Ahad, Julai 24, 2011

HIJAB TEKONG SEPAK TAKRAW
 
Cahaya Permata Fahrani sedang beraksi
“Abang Syahir hebat. Naj … Naj kagum dengan abang.”
Lidah saya kelu tiba-tiba. Tergegau saya sejenak. Rasanya telinga saya tidak tersalah. Denyutan nadi hampir sama lajunya dengan degupan jantung. Sudah menggunung pujian saya terima, tetapi tidak sama dengan pujian yang saya dengar kali ini. Tidak pernah saya alami pengalaman begini.
“Tiba-tiba Naj rasa kagum melihat kesungguhan Abang Syahir.” Dia menarik nafas. “Kesungguhan Abang Syahir dalam mempertahankan prinsip.”
“Maksud Najlah?”
“Tak ramai orang yang macam abang. Dalam dunia badminton ni, hanya abang seorang. Naj tabik dengan ketegasan abang untuk berpakaian menutup aurat ketika bermain.”
Saya menghela nafas lega. Debaran sedikit merosot.
“Sebetulnya, lepas baca Mingguan Riadah hari tu, lepas dengar kata-kata abang, Naj berfikir; kenapa Naj tidak menjadi seperti abang?” luahnya lagi. “Kenapa seorang pemain lelaki seperti abang bersungguh-sungguh mahu menutup aurat, sedang Naj sendiri seorang perempuan Islam membiarkan aurat ni terbiar dipandang orang lain?”
Saya terkasima. Bagai tidak percaya dengan apa yang saya dengar. Kalau benar ada insan yang terpandu hatinya untuk melaksanakan syariat agama sejurus melihat penampilan dan akhlak saya, alangkah bermaknanya.
“Sebagai pemain, Naj lihat abang adalah contoh terbaik yang boleh Naj ikut.” Wan Najlah tidak berselindung-selindung lagi. “Naj … Naj nak tutup aurat. Naj nak pakai tudung, tapi …”
Subhan Allah!
Saya hampir terlonjak gembira. Ini bukan mimpi, ini benar realiti. Taufik hidayah Tuhan boleh datang bila-bila masa tanpa kita duga.
“Tapi apa, Najlah?”
“Tapi Naj takut. Naj takut dengan pandangan dan kata-kata orang-orang di sekeliling kita. Naj bimbang tak sekuat abang.”
Ya. Perkara yang baik-baik kadangkala dipandang serong pada mulanya. Saya pernah mengalami situasi itu. Memang perit. Tapi saya nekad. Yakin dengan rahmat Allah. Keberkatan menjadi keutamaan.

Memo: Fragmen novel  keempat saya,  Justeru Impian di Jaring, 2007.

KUALA LUMPUR 22 Julai – ”Hijab” dan pakaian yang menutup aurat tidak menghalang tekong dari skuad wanita Indonesia, Cahaya Permata Fahrani membuat libasan kencang ketika beraksi di Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2011 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa hari ini.
Cahaya Permata, 18, berkata, beliau tidak merasa kekok walaupun memakai ”hijab” dan seluar panjang ketika beraksi di mana-mana kejohanan sekalipun. "Sebagai Muslimah saya rasa bangga beraksi di gelanggang tanpa mendedahkan aurat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau yang mula berjinak dengan sukan sepak takraw pada 2006 berkata, pada pendapatnya tidak menjadi kesalahan wanita Muslim bertudung aktif dalam sukan selagi menjaga aurat seperti yang disyariatkan oleh agama Islam.
Atlet Indonesia yang berasal dari Sumatera Selatan itu berkata, beliau mula memakai ”hijab” pada 2007 sebagai menunaikan nazarnya terpilih menyertai Sukan Kejohanan Olahraga Nasional Indonesia (PONI) 2007.Cahaya Permata yang belajar di Universiti Sri Wijaya, Kalimantan itu berkata, impiannya selepas ini adalah untuk beraksi di temasya Sukan SEA, Indonesia pada hujung tahun ini. – Bernama

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP