Sabtu, Mac 14, 2009

MAHU MENJADI BINTANG?

Ramai pelajar atau mantan pelajar Timur Tengah menulis. Pelbagai genre mereka gulati. Malah sudah ramai yang berjaya menembusi sanggar sastera Berita Minggu dan Mingguan Malaysia. Namun tidak ramai yang tekal berterusan menulis, apatah lagi gigih menghasilkan novel. Biasanya semangat itu memuncak ketika belajar, masih hangat seketika sewaktu baru pulang ke tanah air, sebelum malap dan padam terus apabila menempuh alam pekerjaan dan rumah tangga.

Selain Mohd Nazmi Yaakub, A. Ubaidillah Alias dan Faizah Othman, Amiza Khusyri Yusof adalah graduan al-Azhar yang berjaya menulis novel. Beliau juga boleh dianggap nama yang agak 'besar' tatkala di Mesir, aktif berkarya dalam suara-suara kampus di sana, malah pernah membimbing beberapa bengkel penulisan di bawah PMRAM. Saya masih ingat, novel pertamanya (yang tidak pernah tiba di tangan saya) yang terbit di sana berjudul Sejernih Salsabila. Dicetak dengan modal sendiri.

Kecenderungan Amiza dalam menulis cerpen-cerpen bernuansa Islam memang ketara dan saya akui kemampuan dan kekuatannya. Salju Jabal Musa dan Perpatih Bertatih antara cerpen beliau yang cukup digemari para penggila karyanya.

Kini, Amiza muncul dengan novel kedua beliau - Menjadi Bintang. Saya percaya masa depan Amiza cerah jika beliau istiqamah. Terutama sekali dalam dua genre - cerpen dan novel. Kerana dalam menulis, selain bakat, kesungguhan dan ketekunan juga menjadi syarat.

Tahniah, Amiza. Moga novel MB ini pencetus kepada novel-novel seterusnya. Oh ya, teman-teman mantan penuntut di Timur Tengah yang lain bagaimana?

Read more...

Isnin, Mac 09, 2009

PARUT LUKA BAHASA

Aku jatuh semalam
sakitnya masih terasa
lukanya dalam
pedih
berparut
pasti lama kesannya.

Parut luka bahasa.

Segamat, 8 Mac 2009

Read more...

Ahad, Mac 08, 2009

HARGA SEKEPING KERTAS

Keranda 152 sedang diusung

Pengganas bahasa yang wajib diperangi?
7 Mac 2009.
Ramai sekali
rakyat berduyun datang

demi menitipkan
sekeping kertas kepada raja.
Demi masa depan bangsa dan bahasa
keranda diusung dalam linangan air mata
pedih ditusuk gas.

Mereka bukan penderhaka pencaci raja
sekadar mahu menyampaikan sekeping kertas.
Inikah harga?
Inikah balasan?

Memo: Tahniah buat rakyat Malaysia yang teguh berpendirian dan
berani menzahirkan bantahan.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP