Jumaat, April 29, 2011

SEPASANG WAN YANG BERJASA

Ustaz Wan Saudi muncul di ofis disambut Ustaz Zainal Abidin Sakiran
Saya tidak ingat bila kali terakhir saya bertemu Ustaz Wan Saudi dan isterinya, Ustazah Wan Fauziah. Sekitar pertengahan 90-an barangkali. Kedua-duanya adalah guru saya ketika belajar di SMKAS sekitar 1990-1994 dulu. 

Ustaz Wan Saudi mengajar saya Bahasa Arab Komunikasi Tingkatan 3 untuk menghadapi SRP pada tahun 1992. Berkat bimbingannya dan minat yang mendalam terhadap bahasa Arab, saya beroleh A1. Sementara isterinya mengajar Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah ketika saya di Tingkatan 4 dan 5.

Isnin lepas, kedua-duanya yang sudah pun bersara, datang berziarah ke Segamat, sejurus mengambil anak bongsu mereka di UIAM Gombak. Barangkali terlalu rindu dengan rakan-rakan di segamat setelah pulang dan menetap di Kelantan.

Ustaz Wan Saudi yang kini berusia 68 tahun masih tampak sihat. Tidak banyak berubah saya lihat selain uban yang memutih. Wajahnya seperti dulu - putih kemerah-merahan. Begitu juga isterinya yang enam tahun lebih muda jika tidak silap. Terima kasih, ustazah, kerana masih mengenali saya. Moga Tuhan merahmati kalian berdua.

Ah, segalanya terasa bagai baru berlaku. Memang selalunya saya dijentik nostalgia apabila bertemu guru-guru lama yang banyak berjasa, yang hampir dua dekad tidak bersua muka. Dan kini, saya pula berdiri di sini, menggantikan tempat mereka. Begitulah masa "mengusiakan" kita.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP