Ahad, Mac 27, 2011

BAHASA ARAB KOMUNIKASI & PELAJAR CINA

Sewaktu mula-mula mengajar dulu, saya masih ingat benar apabila diminta mengajar Bahasa Arab Komunikasi (BAK) bagi kelas Tingkatan 3 yang akan mengambil PMR pada tahun tersebut. Saya posting awal bulan Ogos 2001, awal Oktober mereka sudah memasuki dewan peperiksaan. Dua bulan genap cuma tempohnya untuk saya mempersiapkan mereka. Saya masih ingat beberapa pelajar saya gagal subjek tersebut dengan beroleh F. Saya bengang kerana saya kira saya gagal dalam tugasan tahun pertama. Namun mereka berjaya. Ya, berjaya dalam usaha untuk keluar dari sekolah agama berasrama. Mereka tidak akan layak masuk ke mana-mana SMKA sekiranya gagal subjek tersebut!

Itulah realitinya. Mengajar BAK untuk kelas-kelas calon PMR bukanlah tugas yang mudah. Ia tugas paling mencabar dan kadangkala sangat menekan di sesetengah SMKA dan sekolah yang ada Kelas Aliran Agama. Prestasi sekolah bagaikan bergantung kepada subjek BAK. Andai ada seorang sahaja yang gagal, cukuplah. Sasaran 100% dalam PMR akan terlepas dari genggaman sekolah dan guru-guru bahasa Arab pastinya akan menjadi sasaran dan dipersalahkan. Guru bukan sekadar dituntut memiliki dedikasi yang tinggi tetapi juga harus pintar memotivasikan pelajar (yang segelintirnya mahu keluar dari asrama lalu sengaja membiarkan diri mereka gagal) agar mereka mencuba sedaya mungkin untuk sekurang-kurangnya lulus.

Malah saya masih ingat, kami guru-guru bahasa Arab terpaksa pula berhadapan dengan pihak PPD daerah yang membuat post-mortem kemudiannya selepas keputusan diumumkan. Dan biasanya juga disusuli oleh pihak jabatan pelajaran. Apa sahaja alasan boleh sahaja diberi ketika diminta, tetapi telinga juga haruslah bersedia 'menadah' segala.

Mulai 2005, saya tidak  lagi mengajar calon-calon PMR. Saya memilih untuk mengajar Bahasa Arab Tinggi bagi calon SPM. Ia ternyata lebih tenang dan kurang menekan, meskipun masa pengajarannya dulu sangat sedikit - 4 masa seminggu. Cukuplah empat lima tahun saya mendepani tugasan maha berat itu. Namun sehingga kini, saya sangat mengormati guru-guru yang mengajar BAK untuk PMR kerana mereka hebat menahan tekanan dan sangat berdedikasi. Ia bukan kerja enteng. Saya sudah merasai cabarannya dan akibatnya jika ada calon yang gagal untuk lulus atau tidak ramai yang berjaya beroleh A.

Artikel dalam Harian Metro hari ini, entah mengapa, mengingatkan saya kenangan sewaktu mengajar BAK untuk PMR dulu. Kisah seorang pelajar Cina yang menerima anugerah Maulidur Rasul baru-baru ini saya kira amat istimewa. Moga calon-calon PMR yang mengambil BAK akan tercabar apabila membacanya.


BERBANGSA Cina, tetapi berjaya membuat kejutan apabila memperoleh pangkat A dalam subjek Bahasa Arab Komunikasi dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.
Di atas kecemerlangan itu, anak kelahiran Jelawat, Bachok, Kelantan itu, turut menjadi sebutan apabila terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan Februari lalu. Itu keistimewaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soo Yen, 16.

Fasih berbahasa Melayu dan Arab, Soo Yen mengakui bukan mudah untuk dia mencapai kejayaan berkenaan kerana perlu berdepan tentangan keluarga dan mengambil masa lama untuk menguasai subjek dipilih itu.

“Pada mulanya keluarga membantah (memilih subjek Bahasa Arab Komunikasi) kerana tidak yakin dengan kemampuan saya. Keluarga terutama ibu bimbang saya tidak mampu menguasai subjek berkenaan.
"Namun, dengan semangat dan kesungguhan, saya berusaha keras selama tiga tahun sebelum dapat menguasai subjek itu, sekali gus mampu bertutur dalam bahasa Arab. Untuk menguasainya saya beri tumpuan khusus kepada subjek berkenaan dan memastikan mendapat pangkat A setiap kali menduduki ujian atau peperiksaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Menurut Soo Yen yang aktif dalam Persatuan Bahasa Arab di sekolahnya, keinginannya untuk memilih bahasa Arab didorong pengaruh rakan sebaya sejak dari usia tiga tahun lagi.
“Ketika itu, saya turut mengikuti kelas Fardu Ain dan mempelajari al-Quran. Rakan memberi dorongan supaya saya cuba untuk menguasai bahasa Arab. Apabila masuk ke tingkatan satu, saya terus memilih subjek Bahasa Arab Komunikasi sehing­galah berjaya menguasainya. Selain usaha keras, kejayaan diperoleh adalah hasil bantuan dan sokongan daripada keluarga, guru dan rakan sebaya,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik yang bercita-cita menjadi pensyarah itu berkata, anugerah Maulidur Rasul yang diterimanya tidak pernah diimpikannya kerana dia hanya mahu melakukan sesuatu yang mencabar dan luar daripada kebiasaan. “Ketika diberitahu terpilih untuk menerima anugerah itu, saya memang terkejut. Apapun, anugerah diterima menguatkan lagi semangat saya untuk terus mencipta kejayaan pada masa depan. Saya akan terus berusaha melakukan sesuatu perkara yang mencabar, kerana bagi saya perkara yang sukar akan menjadi lebih senang jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan tidak jemu untuk menimba ilmu dengan individu yang lebih berpengalaman,” katanya yang memperoleh 9A dalam PMR.

Ditanya mengenai kehidupan seharian, Soo Yen mengakui dia lebih dekat dengan kehidupan orang Melayu. "Di sekolah saya berkawan dengan pelajar Melayu. Di rumah pula, dengan ibu dan ayah saya bertutur dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, saya tidak melupakan bahasa dan budaya asal saya,” katanya.

Bagi ibu Soo Yen, Soo Ah Khem, 46, anak sulungnya mula memilih untuk belajar bahasa Arab ketika memasuki tingkatan satu. Katanya, Soo Yen memang minat mendalami bahasa Arab walaupun pada awalnya dia kurang yakin dengan kemampuan anaknya itu. “Saya masih ingat, ketika kami melarangnya mengambil subjek itu, muka anak saya berubah dan prestasinya juga menurun. Melihat perubahannya yang mendadak itu, saya dan suami mengambil satu pendekatan untuk memberikan peluang kepada anak kami belajar apa saja bahasa yang diminatinya. Apabila dia meyakinkan kami bahawa akan lulus subjek itu, saya tidak lagi membantah,” katanya yang juga kakitangan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok.

Menurutnya, Soo Yen banyak mendapat bimbingan guru selain bahan tambahan dan kamus bahasa Arab yang dibeli untuk rujukan pembelajarannya.

4 komentar:

Ummu Ammar 10:39 PTG  

Salam Zaid..Post ini mengingatkan saya pada 6 tahun penuh suka duka mengajar BAK PMR di SMKAS. Pernah..tatkala rakan2 lain gembira dgn result subjek masing2, airmata ini mengalir hanya kerana gagal meluluskan 1-2 orang calon. Itulah cabaran yang tidak dapat dilupakan.

Zaid Akhtar 10:45 PTG  

Salam, Kak Lat.

Stresnya tu lain macam. Buat kita tak senang duduk. :-)

Antara PMR, SPM dan STPM, PMRlah yang paling menekan. Diikuti oleh STPM dan kemudian SPM.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi 9:46 PG  

Assalamualaikum, keluar topik sebentar. Cuba rujuk sini http://pustakaiman.blogspot.com/2010/03/koleksi-buku-najib-kailani.html

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi 9:46 PG  

http://pustakaiman.blogspot.com/2010/03/koleksi-buku-najib-kailani.html

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP