Sabtu, April 18, 2009

SALAM PESTA BUKU

Selamat berpesta buku buat semua pengunjung blog yang diberi kelapangan untuk bertandang ke sana. Memandangkan kesihatan yang tidak mengizinkan dan kesempatan yang terbatas, saya akan hadir ke PWTC untuk sama-sama memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 pada dua hari terakhir.

Hari Sabtu 25 April akan saya khususkan untuk berlegar-legar dan warawiri - sambil meninjau sambil membeli. Khabarnya grup penulis Adabuna mahu bikin 'muqabalah' di sana. Elok juga. Bukan selalu dapat jumpa teman-teman penulis dari Timur Tengah. Forum Malaysia Membaca: Pesona Buku Melayu anjuran Buku Online yang menampilkan Haji FT dan Pak Samad pada jam 12 hingga 1 petang juga saya kira menarik untuk saya hadiri.

Dan insya-Allah, pada 26 April 2009 (Ahad) sekitar jam 3 hingga 4 petang akan diadakan sesi autograf bersama pengarang Salju Sakinah di Gerai PTS (nombor 72-79 - depan Bilik Johor dan Bilik Kedah).

Memo: Sila klik iklan kecil di penjuru kanan blog saya untuk mengetahui perkembangan semasa di PWTC.

Read more...

Ahad, April 12, 2009

LAMBAIAN NOSTALGIA

Barangkali sebahagian pembaca saya masih mengingati novel sulung saya - Sesegar Nailofar. Novel itu dikarang di rumah sewa saya di Gombak ketika mengambil Diploma Pendidikan UIAM sepulangnya saya dari Timur Tengah pada awal 2000. Setelah kurang lebih 8 tahun novel berlatarkan Jordan itu terbit dan berjaya diulangcetak, saya dapati ia memang sukar didapati kecuali di kedai buku atas talian Ujana Ilmu.

Saya tidak mahu mengulas tentang kesukaran mendapatkan novel tersebut kerana ia pastinya kurang menggembirakan. Saya sekadar mahu berkongsi dengan para pembaca yang masih mengingati watak Iqbal yang sempat diinterogasi oleh pihak berkuasa tempatan kerana simpatinya terhadap para pejuang HAMAS.

Baru-baru ini, seorang sahabat saya merangkap jiran lama baru sahaja pulang dari Jordan setelah sebulan bermusafir di sana. Kerinduannya yang meluap-luap terhadap Dataran Syam barangkali membawanya sekali lagi menghirup bau buah zaitun dan tiin. Hai, entah bila agaknya saya akan kembali ke Irbid terutamanya. Kata orang, "tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berkubang kala menuntut ilmu". Tambahan pula, saya dan isteri telah ditakdirkan bertemu pertama kali di sana! :-)

Terima kasih kepada Ustaz Hasmadi Hamdan yang sudi mengambil gambar tempat-tempat yang sangat banyak nostalgianya bagi saya. Gambar-gambar begini sangat berharga bagi saya dalam menyiapkan sequel novel itu nanti.

Memo 1:
Gambar atas: Masjid Abdullah Hamoud, Duwar Nasiem
Gambar bawah: Darul Ulum - rumah sewa lama saya di Duwar Nasiem milik Dr. Solah Abu Dhiyaq.

Memo 2: Boleh dapatkan novel Sesegar Nailofar di booth Utusan Publications di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 17-26 April 2009 nanti.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP