Khamis, Disember 17, 2009

20



Saya masih ingat 20 tahun lalu, ketika Temasya Sukan SEA 1989 di KL, skuad Harimau kita yang dibarisi Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Lim Teong Kim, Azizol Abu Haniffah, Rashid Hassan, Hashim Mustapha, Serbegeth Singh, Chow Siew Yai, dan beberapa lagi pemain handalan era tersebut berjaya membenam cabaran Singapura. Meskipun gol saguhati yang dijaringkan oleh Fandi Ahmad menerusi bicycle-kick cukup menarik, namun Malaysia tetap menang bergaya 3-1. Seingat saya juga, saya baru selesai menduduki UPSR seminggu sebelum itu. Menonton final dengan TV warna Sharp 21 inci yang baharu dibeli oleh mak dan TV itu masih bertahan hingga kini.

20 tahun lamanya menanti. Kini barulah ada sedikit sinar kepada bola sepak negara yang akhirnya melunaskan hajat dua dekad itu. Namun dari segi persembahan, skuad bimbingan Trevor Hartley itu lebih bertenaga, konsisten dan kreatif saya kira. Mungkin yang menang kali ini baru 23 tahun agaknya. Yang dulu itu, diperkuat oleh dua pemain yang bukan sahaja digeruni di Asia Tenggara  malah di Asia ketika itu - Dollah dan Zainal.

Harap-harap selepas menang ini, para pemain janganlah demand lebih-lebih sangat. Ekonomi tak berapa bagus sekarang. Yuran sekolah berasrama pun katanya dah naik. Bukan RM1 untuk sehari lagi macam dulu bagi pelajar yang ibu bapanya bergaji besar. Kerajaan pun janganlah beri melampau sangat. Barulah nampak pemerintah berhemat dan tahu berjimat. Bimbang jika terlebih bagi, masing-masing mua dan asyik joli. Kelak terpaksalah kita menanti 20 tahun lagi.

Apapun, tahniah!
Salam Maal Hijrah 1431.

Memo: Foto skuad emas 1989.

Read more...

Selasa, Disember 15, 2009

SAYEMBARA : TERUJA ATAU JAHIL ETIKA?

Mungkin kerana ghairah. Mungkin kerana teruja ingin berkongsi. Atau mungkin juga kerana tidak tahu etikanya. Ya, segalanya mungkin.

Saya bukanlah pihak terbaik untuk mengulas seputar hakcipta sesebuah karya, tetapi saya rasa ada baiknya saya "mengusik" sedikit berkenaan isu yang agak "kurang wajar dan tidak manis" dalam kalangan penulis generasi baharu yang mesra dengan teknologi siber.

Kira-kira tiga tahun lepas, apabila diumumkan senarai pemenang sayembara novel yang dianjurkan oleh sebuah agensi, saya tertarik melihat beberapa judul novel yang terpilih menjadi pemenang utamanya. Bukan senarai pemenangnya menjadi persoalan, tetapi ada dalam senarai novel yang menang itu judulnya pernah saya dengar dan baca sepintas lalu di internet sebelum itu. Ya, judulnya sama dan watak-watak utama yang disebut dalam ulasan ringkas panel hakim yang disiarkan menerusi sebuah majalah juga sama. Dan penulisnya pula adalah dalam kalangan generasi baharu yang baru menulis atau pertama kali menulis. Namun tanda tanya itu saya pendamkan setahun dua. Mungkin saya tersilap pandang, apatah lagi novelnya belum terbit untuk dinilai pembaca.

Bagaimanapun, setahun lalu, apabila saya bertemu seorang pegawai yang terlibat dalam penerbitan buku pemenang sayembara itu, tanpa disangka-sangka dia bercerita kepada saya hal yang telah saya diamkan sekian lama. Jelaslah bahawa telahan saya selama ini benar. Meskipun novel tersebut belum terbit, tetapi pegawai terbabit mengesahkan bahawa pihaknya telah mengesan dan mendapati bahawa novel itu telah disiarkan sebahagiannya di internet. Dalam kata yang lebih mudah, pengarang telah menyiarkan novel tersebut (atau dinamakan cerpen bersiri) secara berperingkat di internet selama beberapa lama, kemudian dalam pada masa yang sama membaiki novel itu lalu dikirim kepada penganjur sayembara untuk dipertandingkan. Lebih menarik lagi, novel itu memang sudah ada pengikutnya di alam siber.


Pegawai tersebut mengeluh kepada saya tentang betapa letihnya dia berhadapan dengan situasi tersebut. Mahu diapakan naskhah yang telah dimenangkan itu? Masakan hendak ditarikbalik hadiahnya berbentuk wang tunai bernilai ribuan ringgit yang telah disampaikan secara gilang-gemilang hampir dua tahun lalu? Namun akhirnya, dengan budi bicara yang rasional tentunya, naskhah novel itu berjaya diterbitkan juga.

Tujuan saya mengusik isu sebegini tidak lain dan tidak bukan kerana ia melibatkan sikap atau etika. Tambahan pula ia melibatkan penulis generasi baharu yang mungkin tidak sedar "batasan" yang dilanggarnya. Hukumnya pula adalah "haram" kerana pengarang telah melanggar syarat-syarat peraduan yang tidak "menerima" karya yang sudah tersiar/terbit dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan situasi di atas berlaku bukan sekali, tetapi beberapa kali bahkan merebak ke sebuah sayembara lain.

Tidak berapa lama dahulu, teman saya seorang staf di sebuah penerbitan pula memberitahu bahawa terdapat beberapa manuskrip novel yang dihantar oleh penulis baharu untuk menyertai sayembara yang dianjurkan oleh pihaknya melakukan perkara yang sama. Mujurlah pihak penganjur yang mesra siber dapat mengesannya lalu menggugurkannya dari senarai penilaian. Jangan terperanjat jika khabarnya ada manuskrip yang telah disiarkan dari A hingga Z di blog penulis terbabit sedangkan keputusan sayembara belum diumumkan pun.

Mungkin kerana ghairah. Mungkin kerana teruja ingin berkongsi. Atau mungkin juga kerana tidak tahu etikanya. Ya, segalanya mungkin.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP