Rabu, April 29, 2009

LA TAHZAN ... ALLAHU YASYFIK

Isnin. Masih bercuti. Sepulangnya dari KL, kami sekeluarga sempat singgah di Seremban. Destinasi kami Hospital Tuanku Jaafar. Matlamat kami ziarah.

Sahabat serumah saya ketika di Jordan merangkap Presiden Permaya sesi 1998/99, Ustaz Khazri Osman yang kini bertugas di UKM ditimpa malang apabila mengalami kecelakaan jalan raya Khamis minggu lalu. Kaki kirinya patah. Terpaksa dimasukkan besi untuk memulihkan tulang yang retak.

Bersabarlah, tuan. Pasti ada hikmah-Nya. Allah mahu anta berehat dan memberi ruang membaca barangkali.

Serentak dengan kehadiran kami, sekumpulan guru termasuk pengetua dari SMKA Sheikh Mohd Said juga tiba. Saya lihat di sisi Ustaz Khazri ada sebuah kitab. Kitab yang sama-sama kami beli ketika di Dataran Syam dulu - La Tahzan.

Lalu saya titipkan Salju Sakinah sebagai sebuah catatan nostalgia yang indah ketika di Irbid dulu untuk dibaca.

Read more...

Selasa, April 28, 2009

SALAM PESTA BUKU iii

Sabtu
Bagai yang dirancang, saya ke Pesta Buku KL 2009 pada tengah hari Sabtu. Bertolak dari Segamat kira-kira jam 9. Tiba di PWTC kala Pak Samad dan Faisal Tehrani sedang berforum di Pentas Utama. Forum Pesona Buku Melayu anjuran Bukuonline itu semacam bertukar menjadi Forum anti-PPSMI akhirnya. Tabik spring untuk Pak Samad yang tekal istiqamah memperjuangkan bahasa ibunda.

Hari ini untuk warawiri, meninjau dan membeli buku. Ada beberapa pembaca - tidak tersangka - yang cam wajah saya menegur di celah gerai-gerai. Sejurus menunaikan Zuhur yang dijama'kan, saya terserempak Pengarah Urusan Ameen Publishing, Tuan Haji Che Mazlan lantas kami makan tengah hari bersama-sama di kafe. Rupanya Tuan Haji yang terkenal sebagai pencetus@pelopor projek amal Korban dan Aqiqah di Kemboja ini baru pulang dari Bologna.

Kemudian saya singgah di gerai Ameen. Berbicara dengan Faisal beberapa ketika sebelum saya turun ke gerai Galeri Ilmu. Ustaz Hasrizal, kawan lama saya yang sedang sibuk melayan para peminatnya sempat bertukar khabar dan bergambar dengan saya. Sebuah novel tanda perkenalan yang Faisal titipkan kepadanya turut saya sampaikan. Kemudian saya langsung ke Pentas Utama untuk menyaksikan pelancaran filem Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel Kang Abik. Sejurus pelancaran, saya kembali ke gerai Ameen untuk menyertai Faisal, Lutfi dan Sinaganaga yang leka bersembang.


Ahad
Tiba bersama isteri waktu tengah hari. Saya lihat gerai PTS sendat padat. Khabarnya, sesi autograf yang membabitkan saya dan beberapa penulis PTS hari ini terpaksa dibatalkan ekoran lalu lintas di hadapan Bilik Johor dan Bilik Kedah yang sesak teruk.

Berbual agak lama dengan Serunai Faqir di gerai Pekan Ilmu. Kemudian singgah di ITNM. Ketemu Lutfi Ishak dan kami ditegur penuh mesra oleh seseorang yang pernah saya lihat wajahnya sebelum ini. Tapi di mana? Orangnya cukup sederhana dengan kamera di leher. Apabila dia menghulurkan kadnya kepada kami, ingatan saya terus kepada DLL (Di Luar Lingkuangan). Inilah panel DLL yang diundang Tuan Syed Munawar malam Isnin lalu bersama-sama Puan Ainon Mohd. dan Puan Nisah Haron. Dialah Tuan Khair Ngadiron, CEO ITNM yang baru.

Sesudah bersolat Zuhur, tepatnya jam 2.30 petang, saya bergegas ke Bilik Johor untuk mengikuti Forum Sastera Islami Popular yang menampilkan 3 panel; Faisal, Kang Abik dan Dr. Abu Hassan. Agak menarik juga forum dua jam yang menyentuh seputar sastera dan filem ini membuatkan hati saya berbelah bahagi lantaran pada jam 4 petang, pelancaran novel-novel Islami PTS berlangsung di Pentas Utama. Namun saya berjaya menghadiri kedua-duanya saya kira.

Jam 5.30 petang. Sejurus jamuan minum petang di Bilik LimKokWing dan wawancara dengan krew TV9, para penulis novel Islami PTS bersama-sama membantu promosi jualan novel masing-masing di gerai PTS. Sesi yang dibatalkan tadi, diadakan semula setelah lalu lintas di depan gerai PTS agak lancar. Alhamdulillah, novel Salju Sakinah masih lagi mendapat sambutan memberangsangkan setelah setahun diuji di pasaran. Kami pulang ke Bandar Baru Bangi pada jam 9 malam.

Memo: Gambar atas. Bersama Abu Saif@Ustaz Hasrizal. Gambar tengah. FT dan Chef Luqman di gerai Ameen. Gambar bawah. Bersama Saharil Hasrin Sanin dan Nazmi Yaakub di Forum Sastera Islami Popular anjuran Pena.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP