Selasa, Ogos 24, 2010

BIANGLALA BOSPHORUS
ADA YANG LEBIH DUKA

“Isterinya terbunuh dalam serangan pengganas di Perancis setahun lalu sewaktu mereka bercuti di sana.” Uzlah menyambung perbualan kami yang terbantut dengan kedatangan Nik Hafizz tadi.
Serangan pengganas?
Saya lekas dihurung rasa tersayat apabila mendengar ungkapan ‘serangan pengganas’ yang diwarwarkan oleh media Barat untuk ‘menyerang’ dunia Islam. Barat tidak pernah adil terhadap Islam. Sejak tragedi letupan bom di Pusat Dagangan Dunia di New York pada 1993, seterusnya di Oklahoma City tidak lama kemudian, umat Islam sedunia sentiasa dijadikan kambing hitam untuk dikaitkan dengan segala bentuk aktiviti keganasan. Kemuncaknya adalah serangan 11 September 2001 ke atas  menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di wilayah Manhattan itu.  Lantas kini umat Islam terpaksa membayar  harganya dengan menyaksikan pencerobohan tentera Amerika di bumi Afghanistan dan Iraq. Sejak itu juga, wabak Islamophobia merebak ke serata dunia.
“21 orang terbunuh dalam letupan bom di sebuah stesen keretapi di pusat bandar Marseille. 3 rakyat Turki terkorban dalam tragedi tersebut. Salah seorangnya adalah Adile, isteri Hafizz. Ketika itu mereka baru beberapa bulan berkahwin.”
“Katanya, al-Qaeda yang bertanggungjawab,” tokok Nurul Uyun.
Saya mengeluh.
Al-Qaeda? Entah betul entah tidak. Serangan demi serangan dikaitkan dengan gerakan pengganas al-Qaeda dan Osama. Tidak mustahil juga konspirasi sulit Yahudi licik yang merencana semua ini.
“Tak habis-habis isu serangan pengganas ini. Lepas satu satu, entah sampai bila. Dari Madrid terus ke Bali, kemudian singgah di Jakarta.  Yang menjadi mangsa adalah umat Islam juga. Islamophobia,” luah saya seraya menyorot iklan restoran makanan segera yang sedang ditayangkan di televisyen.
Sudah beberapa tahun keluarga saya memboikotnya. Jenamanya cukup tersohor di seluruh dunia, namun tidak ramai yang mengambil pusing bahawa ia sebenarnya dimiliki oleh seorang jutawan Yahudi yang menjadi penyumbang kepada rejim Zionis yang menjajah Palestin berdekad-dekad lamanya.

Memo: Bianglala Bosphorus adalah novel bersiri terkini saya yang disiarkan di Majalah Anis. Novel ini adalah sequel kepada novel kedua saya yang terbit pada 2003 iaitu Rona Bosphorus. Untuk mengikuti siri kesembilannya, dapatkan Majalah Anis edisi September 2010 yang sudah berada di pasaran sekarang.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP