Sabtu, Januari 30, 2010

BIANGLALA BOSPHORUS: 
AROMA PAGI ISTANBUL


“Dah habis hafaz kamus?”
Saya menggeleng sekaligus terseringai. Tentu Nurul Uyun sempat menjeling ke dalam kamar sebentar tadi. Lagipun sejak semalam saya membaca akhbar tempatan dengan kamus tidak lekang di tangan. “Empat tahun, Yun, dah banyak yang aku lupa. Bahasa, kalau tak dipakai, hilang pupus begitu saja. Sudah lama aku tak praktis bahasa Turki. Lainlah kau, belajar di Istanbul, bertemu jodoh di Islam Bol, err … berumahtangga pun di Isketambol.” Kami sama-sama tergelak. “Kau masih ingat lagi ya, lawak nakal si Amy tu?”
Saya angguk. Masakan saya lupa saat-saat indah bersama Hilmiyati dan wanita ini dahulu. Kami bertiga – kadangkala disertai Uzlah dan Maisarah – banyak menghabiskan masa bersama. Bercanda, berkongsi ilmu, cerita, air mata dan pelbagai lagi. Hidup dalam komuniti pelajar yang tidak besar di perantauan cukup mengakrabkan.
        “Jodoh, Amal.” Nurul Uyun menghirup teh suam perlahan-lahan. “Aku sendiri tak pernah menyangka akan tinggal di Istanbul sebegini lama. Macam Uzlah, siapa sangka akhirnya bertemu jodoh dengan lelaki Turki?”
 



Memo: Bianglala Bosphorus adalah novel bersiri terkini saya yang disiarkan di Majalah Anis. Novel ini adalah sequel kepada novel kedua saya yang terbit pada 2003 iaitu Rona Bosphorus. Untuk mengikuti siri keduanya, dapatkan Majalah Anis edisi Februari 2010 yang sudah berada di pasaran sekarang.

Read more...

Ahad, Januari 24, 2010

PPJ KEMBALI KE SEGAMAT

Setelah lama bagai terhenti denyut nadinya, PPJ (Persatuan Penulis Johor) akhirnya kembali bernafas di Segamat. Tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Ahmad Nawawi, Tuan Ainol Hasanal, dan teman-teman mereka di UiTM Segamat yang kembali menggerakkan AJK PPJ Segamat sekali gus menghidupkan program-program ilmu dan sastera di daerah yang segar amat ini. Tahniah juga kepada Ketua 1 PPJ, Tuan Amiruddin Ali yang tidak pernah melupakan kami di daerah asalnya ini..

Justeru, pada sore Ahad minggu lepas telah diadakan satu program dialog di bawah tema Wacana Kepimpinan Bahasa dan Sastera di Perpustakaan Awam Segamat, Segamat Baru. Mudah-mudahan dengan permulaan yang baik dan mengujakan ini, PPJ Segamat akan kembali aktif seperti dulu.

Untuk laporan penuh dan lengkap, silalah ke blog Tuan Rusdi Abdul Rahman yang sanggup bersusah-payah turun dari JB untuk sama-sama menjayakan program ini dan 'meratah' durian Segamat. YNWA!

Memo: Gambar Atas - berpeluang bergambar di sebelah 'Anjang Aki ' (Pak Talib Hassan) yang datang jauh dari Kg. Spang Loi.



Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP