Rabu, Februari 16, 2011

MASJID PULAU SEBANG DALAM BAHAYA


Jumaat lalu, dalam perjalanan menuju ke Serdang, saya seperti biasa akan melalui Hutan Percha untuk ke Tol Tampin/Simpang Ampat. Tiba di Pulau Sebang, Melaka - bersempadan dengan Negeri Sembilan - waktu Zuhur sudah masuk lalu saya berhenti untuk bersolat Jumaat.

Saya memang jarang-jarang melalui Tampin tetapi lebih gemar melewati Pulau Sebang apabila mahu ke ibu kota. Suasana desanya harmoni mendamaikan. Lebih-lebih lagi jika singgah di Masjid Pulau Sebang yang terletak di tepi sebatang sungai.

Beberapa kali juga saya singgah di masjid itu. Panorama di situ cukup menarik. Sebuah masjid desa yang cukup sederhana di tepi sebatang sungai yang mengalir tenang. Berdiri di tebing sungainya yang agak tinggi itu juga sudah menenangkan. Cuma 3-4 meter dari kaki lima masjid.

Cukup saya ingat, pada satu petang Sabtu dalam tahun 2007 - bila mana saya berulang-alik ke Lembah Pantai setiap minggu -. tatkala singgah untuk bersolat asar, saya bertemu beberapa orang kanak-kanak yang memikul joran sesudah memancing di anak sungai berhampirannya. Mereka membasuh haruan dan keli yang menjadi hasil tangkapan petang itu di paip wuduk masjid.


Lantas saya bersolat Jumaat di situ. Nyaman. Ada pendingin hawa di dalamnya. Sejurus solat, saya mendekati tebing sungai di sebelah kanan masjid. Ternyata, ada bahaya yang sedang menanti rumah Allah itu.

Tebingnya separuh runtuh. Sebahagiannya sudah jatuh ke bawah dihakis air. Pagarnya juga runtuh.  Barangkali akibat hujan lebat dan bah yang melanda Melaka dua minggu lepas. Saya kaku memerhatikannya. Tidak mustahil masjid ini boleh runtuh jika berlaku sekali lagi hujan lebat dan banjir besar dalam skala yang serupa. Air yang deras mampu melarikan tebing lalu merobohkan tiang masjid.

Entah mengapa, ingatan saya lekas kembali kepada novel Imam yang dikarang Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Betapa sebuah masjid kampung dalam novel itu boleh runtuh akibat perbuatan tangan-tangan manusia gila.

Dan Masjid Pulau Sebang itu boleh sahaja menerima nasib yang serupa jika tidak diselamatkan segera.

2 komentar:

man ahmad,  11:35 PTG  

ustaz yazid,
kalo ADUN kawasan situ meninggal dunia (nau'zubillah),pasti cantik tebingan sungai tersebut dibaiki dengan kadar segera.. "memang sudah dlm perancangan kami pihak kerajaan untuk membaiki tebingan ini, ini bukan kerana sebab PRK"...
(tersenyum sinis dlm hati)

Zaid Akhtar 8:09 PTG  

Akibat tangan-tangan manusia juga, Tuan Man. Macam Bandar Segamat yang tidak lagi selamat. Pembangunan meragut segalanya.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP