Selasa, Ogos 17, 2010

JERSI HIJAB DARI IRAN

SINGAPURA - Akhirnya ada perkara lain yang boleh dibualkan mengenai pasukan bola sepak wanita Iran, selain daripada jersi mereka yang dilengkapi dengan tudung pada Sukan Olimpik Remaja di sini. Selepas beberapa hari menimbulkan persoalan mengenai cara pakaian mereka, yang menutup seluruh badan, Iran mengalahkan Papua New Guinea 1-0 menerusi gol pada babak kedua semalam.

"Sejak beberapa hari lalu, semua orang bertanya mengenai jersi kami dan bukannya cara permainan bola sepak kami. Saya tidak mahu bercakap mengenai pakaian pasukan bola sepak kami. Kami ke sini untuk bermain bola sepak. Apa kaitannya bertudung dan pakaian yang menutup seluruh badan?,'' kata jurulatih Iran, Shahrzad Mozafar.

Badan bola sepak dunia FIFA, pernah mengharamkan pasukan tersebut daripada mengambil bahagian pada kejohanan di Singapura, kerana ketegasan mereka untuk tetap memakai tudung ketika beraksi. FIFA mengharamkan pemakaian tudung ketika beraksi pada 2007, atas alasan keselamatan serta mengelak unsur agama di atas padang. Ekoran itu, pereka fesyen Iran mencipta pakaian baru yang dilengkapi dengan tudung, bahagian atas badan berkain keras dan tebal, seluar panjang yang dilengkapi stoking. FIFA meluluskan pakaian tersebut tetapi bantahan daripada beberapa pegawai Iran sendiri hampir menghalang aksi mereka di Singapura.

Di atas padang, kemenangan pertama Iran pada acara yang disertai enam negara, menghidupkan peluang mereka memenangi pingat. - AP

Sumber: Utusan Malaysia

Memo:  Saya masih ingat, pada hujung 2006, saya beroleh inspirasi menulis novel keempat saya berjudul Justeru Impian di Jaring sejurus menyaksikan aksi Ruqayyah al-Ghassra memenangi emas acara pecut 200 meter di Sukan Asia di Doha. Dalam temasya yang sama, pasangan beregu badminton wanita Iran juga mengejutkan khalayak dengan penampilan berhijab. Bersukan bersukan juga, syariat kena jaga!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP