Isnin, Mac 29, 2010

PBAKL2010

Troli
Beberapa tahun dahulu, ketika membeli-belah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), saya dan isteri pernah terserempak dengan Puan Nor Azah Aziz, editor kanan UPND yang sedang memilih buku di sebuah gerai. Seperti biasa, kami saling bertanya khabar sebelum beredar kemudiannya menuju haluan masing-masing. Namun, isteri saya sejak hari itu semacam tertarik dan mahu menjadi sepertinya - membawa troli.

Lantas inilah troli yang kami bawa tahun ini.

Salju Sakinah
Saya mahu memohon maaf kepada para pengunjung PBAKL yang mencari-cari novel Salju Sakinah. Beberapa orang menghantar e-mel mengadu tentang ketiadaan novel tersebut di sana. Memang saya dapati ia tiada semalam, namun saya difahamkan bahawa ia tersangkut di printer. Justeru, SS masih lagi boleh didapati di kedai-kedai buku selepas ini. Saya tidak pernah bimbang dan ragu kalau-kalau buku saya tiada di pasaran seketika kerana yakin PTS sentiasa memasarkan dan mempromosikan produk-produknya dengan sangat baik dan cemerlang.

RM3
Tatkala enak bersembang di gerai PTS, seorang teman penulis memberitahu bahawa dia ada melihat novel-novel saya "dilelong" dengan harga terendah pada petang semalam iaitu hari terakhir PBAKL2010. Saya terdiam pada mulanya. Rasa lucu pun ada. Iya ke? Sambil itu, saya cuba mengingat kembali bilakah novel-novel saya yang "tidak laku" itu diterbitkan?

Lalu setelah teman tadi beredar, saya bergegas meninggalkan dewan pameran di seberang sungai dan menuju ke gerai Utusan Publications. Saya segera ke rak novel-novel pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dipamerkan. Lekas mata saya mencari novel Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus dan Justeru Impian di Jaring. Tidak ada walau senaskhah pun. Maknanya, kesemuanya sudah habis dan disambar oleh pengunjung lain terlebih dahulu. Terasa rugi kerana gagal memiliki. Saya ingin membeli kesemuanya kalau boleh kerana memang ia terlalu sukar didapati.

Yang ada di rak yang tertulis RM3.00 itu beberapa novel pemenang HSKU seperti Bukan Legasi Lalang, Merdekakan Cinta Ratna, Trilogi Cinta, Lambaian Kinabalu, Merenang Gelora, Cinta Madinah dan beberapa lagi judul yang saya tidak ingat. Lantas saya mencapai lima naskhah novel Sri Rahayu Mohd Yusop yang sangat bermutu iaitu Bukan Legasi Lalang (pemenang HSPM 2001/2002) dan Merdekakan Cinta Ratna untuk dibawa pulang.

Tatkala mahu membayar, saya ditegur oleh dua orang penulis mapan - Cikgu Sahrunizam Talib dan Tuan Marsli NO - dari Pahang. Mereka tiba lebih awal daripada saya. Mereka berdua juga rupa-rupanya mahu membeli novel-novel HSKU yang dilelong murah tersebut. Agak lucu apabila Tuan Marsli merungut tentang kehilangan novel Sesegar Nailofar yang "hampir" dibelinya sebentar tadi. Katanya, ada pengunjung lain telah "mengebas" novel tersebut yang diletakkannya buat sementara waktu di atas meja kaunter pembayaran.

Dalam perjalanan pulang, terdetik di kepala, bilakah saya akan bertemu lagi novel-novel saya itu di pasaran? Di kedai-kedai buku memang jauh panggang dari bara. Apakah Utusan akan mengulangcetak novel-novel tersebut? Entah.

16 komentar:

Ghafirah Idris 11:28 PG  

Saya ke sana pada hari sabtu. Rona Bosphorus yg berharga RM 3 msh ada di rak waktu itu.

Zaid Akhtar 11:56 PG  

salam.
ooo... maknanya RM3 sejak sebelum ahad lagi. :-)
saya ingatkan hari terakhir saja.

arenie 12:11 PTG  

mujurlah saya sudah memilikinya sebelum ini dan tidak pernah kesal. saya sedang menunggu novel ustaz yang terbaru.

NAZRIN CREWS 1:13 PTG  

sy xjumpa pon novel ustaz di sana.sy dah bertanya pada penjaga Utusan Publisher tu.dy kate novel ustaz tak ade.pelik juga sy sbb kebnykn novel2 utusan ada di rak.tp novel ustaz tak ade pulak.
sy terkilan tak dpt beli novel ustaz.
mane sy nk cri novel sesegar nailofar dan rona bosphorus tu ustaz?

Nisah Haji Haron 9:48 PTG  

Kesemua buku-buku Zaid Akhtar boleh diperoleh di sini: http://www.ujanailmu.com.my/cat-zaid-akhtar.cfm

Cuma, maaf cakap, kami tak lelong buku kerana di Ujana Ilmu, kami sentiasa menghargai usaha dan titik peluh setiap pengarang!

benuasuluk 12:41 PTG  

Puan Nisah, heh heh; tabik!

Sdr. Zaid, kenapa kita tak terserempak tahun ni? Nak minta sdr belanja memey tarik sebab novel sdr laku keras; tabik juga!

NAZRIN CREWS 4:31 PTG  

ALHAMDULILLAH.
Allah permudahkan pencarian saya..
terima kasih..

Naim 5:49 PTG  

Saya sempat ambil Lambaian Kinabalu (Norhashimah Hashim) pada jam 10 pagi, 28 Mac... masa itu Sesegar Nailofar masih ada dalam 5 buah.

@naimisa

nailofar09 11:41 PTG  

salam, saya antara yg keciwa nk dapatkan Salju Sakinah..nak ulang baca, yg dulu...hilang dr rak buku..., yg tinggal hanya rona bosphorus...alngkah manisnya kalau dpt t tngn sdr zaid...

PakCu 12:51 PTG  

lelong..gue cadang boikot je utusan tuh. bukan reti nak hargai penat lelah penulis...takat rm3..sama level dgn komik pedang setiawan je..gilo ke hapo..?
gue jual sagu 9 batang straw pun dah dpt 3 hengget tau !

Zaid Akhtar 11:11 PTG  

Arenie,
syukran atas sokongan sdr.

Puan Nisah,
tahniah atas servis cemerlang UI.

Benuasuluk,
tak ada jodoh kita tahun ni.

Nazrin,
dah dapatkah? dari sumber mana?

Nailofar09,
SS dlm proses ulangcetak. Adalah tu tak lama lagi.

Pakcu,
jual sagu nak buat duit hantaran ke? Hahaha.

Rusdi Abd Rahman 12:04 PTG  

Cikgu Zaid @ YNWA,
Kecewa sungguh sekarang ini..., dahlah L'pool tewas kepada Benfica Cikgu pula yang tidak tersenarai dalam Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Johor 2010... apakan daya Cikgu itu 'hak dan kuasa' pihak lain....

NAZRINCREWS 6:26 PTG  

salam ustaz..
sy cari dr sumber ujana ilmu dari post sdr Nisah Haji Haron di atas..
sume koleksi novel ustaz dan Faisal Tehrani yg sy nak ade di ujana ilmu tu..berakhir pencarian sy akhirnya..
terima kasih..

srirahayumohdyusop 7:40 PTG  

Salam ustaz,

Terima kasih kerana sudi membeli sudi BLL dan MCR walaupunn dalam keadaan lelongan.

Zaid Akhtar 10:14 PTG  

Puan Sri,
Tentu saja saya sudah hadam novel-novel Puan Sri yang saya milik dengan tanda tangan di meja makan pada malam penyampaian HSKU.

Saya membelinya banyak kerana mahu menghadiahkan kepada pelajar saya dan memberitahu mereka, inilah contoh novel yang sangat baik.

Nur Syuhada 12:04 PG  

Salam ustaz, saya Syuhada bekas pelajar ustaz di SMKA Segamat. Alhamdulillah saya sangat berbangga dengan kejayaan ustaz menjadi penulis yang bagus. Waktu saya ke kedai buku MPH dgn kawan-kawan, tiba2 terpandang novel hasil tangan ustaz. Saya excited dan bercerita panjang tentang ustaz kepada kawan-kawan.

Tahniah atas kejayaan ustaz! Saya doakan yang terbaik untuk ustaz :D

P.S Saya dulu pelajar pemalas di kelas. Menyesal saya tak manfaatkan Bahasa Arab Tinggi yg ustaz ajar pada saya. Dan saya selalu tidak fokus ketika ustaz mengajar. Namun, tekad saya untuk tebus kesilapan, syukur saya sudah tamatkan pengajian (diploma saja) di Multimedia College dan berjaya pendapat keputusan cemerlang. Alhamdulillah. Syukur.


Syuhada,
Bekas pelajar 5/2 Sains Tulen,
SMKA Segamat 2002-2006.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP