 'guru' dipersalahkan?
Saya cadangkan kepada guru supaya masuklah kesatuan guru seperti NUTC. Sekurang-kurang kesatuan akan berdiri di belakang kita bila berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

Md Nizar Parman 10:03 PG  

Salam kunjungan. Hehehe

nafizah 1:30 PTG  

salam
saya agak terkesan dengan entri ini.
saya pun selalu bawa pelajar kalau ada pertandingan/perlawanan. saya cuma mengajar di sekolah agama rakyat jd mmg xde kemudahan bas/van sekolah. Bila baca entri ni kecut jgk, tapi sbnrnya bg peringatan kat saya. Insya ALLAH saya akan cuba lebih berhati-hati. Tak pernah terfikir pun perkara mcm ni akan terjadi.

Azhar Salleh 12:28 PTG  

Salam TUAN ZAID,
Terima kasih krn membantu perkampungan. Jasa tuan, Allah swt akan membalasnya jua. Tentang entri ini, saya pernah bertemu dan banyak berbual dengan Cikgu Zharul sewaktu perkampungan penulis muda negeri di Tebing Tinggi, tetapi saya sudah lupa tahunnya? Allah swt telah memberikan kelapangan kepada cikgu Zharul, lantaran kesabaran dan kecekalannya. Namun, guru menangis siapa yang tahu? Hal yang sama, tidak mustahil akan berlaku kpd kita juga, dan kita haruslah sentiasa beringat-ingat.

Zharulnizam Shah 10:55 PTG  

Terima kasih sahabatku Zaid. Kebenaran tidak akan tewas. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Ana menang berkat doa semua para sahabat. Allahhuakbar

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP