Isnin, Januari 18, 2010


GENAP 6 TAHUN

Hari ini - 18 Januari - genap 6 tahun blog ini diluncurkan. 18 Januari 2004 - saya kekal mengingati tarikh itu selamanya. Ucapan terima kasih tentunya buat pereka asal blog ini iaitu Saudara Paiji. Dialah yang sudi membina dan sekaligus merekaletak blog ini - menerusi perantaraan adik saya - memandangkan saya sendiri satu ketika dahulu tidak berapa mahir untuk membina laman sesawang sendiri.

Tambahan pula, sebelum blogspot diambilalih oleh Google, membikin sebuah blog (bagi sesetengah orang seperti saya) bukanlah mudah. Malah saya pernah cuba membina blog sendiri di Geocities, tetapi hanya separuh jalan. Lima enam tahun dahulu, tidak mustahil dua tiga hari terpaksa dihabiskan dengan menghadap monitor semata-mata untuk membina sebuah blog yang simple. Sekarang, tidak sampai setengah jam, kita boleh membina sebuah blog dengan reka letak yang menarik.

Saya masih ingat, orang pertama yang mendorong saya membikin blog peribadi ialah Tuan Haji Nazmi Yaakub. Malah beliaulah juga yang banyak memperkenalkan saya kepada medium-medium lain seperti Facebook, Friendster, Myspace dan sebagainya. Sahabat saya yang seorang ini memang selalu terkedepan. Sejak 2001 lagi, dia sudah memiliki blog di www.enmiya.tripod.com.  Saya cukup gemar melayari blognya yang penuh nostalgia itu. Namun kerana terlalu "pakar" barangkali, blognya yang sudah beroperasi bertahun-tahun itu dan menyimpan pelbagai catatan pengalaman mahalnya di Mesir akhirnya tidak boleh diakses lagi (mungkin hingga ke hari kiamat). Lantaran itu, terpaksalah Nazmi berpindah ke blognya sekarang iaitu di Kawat atau sebelum itu di Bukunota.

Kembali kepada ulangtahun keenam blog ini, jutaan terima kasih saya tujukan kepada para pengunjung yang tidak pernah jemu menziarahi saya di Zaid Akhtar Online. Banyak kenangan pahit manis yang terakam dalam memori saya sepanjang blog ini beroperasi. Maklum sahaja, kita tidak dapat memuaskan hati semua orang dalam satu masa. Selain 18 Januari 2004, tarikh 21 April 2007 juga kekal saya ingat lantaran ada sejarahnya tersendiri. Justeru itulah hari paling sesak dan mengejutkan bagi blog saya yang seadanya ini.

Kullu 'aam wa antum bikhayr!

4 komentar:

ummufateh 9:41 PG  

tu memang jari2 ustaz ke? he he he

Rusdi Abd Rahman 8:41 PTG  

Cikgu Zaid,
Tahniah kerana sudah 6 tahun dalam dunia blog ini. Sememangnya 'anda tidak berjalan seorang diri' dalam hal ini...

Azhar Salleh 9:39 PG  

Salam USTAZ,
Teruskan mencatat. Saya telah membaca banyak catatan anda di alam maya. Tetapi saya lebih teruja jika membaca suara anda. Mungkin jika berkelapangan nanti.

tinta pena pujangga 8:46 PTG  

Salam ustaz..

Tahniah ustaz..sudah enam tahun mengemaskini blog ini..hehe
Sudah lama tak berjumpa ustaz. Tapi rasanya raut wajah ustaz masih boleh saya kenalpasti lagi..
-exsemekas 1999-2003

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP