Rabu, Julai 14, 2010

SEHARUM KASTURI

Subjek Bahasa Arab Kertas 2. Lokasinya kelas Tingkatan 6 An-Nawawi. Kami sedang berbincang tentang sebuah puisi moden Arab yang dinukilkan oleh raja penyairnya, Ahmad Syawqi berjudul al-Jazirah. Dalam salah satu baitnya, Syawqi mengungkapkan keindahan al-Jazirah yang terletak di bahagian barat Sungai Nil dengan pelbagai tasybih (simile) dan salah satunya dengan perumpamaan kijang serta haruman kasturinya.

Saya tergerak untuk bertanya, apakah dia kasturi? Ramai yang menjawab, kasturi itu sejenis haruman. Benar sekali. Lantas saya menambah, kasturi dalam bahasa Arab disebut misk, manakala bahasa Inggeris yang baharu maju kemudiannya pula meniru bunyi sebutan orang Arab lalu disebut musk. Contohnya, wangian yang saya pakai ini disebut al-Misk al-Abyadh (kasturi putih) atau lebih dikenali sebagai White Musk (terutamanya di bawah jenama Body Shop).  

Kemudian saya bertanya, siapa tahu dari mana asalnya kasturi? Rupa-rupanya tiada yang tahu. Saya menjelaskan, ia berasal salah satu puncanya dari bahagian bawah kelengkang kijang. Semua ternganga terkesima tidak percaya. Masakan dari tempat sesulit itu menghasilkan bau yang amat wangi, balas mereka. Lalu saya berpesan agar mereka segera mencari maklumat tentang kasturi di Google dan bukan sekadar melayari Facebook di internet.

Oh ya, kembali kepada persoalan asal-usul kasturi; sejauh manakah kita mengetahui dari mana datangnya bahan yang istimewa ini? Bagi yang keliru, biasanya kasturi disangkakan ekstrak pati bunga, buah-buahan atau kulit kayu, sebagai mana dalam industri pembuatan minyak wangi. Sebenarnya, istilah kasturi merujuk kepada kandungan yang terdapat dalam bintil kelenjar kijang jantan.Walaupun kerap ditemukan di bahagian antara perut dan genital, kasturi juga bukan janggal jika ia tumbuh di bahagian-bahagian lain haiwan tersebut, seperti di leher, badan atas dan juga kepala.


Apabila tertanggal atau dipotong dari tubuh kijang tersebut, bintil kasturi yang mengering membuatkan kandungan berwarna merah keperangan berubah menjadi hitam dan keras. Jika ditekan kuat atau diketuk, butiran kecil akan terkeluar darinya dan bahan itulah yang dicampur bersama minyak atau ekstrak wangian beralkohol.

Dalam sepotong hadis, Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda: "Bahawa dinding-dinding syurga itu batu-bata dari perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya kasturi." (Hadis riwayat Al-Bazzar). 

Tidak semua kijang menghasilkan kasturi. Boleh ketahui lebih lanjut tentang kijang jantan/rusa kasturi yang menghasilkan wangian tersebut di sini.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP