Sabtu, Julai 24, 2010

FACEBOOK & TWITTER PEROSAK BAHASA?

BANGKOK: Facebook dan Twitter didakwa menjadi punca kepada kelemahan kemahiran bahasa di kalangan pelajar Thailand. Sehubungan itu, Kementerian Kebudayaan mencadangkan langkah kembali kepada amalan yang sudah lama ditinggalkan - menulis surat.

Kajian yang dijalankan oleh kementerian itu mendapati, empat daripada 10 remaja Thai menganggap penggunaan bahasa Thai yang betul hanya perlu digunakan pada acara rasmi.

Sepertiga remaja Thai tidak memandang berat terhadap salah ejaan, singkatan dan kesilapan tatabahasa yang biasa dilakukan dalam mesej pesanan ringkas dan perbualan menerusi media sosial.

“Kita perlu memelihara bahasa kebangsaan kita. Jika tidak ada orang yang melihat kepentingannya, maka bahasa itu akan punah,” kata Menteri Kebudayaan, Nipit Intarasombut ketika mengumumkan hasil kajian berkenaan. — Reuters

Read more...

Rabu, Julai 21, 2010

BIANGLALA BOSPHORUS
ADA YANG MASIH DI SINI


“Berapa tahun agaknya kau di sini, Amal?”
Saya leka menyeluruhi rak buku di sebelah almari rendah yang diletakkan televisyen. Ada beberapa novel besar Yesar Kemal dan Orhan Pamuk tersusun di situ. Memed, My Hawk, My Name is Red, Snow, dan Istanbul: Memories and the City ada dalam senarainya. Minat Uzlah terhadap sastera ternyata masih belum berkurangan.
  “Insya-Allah, sekurang-kurangmya lima atau enam tahun juga kot.”
“Wah, lama tu!” Wajah Uzlah tampak berseri.
“Tak pasti lagi, Uz. Aku belum mendaftar. Bertemu penyelia pun belum. Tengoklah dua tiga hari lagi, aku akan ke Goztepe. Moga dipermudahkan.”
              “Hebat al-Hafizah kita ni. Bolehlah terus jadi orang sini, jadi warga Turki. Baru betul-betul dapat menjiwai kajian kau tu nanti.”
“Tak mahunya Amal tu ikut jejak kau,” sangkal Nurul Uyun yang lebih gemar menikmati kunefe. Berhati-hati dia menyudu makanan tradisi itu di atas piring. “Dia setia dengan yang itu juga. Sampai bila-bila.”
“Kerja Tuhan siapa tahu, Yun?” tutur Uzlah seraya mengelih Emre yang sudah lena tersandar di sofa sebelah.
Saya tersenyum akur. Tidak mahu mengulas lanjut tentang itu. Usah takbur apabila berbicara soal jodoh pertemuan. Buktinya sudah ada. Wanita di hadapan kami ini dulu pernah berkata tidak akan jatuh hati dengan lelaki Turki!

Memo: Bianglala Bosphorus adalah novel bersiri terkini saya yang disiarkan di Majalah Anis. Novel ini adalah sequel kepada novel kedua saya yang terbit pada 2003 iaitu Rona Bosphorus. Untuk mengikuti siri kelapannya, dapatkan Majalah Anis edisi Ogos 2010 yang sudah berada di pasaran sekarang.

Read more...

Selasa, Julai 20, 2010

VUVUZELA HARAM

Selain bola Adidas Jabulani yang 'gila', vuvuzela juga menjadi salah satu elemen yang didakwa 'merosakkan' Piala Dunia baru-baru ini. Ulasan pengulas agak terganggu. Ramai yang mengeluh, keseronokan menonton (meski di rumah) juga berkurangan dengan dengung sumbang vuvuzela yang menjadi kebanggan benua Afrika.

Malah menurut Abang Subkhiddin kita, para pengadil FIFA yang bertugas di Afrika Selatan sepanjang kempen temasya suka terbesar itu terpaksa berlatih dengan duduk berjam-jam di dalam rumah sambil mendengar rakaman kebisingan trumpet buatan Afrika itu sebelum kejohanan bermula.

Setakat ini Tottenham Hotspur menjadi kelab pertama Liga Perdana Inggeris yang mengharamkan vuvuzela di White Hart Lane. Kemudian diikuti oleh Arsenal dan Birmingham City. Kesemuanya tidak mahu 'aatmosfera' di stadium masing-masing tercemar dengan dengung yang membingitkan itu.

 Namun sebelum itu, Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu terlebih dahulu mengharamkannya!

Read more...

Ahad, Julai 18, 2010

INI BUKAN SAMBUTAN PIALA DUNIA

Lebih sejuta manusia berhimpun di Barcelona sehari sebelum Sepanyol bertemu Belanda dalam final Piala Dunia 2010 minggu lepas. Mereka berhimpun bukan kerana meraikan kejayaan Sepanyol buat julung-julung kalinya layak ke final, tetapi memprotes keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol yang mengkaji dan menafsir semula beberapa fasal Status Autonomi Catalonia 2006. Mereka sebenarnya adalah rakyat Sepanyol yang berdarah Catalan dan dipimpin oleh Presiden Jose Montilla Aguilera.
 
Catalonia adalah salah sebuah daripada 17 wilayah di Sepanyol. Barcelona pula ibu negeri kepada wilayah Catalonia dan terkenal dengan kelab bola sepaknya, FC Barcelona. Kekayaan wilayah tersebut dan kepentingan Barcelona sebagai pelabuhan utama negara itu menjadi salah satu sumber pendapatan terpenting bagi Sepanyol. 

Namun, rakyat Catalonia sudah lama menuntuk hak untuk 'keluar' dari Sepanyol lantaran tidak berpuas hati dengan beberapa dasar diskriminasi terhadap bangsa Catalan terutamanya yang membabitkan bahasa dan budaya mereka. Malah dikatakan, ketika pemerintahan diktator Sepanyol Jeneral Francisco Franco (1939-1975), bahasa Catalan dihapuskan daripada buku-buku di Catalan.


Xavi Hernandez, Carlos Puyol, Gerard Pique, Joan Capdevilla, Sergio Busquets dan Cesc Fabregas misalnya adalah pemain utama skuad bola sepak Sepanyol yang berbangsa Catalan. Justeru kerajaan Sepanyol berharap dengan penyertaan dan peranan penting mereka dalam skuad kebangsaan serta kejayaan bersejarah mereka baru-baru ini akan meredakan ketegangan di wilayah-wilayah yang menuntut kemerdekaan seperti Catalan dan Basque. 

Namun, tidak sebagaimana di Madrid, sambutan terhadap kejayaan Sepanyol memenangi Piala Dunia buat kali pertama tidaklah diraikan dengan begitu meriah dan besar-besaran di bandar-bandar utama lain dalam negara itu. Bahkan sebahagian rakyatnya mendoakan agar Belanda yang memenangi Piala Dunia.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP