Sabtu, Oktober 10, 2009

SEKALI LAGI di KUKUP


Minggu ini, selama 4 hari 3 malam, saya berada di Kukup Golf Resort, Pontian untuk menghadiri Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2009. Johor diminta menjadi tuan rumah secara "bidan terjun" setelah Labuan dan Kelantan menolak kerana beberapa faktor. Mulanya memang berat untuk hadir ke sini apatah lagi mengenangkan calon-calon SPM dan STPM di sekolah. Namun memandangkan komitmen yang diberikan oleh teman-teman penulis seJohor dan pihak DBP Wilayah Selatan, saya gagahkan juga menerima tanggungjawab ke sana.
Saya kira, ini kali kedua saya ke Kukup. Kali pertama dan terakhir saya ke sana sekitar Jun 2005 sewaktu menghadiri Perhimpunan Penulis Muda 2005. Jaraknya dari Segamat cuma 165km. Saya ditugaskan membimbing genre cerpen bersama Cikgu Kassim Mahmud, sementara Tuan Azhar Salleh dan Cikgu Nazim Subari meladeni genre puisi.
Pada pagi Isnin, Cikgu Kassim telah berceramah tentang asas-asas penulisan cerpen dalam slotnya. Justeru, saya mengisi slot saya pada pagi Selasa dengan prasyarat, tip-tip, pantang-larang dan panduan dalam menghasilkan manuskrip cerpen yang baik.
Paling seronok apabila bermain dengan slaid yang memaparkan gambar-gambar tokoh-tokoh sasterawan tanah air. Dari situ dengan pantas kita dapat mengenalpasti penulis mana yang memiliki asas dan pengetahuan sastera yang baik.
Seperti biasa, pada hari terakhir perkampungan, kita akan dapat mengesan bakat-bakat yang akan berkemilau jika diasah dan dipandu sebaiknya. Jumlahnya tentu sekali tidak ramai. Bagi saya, jika dapat empat lima orang yang akan lahir sebagai "bintang" pada masa depan daripada kesemua 80 orang pesertanya, perkampungan ini sudah dianggap berjaya.

Memo:
Gambar atas - bersama teman-teman penulis. Dari kanan; saya, Cikgu Sahrunizam Talib, Cikgu Hamid Jemain, Cikgu Nazim Subari, Tuan Haji Dzulkarnain Ithnain, Ustaz Hafiz Dzulkarnain, Cikgu Nizar Parman.
Gambar bawah - Saya bersama tiga orang calon penulis berbakat. Berdiri di belakang; Nur Adilla Abd Rahim (P.Pinang). Duduk dari kiri, Shamsul Amin Md Yusof (Pahang) dan Anas Khamis (Perlis).

2 komentar:

Rusdi Abd Rahman 7:23 PG  

Cikgu Zaid @ YNWA,
Begitulah adanya walaupun 'bidan terjun' namun khas untuk sesi ceramah dan bengkel penulisan ilmu penulisan tetap dapat dilaksanakan sebaik mungkin dengan beberapa perubahan berani oleh kita semua khasnya para penceramah dan fasilitator, apatah lagi suara besar yang kuat oleh Sifu Azhar menyalurkan pandangan untuk perubahan pengisian jadual yang bermakna dan bermanfaat kepada peserta kepada pihak JPNJ!
Berbanding perkampungan kebangsaan dalam beberapa tahun lalu yang lebih ke arah persembahan budaya dan seni, untuk kali ini kita berani mengubahnya agar perkampungan kebangsaan sebegini terisi dengan ilmu yang sewajarnya.
Terima kasih kerana 'terpengaruh' atas bujukan RAR untuk bersama dalam perkampungan ini.

Zulfazlan Jumrah,  2:48 PTG  

Salam Abg Zaid. Teringat dulu saya salah seorang peserta Perkampungan Penulis Kebangsaan 2005. Ketika itu arwah SN S.Othman Kelantan jadi SN yang membimbing peserta. Kalau ada yang berbakat besar, molek juga disarankan ke MPR untuk mendapat pendedahan yang lebih banyak.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP