Ahad, Julai 18, 2010

INI BUKAN SAMBUTAN PIALA DUNIA

Lebih sejuta manusia berhimpun di Barcelona sehari sebelum Sepanyol bertemu Belanda dalam final Piala Dunia 2010 minggu lepas. Mereka berhimpun bukan kerana meraikan kejayaan Sepanyol buat julung-julung kalinya layak ke final, tetapi memprotes keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol yang mengkaji dan menafsir semula beberapa fasal Status Autonomi Catalonia 2006. Mereka sebenarnya adalah rakyat Sepanyol yang berdarah Catalan dan dipimpin oleh Presiden Jose Montilla Aguilera.
 
Catalonia adalah salah sebuah daripada 17 wilayah di Sepanyol. Barcelona pula ibu negeri kepada wilayah Catalonia dan terkenal dengan kelab bola sepaknya, FC Barcelona. Kekayaan wilayah tersebut dan kepentingan Barcelona sebagai pelabuhan utama negara itu menjadi salah satu sumber pendapatan terpenting bagi Sepanyol. 

Namun, rakyat Catalonia sudah lama menuntuk hak untuk 'keluar' dari Sepanyol lantaran tidak berpuas hati dengan beberapa dasar diskriminasi terhadap bangsa Catalan terutamanya yang membabitkan bahasa dan budaya mereka. Malah dikatakan, ketika pemerintahan diktator Sepanyol Jeneral Francisco Franco (1939-1975), bahasa Catalan dihapuskan daripada buku-buku di Catalan.


Xavi Hernandez, Carlos Puyol, Gerard Pique, Joan Capdevilla, Sergio Busquets dan Cesc Fabregas misalnya adalah pemain utama skuad bola sepak Sepanyol yang berbangsa Catalan. Justeru kerajaan Sepanyol berharap dengan penyertaan dan peranan penting mereka dalam skuad kebangsaan serta kejayaan bersejarah mereka baru-baru ini akan meredakan ketegangan di wilayah-wilayah yang menuntut kemerdekaan seperti Catalan dan Basque. 

Namun, tidak sebagaimana di Madrid, sambutan terhadap kejayaan Sepanyol memenangi Piala Dunia buat kali pertama tidaklah diraikan dengan begitu meriah dan besar-besaran di bandar-bandar utama lain dalam negara itu. Bahkan sebahagian rakyatnya mendoakan agar Belanda yang memenangi Piala Dunia.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP