Rabu, Januari 21, 2009

SEPAGI BERSAMA PROF KAMIL

Jumaat lalu, sekolah saya mengadakan program sambutan Maal Hijrah 1430H peringkat sekolah. Saya cukup berbesar hati kerana ditugaskan menjadi pengerusi majlis bagi acara ceramah yang bermula kira-kira jam 10 pagi. Apatah lagi penceramahnya adalah individu yang cukup dihormati di daerah kami iaitu Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim, Pengarah UiTM Segamat.

Sejak pertama kali bertemu beliau di Muar dalam Bengkel Penulis Muda Johor anjuran YWJ pada akhir Mei 2008, saya sudah berhasrat untuk mengundangnya ke SMKAS. Jarak antara UiTM Segamat dengan SMKAS di Segamat Baru bukanlah jauh, cuma ira-kira 12 kilometer. Tetapi kami ibarat dekat tapi jauh. Payah sekali untuk ketemu. Ternyata niat lama saya itu didengari dan masih disimpan kemas oleh penyelaras program, Ustazah Khairani yang suaminya juga bertugas sebagai pensyarah di UiTM Segamat. Syukur alhamdulillah. Segala urusan undangan lancar, dan Prof Kamil sudi hadir.

Terasa sebentar benar ceramah Prof pagi itu. Namun saya yakin ramai warga SMKAS yang menahan sebak sepanjang perkongsian yang amat bermakna itu. Dewan Luqman al-Hakim sendat dengan emosi beberapa ketika tatkala penceramahnya memukau hadirin dengan suara dari hati. Sayang sekali waktu Jumaat yang semakin mendekat tidak mengizinkan pertemuan berlangsung lebih lama. Apapun, saya bersyukur kepada Tuhan yang telah mengabulkan niat saya agar para pelajar dan guru-guru dapat beroleh manfaat dan merasai pengalaman yang pernah saya rasai sebelum ini. Terima kasih juga kepada Prof.

Sehingga pagi tadi, masih ada beberapa guru yang meminta saya agar lekas-lekas memesan buku Travelog Haji dan Travelog Dakwah daripada Prof. Saya hanya tersenyum sambil berjanji. Ramai juga yang kesal nampaknya kerana tidak dapat bertemu Prof seusai majlis tempoh hari bagi mendapatkan buku-buku best-seller beliau itu dan tentu sekali bersama autografnya.

Read more...

Ahad, Januari 18, 2009

108 juta untuk Seorang Kaka?

Dalam pada saudara-saudara seagama dan sebangsa mereka di Gaza sedang merasai 'neraka dunia' akibat sekatan dan serangan Ya'juj Ma'juj bernama Zionis Israel, seorang taikun minyak dari Dubai sibuk untuk membida bintang bola sepak Brazil yang bermain di kelab AC Milan, Kaka.

Sheikh Mansour bin Zayed Al-Nahyan barangkali terlepas pandang betapa umat Islam lebih memerlukan pertolongannya berbanding kelab Manchester City yang baru dibelinya. Harga 1o8 juta Pound (ya, Pound Sterling, bukan Ringgit Malaysia) yang mahu ditawarkannya dengan gaji sebanyak 500 000 pound seminggu adalah gila untuk seorang Kaka yang tidak memberi erti apa-apa kepada umat Islam. Barangkali Sheikh Mansour tidak perasan. Atau baginya apalah sangat 1200 orang yang telah terkorban syahid berbanding 55 000 kapasiti penonton yang memenuhi City of Manchester Stadium yang terpukau dengan gaya permainan samba Kaka dan Robinho.

Dalam wawancara secara langsung di Astro Awani minggu lepas, mantan PM Malaysia ada menyebut, negara-negara Arab pengeluar minyak memang 'boleh sangat' untuk menyekat eksport minyak mereka ke Amerika dan EU yang memandang sebelah mata konflik kemanusiaan di Gaza, tetapi yang menjadi soalnya adalah 'mahu atau tak mahu'.

Dan kita, yang tidaklah sekaya Sheikh Mansour dan taikun-taikun minyak di Teluk yang menjadi penjilat Amerika itu, teruslah berdoa, memboikot dan menyumbang derma bagi membantu saudara seagama kita sekadar termampu.

Memo: Saya agak kurang setuju dengan sebuah wawancara di Mingguan hari ini yang mendakwa bahawa konflik di Gaza bukannya konflik agama. Habis konflik apa? Asasnya adalah agama, tetapi didokumentasikan sebagai pertikaian wilayah. Tak usahlah kita menoleh ke lain bagi menafikan bahawa yang ditekan dan didendami adalah kaum muslimin dan agama yang paling dibenci Yahudi Zionis adalah Islam. Justeru awal-awal lagi Allah sudah memberi peringatan yang berbunyi "Wa lan tardha 'ankal Yahud walan Nashoraa hatta tattabi'a millatahum."

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP