Sabtu, April 03, 2010

BIANGLALA BOSPHORUS
DIA, LELAKI YANG PERNAH HADIR

“BAGAIMANA dengan Afham?”
 Saya meneguk liur. Gamam seketika mendengarnya.
Ya, bagaimana harus saya menjawab?
Saya tidak pasti sudah berapa kali pertanyaan sebegitu dihamburkan kepada saya. Ia pertanyaan yang terlalu menyeksa sebenarnya. Terlalu banyak tanda tanya yang mendera dan misteri yang tidak terjawab selama ini. Sewajarnya saya yang baru sahaja tiba meluahkan pertanyaan sebegitu, namun sebaliknya saya pula yang ditujah terlebih dahulu.
Ah, alangkah baiknya jika kalian belajar mengerti!
“Bagaimana dengan lelaki bernama Afham?” ulang Vasiyet lagi.
“Dia lelaki yang pernah muncul di sini,” bisik saya seraya menghela nafas agak panjang.
“Itu aku tahu, dia insan istimewa yang pernah muncul di sini. Mungkin juga di hati engkau. Cuma aku masih tak faham dan tertanya-tanya; ke mana perginya … ke mana hilangnya dia?”

Memo: Bianglala Bosphorus adalah novel bersiri terkini saya yang disiarkan di Majalah Anis. Novel ini adalah sequel kepada novel kedua saya yang terbit pada 2003 iaitu Rona Bosphorus. Untuk mengikuti siri keempatnya, dapatkan Majalah Anis edisi April 2010 yang sudah berada di pasaran sekarang.

Read more...

Isnin, Mac 29, 2010

PBAKL2010

Troli
Beberapa tahun dahulu, ketika membeli-belah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), saya dan isteri pernah terserempak dengan Puan Nor Azah Aziz, editor kanan UPND yang sedang memilih buku di sebuah gerai. Seperti biasa, kami saling bertanya khabar sebelum beredar kemudiannya menuju haluan masing-masing. Namun, isteri saya sejak hari itu semacam tertarik dan mahu menjadi sepertinya - membawa troli.

Lantas inilah troli yang kami bawa tahun ini.

Salju Sakinah
Saya mahu memohon maaf kepada para pengunjung PBAKL yang mencari-cari novel Salju Sakinah. Beberapa orang menghantar e-mel mengadu tentang ketiadaan novel tersebut di sana. Memang saya dapati ia tiada semalam, namun saya difahamkan bahawa ia tersangkut di printer. Justeru, SS masih lagi boleh didapati di kedai-kedai buku selepas ini. Saya tidak pernah bimbang dan ragu kalau-kalau buku saya tiada di pasaran seketika kerana yakin PTS sentiasa memasarkan dan mempromosikan produk-produknya dengan sangat baik dan cemerlang.

RM3
Tatkala enak bersembang di gerai PTS, seorang teman penulis memberitahu bahawa dia ada melihat novel-novel saya "dilelong" dengan harga terendah pada petang semalam iaitu hari terakhir PBAKL2010. Saya terdiam pada mulanya. Rasa lucu pun ada. Iya ke? Sambil itu, saya cuba mengingat kembali bilakah novel-novel saya yang "tidak laku" itu diterbitkan?

Lalu setelah teman tadi beredar, saya bergegas meninggalkan dewan pameran di seberang sungai dan menuju ke gerai Utusan Publications. Saya segera ke rak novel-novel pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dipamerkan. Lekas mata saya mencari novel Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus dan Justeru Impian di Jaring. Tidak ada walau senaskhah pun. Maknanya, kesemuanya sudah habis dan disambar oleh pengunjung lain terlebih dahulu. Terasa rugi kerana gagal memiliki. Saya ingin membeli kesemuanya kalau boleh kerana memang ia terlalu sukar didapati.

Yang ada di rak yang tertulis RM3.00 itu beberapa novel pemenang HSKU seperti Bukan Legasi Lalang, Merdekakan Cinta Ratna, Trilogi Cinta, Lambaian Kinabalu, Merenang Gelora, Cinta Madinah dan beberapa lagi judul yang saya tidak ingat. Lantas saya mencapai lima naskhah novel Sri Rahayu Mohd Yusop yang sangat bermutu iaitu Bukan Legasi Lalang (pemenang HSPM 2001/2002) dan Merdekakan Cinta Ratna untuk dibawa pulang.

Tatkala mahu membayar, saya ditegur oleh dua orang penulis mapan - Cikgu Sahrunizam Talib dan Tuan Marsli NO - dari Pahang. Mereka tiba lebih awal daripada saya. Mereka berdua juga rupa-rupanya mahu membeli novel-novel HSKU yang dilelong murah tersebut. Agak lucu apabila Tuan Marsli merungut tentang kehilangan novel Sesegar Nailofar yang "hampir" dibelinya sebentar tadi. Katanya, ada pengunjung lain telah "mengebas" novel tersebut yang diletakkannya buat sementara waktu di atas meja kaunter pembayaran.

Dalam perjalanan pulang, terdetik di kepala, bilakah saya akan bertemu lagi novel-novel saya itu di pasaran? Di kedai-kedai buku memang jauh panggang dari bara. Apakah Utusan akan mengulangcetak novel-novel tersebut? Entah.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP