Rabu, Jun 16, 2010

POLIHIDRAMNIOS


Kandungan isteri sudah hampir mencecah 35 minggu. Namun dia menghadapi masalah yang tidak pernah kami jangka sebelum ini. Air ketuban dalam rahimnya berlebihan atau istilah perubatannya ialah polihidramnios. Polihidramnios menyebabkan saiz wanita hamil lebih membesar berbanding usia kandungan. Ini menyukarkan pergerakan, pernafasan, kontraksi malah boleh menyebabkan kelahiran pramatang. Pada usia 32 minggu misalnya, kandungan  kelihatan seperti sudah cukup bulan saiznya.

Punca polihidramnios adalah seperti berikut: - Air ketuban dihasilkan berlebihan: diabetes mellitus (kencing manis), penyakit ginjal janin contohnya sindrom Bartter; keabnormalan kromosom (yang sering berkait dengan keabnormalan sistem pemakanan) contohnya sindrom down dan sindrom Edward; keabnormalan uri contohnya cho-angioma, kehamilan kembar, hydrops fetalis. 
- Air ketuban kurang diserap kembali : keabnormalan sistem pemakanan seperti atresia esofagus, atresia duodenum, fistula trakea-esofagus; keabnormalan sistem saraf misalnya anencephaly.
- Dalam kebanyakan kes, penyebabnya tidak dapat dikesan. 



Dia kesakitan. Sejak cuti Hari Wesak yang lalu, dia mengalami pelbagai penderitaan. Sakit pinggang. Sesak nafas. Sukar untuk berjalan, sukar untuk tidur secara normal dan banyak lagi. Fizikalnya kelihatan seperti wanita yang hamil kembar walhal hasil imbasan menunjukkan bayi kami seorang sahaja dan beratnya sekitar 2.3 kilogram. Cukup sarat dan sangat-sangat tidak selesa. Lalu melihatkan kandungannya yang luar biasa dan berisiko itu, kami merujuk kepada Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

Semalam, doktor pakar menasihati kami agar isteri menjalani amniocentesis iaitu satu prosedur perubatan bagi mengambil sampel air ketuban menggunakan tusukan jarum ke dalam rahim bagi menguji kromosom atau genetik janin. Di samping itu, amniocentesis diharapkan dapat mengurangkan ketegangan rahim apabila sebahagian air ketuban terbabit dikeluarkan. 

Petang ini, dia akan melalui prosedur itu. Ia juga berisiko sebenarnya kerana ada kemungkinan terkena jangkitan kuman. Namun segalanya adalah qada' dan qadar Tuhan. Kita sebagai hamba-Nya hanya mampu berusaha dan bertawakal. Mudah-mudahan isteri dan zuriat kami selamat dan dipermudahkan segalanya. 

Ameen!

5 komentar:

benuasuluk 11:13 PG  

Ameen. Semoga semuanya selamat dan sejahtera hendaknya, si ibu dan bayi dalam kandungan. Ameen.

Rusdi Abd Rahman 10:31 PTG  

Cikgu Zaid,
Didoakan agar dalam keadaan baik dan berjalan lancar.
Tahun lepas isteri saya alami masalah uri di bawah lalu ditahan di hospital selama 2 bulan, awalnya doktor kata kena jalani pembedahan namun atas kuasa terlalu amat besar-Nya maka dapat melahirkan secara normal. Anak ketiga kini berusia 1 tahun 2 bulan.

lutfi 10:43 PG  

Salam Zaid.
Semoga semuanya selamat dan dipermudahkan-Nya. Amin

Tanpa Nama,  9:58 PG  

salam,
saya juga medoakan isteri tuan sihat dan dipermudahkan semua urusan. Amin.

`atikah,
kluang.

ayzagursoy 4:30 PTG  

Salam Zaid Akhtar Bey,

Semoga Allah memberi kemudahanNya dan syifaNya buat isteri Tuan. Saya yang membaca turut merasa keperitan yang dilaluinya. Doa kami utknya.

Allah'a emanet olun.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP