Rabu, September 30, 2009

GURU MENANGIS SIAPA TAHU?

Bayangkan anda seorang guru.

Suatu hari anda ditugaskan membawa pelajar anda pergi ke sebuah daerah untuk menyertai pertandingan. Pidatolah katakan. Sekolah anda pula tiada kemudahan van atau bas yang dibekalkan kementerian. Takkanlah nak guna teksi atau van sewa pula, besar pula belanjanya, malah susah untuk bergerak di daerah asing itu nanti.

Lantas anda terpaksa membawa pelajar anda ke tempat pertandingan yang mungkin jauhnya beratus kilometer dengan kenderaan sendiri. Soal tuntutan perjalanan, akan dibincangkan kemudian dengan pihak pentadbir nanti. Yang penting pelajar@ peserta berjaya sampai tepat pada masanya dan seterusnya bertanding.

Dalam perjalanan ke daerah terbabit, kereta anda terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Alhamdulillah, anda selamat dan panjang umur. Tetapi pelajar anda meninggal dunia!

Bagaimanakah keadaan anda selepas itu? Ke balai poliskah? Atau ke lokapkah?

Jawapannya, anda akan didakwa. Jadi, berhati-hatilah apabila membawa pelajar anda pergi bertanding ke mana-mana. Kalau ada van atau bas milik sekolah, jangan pula tidak digunakan. Rebutlah harta kerajaan itu terlebih dahulu sebelum ia ditempah atau digunakan oleh mereka yang bukan warga sekolah dan sebagainya.

Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang persoalan guru akan didakwa jika pelajarnya meninggal dunia dalam perjalanan yang berada di bawah tanggungjawabnya. Ia isu kontroversi yang mengerikan saya kira. Na'uzubillah. Cumanya hari ini saya ingin berkongsi perasaan gembira kerana sahabat saya Cikgu Zharul Nizam Shah Zainal Abidin @ Pujangga Seni telah menang dalam perbicaraannya di sebuah mahkamah di Kluang.

Kesnya sulit. Rumit. Bayangkan! Dua orang pelajarnya mati di dalam keretanya akibat kemalangan tragis dalam perjalanan pulang mereka dari Johor Bahru. Ah, ia cukup mengerikan! Sungguh, Tuhan, saya tidak sanggup menanggungnya. Bukan sekadar tragedi itu yang menakutkan, bahkan implikasinya selepas itu sangat menyeksakan. Betapa besarnya tanggungjawab seorang guru!

Justeru, sejak pertengahan 2006, Cikgu Zharul yang juga novelis Rengsa ini terpaksa turun naik mahkamah. Betapa sukarnya menempuh beberapa tahun dengan diri berada di kandang pesalah meskipun jasadnya bebas. Lesen memandunya digantung. Malah dia hampir kehilangan kerjaya jika sabit kesalahan. Lebih memeritkan apabila diri sering ditohmah bersalah. Dan kesnya sudah beberapa kali ditangguhkan perbicaraannya dari setahun ke setahun.

Syukur. Hari ini setelah lebih tiga tahun tidak pulas tidur dan rasa terdera, mahkamah akhirnya memutuskan kesnya dianggap selesai. Saya pasti air mata kegembiraan mengalir tanpa henti-henti. Begitu juga dengan tahmid dan syukur kepada Tuhan.

Tahniah, Zharul. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP