Sabtu, Oktober 10, 2009

SEKALI LAGI di KUKUP


Minggu ini, selama 4 hari 3 malam, saya berada di Kukup Golf Resort, Pontian untuk menghadiri Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2009. Johor diminta menjadi tuan rumah secara "bidan terjun" setelah Labuan dan Kelantan menolak kerana beberapa faktor. Mulanya memang berat untuk hadir ke sini apatah lagi mengenangkan calon-calon SPM dan STPM di sekolah. Namun memandangkan komitmen yang diberikan oleh teman-teman penulis seJohor dan pihak DBP Wilayah Selatan, saya gagahkan juga menerima tanggungjawab ke sana.
Saya kira, ini kali kedua saya ke Kukup. Kali pertama dan terakhir saya ke sana sekitar Jun 2005 sewaktu menghadiri Perhimpunan Penulis Muda 2005. Jaraknya dari Segamat cuma 165km. Saya ditugaskan membimbing genre cerpen bersama Cikgu Kassim Mahmud, sementara Tuan Azhar Salleh dan Cikgu Nazim Subari meladeni genre puisi.
Pada pagi Isnin, Cikgu Kassim telah berceramah tentang asas-asas penulisan cerpen dalam slotnya. Justeru, saya mengisi slot saya pada pagi Selasa dengan prasyarat, tip-tip, pantang-larang dan panduan dalam menghasilkan manuskrip cerpen yang baik.
Paling seronok apabila bermain dengan slaid yang memaparkan gambar-gambar tokoh-tokoh sasterawan tanah air. Dari situ dengan pantas kita dapat mengenalpasti penulis mana yang memiliki asas dan pengetahuan sastera yang baik.
Seperti biasa, pada hari terakhir perkampungan, kita akan dapat mengesan bakat-bakat yang akan berkemilau jika diasah dan dipandu sebaiknya. Jumlahnya tentu sekali tidak ramai. Bagi saya, jika dapat empat lima orang yang akan lahir sebagai "bintang" pada masa depan daripada kesemua 80 orang pesertanya, perkampungan ini sudah dianggap berjaya.

Memo:
Gambar atas - bersama teman-teman penulis. Dari kanan; saya, Cikgu Sahrunizam Talib, Cikgu Hamid Jemain, Cikgu Nazim Subari, Tuan Haji Dzulkarnain Ithnain, Ustaz Hafiz Dzulkarnain, Cikgu Nizar Parman.
Gambar bawah - Saya bersama tiga orang calon penulis berbakat. Berdiri di belakang; Nur Adilla Abd Rahim (P.Pinang). Duduk dari kiri, Shamsul Amin Md Yusof (Pahang) dan Anas Khamis (Perlis).

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP