Ahad, Januari 16, 2011

ANTARA TASYBIH DAN SIMILE

Jika ditinjau beberapa konsep bahasa kiasan dalam ilmu Balaghah dan Retorika Melayu terdapat beberapa konsep yang mempunyai persamaan. Namun ada yang agak besar persamaannya, ada juga yang sebahagian kecilnya sahaja. Antara yang memiliki persamaan ketara adalah tasybih dan simile.
Secara umumnya, tasybih dan simile mempunyai persamaan yang besar. Sebagaimana yang dimaklumi, tasybih bermaksud perbandingan sesuatu dengan lain yang mempunyai ciri yang sama dengan menggunakan partikel atau perkataan tertentu.
Sebagai contoh:
                        فاطمة كَالْقَمَرِ فِي الْجَمَال                                        
                             Maksudnya: Fatimah seperti bulan cantiknya.

Fatimah adalah al-Musyabbah. Al-Qamar atau bulan adalah al-Musyabbah bih.. Manakala  al-Jamal adalah wajh al-Syabh. Dan huruf kaf yang bermaksud seperti adalah adat al-Tasybih. Contoh di atas adalah contoh tasybih yang lengkap atau sempurna lantaran ia mempunyai keempat-empat unsur utamanya.
Namun begitu, tasybih masih lagi dikira sempurna atau memadai sekalipun wajh al-Syabh digugurkan. Ia disebut tasybih mursal mujmal  مُرْسَل مُجْمَل)). Demikian juga jika adat al-Tasybih digugurkan sedangkan wajh al-Syabh ada, tasybih masih dianggap memadai. Ia dinamakan tasybih mu’akkad mufasshal (مُؤَكَّد مُفَصَّل) .

Sementara simile pula ialah perumpamaaan atau perbandingan dan bersifat eksplisit. Simile menyamakan sesuatu objek atau perkara atau hal atau situasi dengan objek atau perkara atau hal atau situasi yang lain dengan menggunakan kata-kata perbandingan.
            Ia mengandung dua bahagian iaitu subjek utama dan bahan bandingan. Ringkasnya, ia membandingkan dua perkara; A dan B.  Biasanya simile menggunakan perkataan seperti bagai, bak, macam, umpama, laksana, persis dan seperti.
Sebagai contoh:         
    Stornya bersepah seperti sarang tikus.
            Subjek utama bagi simile di atas ialah stor, dan bahan bandingannya ialah sarang tikus. Biasanya bahan bandingan mengandung imej iaitu kata atau ungkapan yang membentuk sesuatu perkara yang boleh ditanggap oleh deria.
            Justeru, apabila diperincikan sedemikian, kelihatan sedikit perbezaan antara tasybih dan simile. Pada dasarnya, simile adalah tasybih, namun tidak semua tasybih adalah simile. Hanya tasybih mursal mufasshal dan tasybih mursal mujmal boleh dianggap sebagai simile kerana ia menggunakan adat al-Tasybih atau kata bandingan. Tasybih yang tidak menggunakan adat al- Tasybih tidak boleh disamakan dengan simile, tetapi sudah termasuk dalam kategori metafora.


0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP