Sabtu, Oktober 31, 2009

Novel, Guru Sukan & Dakwah

Dua tuntutan.



Setakat ini ada dua tuntutan yang menjadi kemestian untuk saya tunaikan dalam penulisan karya novel saya yang baru empat buah itu. Pertama, amar ma'ruf nahi munkar. Kedua, melahirkan generasi ulul al-bab. Dan saya cukup gembira dan berpuas hati jika ada karya saya yang mencetus perubahan dalam diri pembaca hingga lebih dekat dengan Pencipta.

Izinkan saya berkongsi kegembiraan dan kekaguman saya terhadap usaha seorang setiausaha sukan di sekolah dalam entri ini.

Petikan dari blog Cikgu Faizal Said berbunyi begini:




Perkara pertama yang terlintas seusai membaca novel remaja bertemakan sukan nukilan Zaid Akhtar, Justeru Impian di Jaring ialah bagaimana caranya agar pelajar-pelajar saya turut menikmati novel yang menarik ini. 
Saya benar-benar berharap watak Syahir dalam novel tersebut akan menjadi ikutan para pelajar saya yang rata-ratanya fanatik bersukan (kalaulah dalam akademik juga sefanatik itu, berbahagialah guru-guru SMK Juasseh) tetapi tidak mengikuti lunas-lunas yang digariskan dalam Islam. Rasanya masalah ini turut dirasai oleh guru-guru lain di mana-mana pun. 
Begitu pun, sebagai guru yang bertanggungjawab terhadap sukan di sekolah secara langsung, ada kalanya rasa bersalah dan berdosa itu tetap menyelinap dan sentiasa bermain-main di fikiran. Ini tidak bermakna saya tidak berbuat apa-apa. Saya juga sering mengingatkan malah ada kalanya menjadikannya syarat untuk dipilih sebagai pemain atau atlet. Bagaimanapun, langkah sebegitu tidak begitu berkesan kerana ia hanya dapat mengubah pelajar untuk seketika. 

Tambahan pula, syarat ini tidak menyeluruh kerana apabila pelajar-pelajar ini berjaya mewakili daerah atau negeri, syarat tersebut tinggal bersama-sama saya di sekolah. Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan jurulatih sendiri yang merasakan prestasi atlet akan merosot jika memakai pakaian menutup aurat. Malah mereka sendiri yang tidak membenarkan.
Berbalik kepada persoalan awal tadi, bagaimana caranya agar pelajar saya mencari dan menikmati novel Zaid ini. Secara spontan, timbul idea agar petikan dalam novel ini saya abadikan di dinding Kamar Sukan (Stor Sukan). Mungkin dengan cara ini, pelajar-pelajar yang lalu-lalang akan singgah sebentar dan menikmati dan menghayati kata-kata tersebut. Mungkin juga selepas itu, mereka akan berusaha pula mencarinya di perpustakaan sekolah. Daripada 10 orang, tak dapat semua, dapat separuh pun jadilah. Paling tidak pun, seorang. Jangan tak ada langsung. 








Harapan saya dengan cara ini, sedikit banyak dapat membantu mencapai matlamat pengarang iaitu Zaid untuk berdakwah lewat novel-novelnya.                           

Memo: Mudah-mudahan usaha Tuan Faizal Said yang mulia ini mendapat ganjaran berganda-ganda. daripada-Nya. Sentiasa dan berterusan.



0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP