Ahad, Julai 03, 2011

KEMBARA BEIJING : Catatan iii

Bangun awal pagi. Sejurus solat subuh, mata masih mengantuk. Maklum sahaja subuh masuk jam 2.47 pagi. Tepat jam 8 pagi, sesudah bersarapan, terus menaiki bas persiaran. Hari ini ada perjalanan memenatkan menanti kami. Terasa risau juga memandangkan sudah lama tidak menapak dalam jarak yang agak jauh. Namun saya fikir, ia tidak seteruk menapak dalam cuaca musim rontok yang ekstrim di Eropah pada November-Disember 2010 lalu. 

Berlatarkan layar lebar di dataran
Destinasi kami hari ini adalah Medan Tiannanmen. Medan atau dataran paling bersejarah di China saya kira. Nama dataran bandar terbuka yang terluas di dunia ini saya dengar pertama kali pada 1989 sewaktu belajar dalam Darjah 6. Apalagi yang membuatkannya terkenal selain perhimpunan pelajar dan rakyat pada 15 April hingga 4 Jun 1989. Meskipun banyak lagi peristiwa berbentuk perarakan atau pengumuman bersejarah yang berlaku di dataran ini, namun ia tidak dapat menandingi kemasyhuran Bantahan Medan Tiannanmen atau disebut juga Tragedi Berdarah Tiannanmen yang menelan korban ribuan nyawa pelajar dan rakyat marhaen ketika itu. 

Luas amat
Ming yang menjadi pemandu pelancong kami sibuk bercerita di dalam bas tentang trgaedi berdarah susulan demonstrasi tersebut. Walau bagaimanapun ceritanya jauh menyeleweng dari apa yang saya baca dari pelbagai sumber dan yang saya tonton di History Channel sebelum ini. Sekadar mampu menggeleng. Saya faham ketakutan yang dialami oleh penduduk Beijing seperti Ming yang tidak berani mengungkapkan kebenaran yang mereka simpan selama-lamanya di hati. Bercakap tentang peristiwa tersebut tanpa menurut versi yang 'disejarahkan' oleh kerajaan di khalayak ramai, boleh menghantar seseorang itu ke penjara. Bukankah China sebuah negara komunis terbesar di dunia.

Muzium Kebangsaan China
 Atau barangkali Ming bercerita berdasarkan buku sejarah yang dipelajarinya. Ya. Buku sejarah tidak semuanya benar. Fakta yang kita baca dalam sesebuah buku, tidak semestinya tepat dan mewakili kebenaran; barangkali sudah diubahsuai mengikut sisi pandangan pemerintah, demi kepentingan pemerintah. Itu sudah dilakukan sejak zaman-berzaman. Yang ikhlas berjuang dan berkorban bermati-matian, didakwa pembelot, pengganas dan pengkhianat. Sebaliknya yang bersekongkol dengan penjajah, pengampu kolonial, penjual agama, dan perasuah tegar, didendangkan pula sebagai wira dan serikandi. Itu banyak berlaku di mana-mana negara. Justeru, usah mudah terpedaya dengan topeng sejarah yang sering menjadi senjata ampuh yang menjajah minda selama-lamanya tanpa sedar.

Medan Tiannanmen luas amat. Entah mengapa saya lekas terkenang Medan Tahrir di Kaherah yang pernah saya lewati dua kali. Dengan kapasiti lebih sejuta orang berhimpun di Medan Tahrir mampu menumbangkan rejim Hosni Mubarak yang keji dan zalim, inikan pula jika rakyat Beijing memenuhi seluruh Tiannanmen. Dan entah mengapa, tidak semena-mena, saya lekas juga terkenang Dataran Merdeka!

Bergambar beramai-ramai sebelum menyeberang Lebuh Chang'an
Menuju Pintu Tiannanmen sesudah melalui terowong bawah tanah yang merentasi Lebuh Chang'an
Sebetulnya, dataran ini terletak antara dua buah pintu gergasi yang dibina pada zaman silam, iaitu Tiannanmen di utara dan Zhengyangmen di selatan. Di sepanjang sisi barat terdapat Dewan Besar Rakyat. Sepanjang sisi timur pula ialah Muzium Kebangsaan China (yang dikhususkan untuk sejarah China sehingga tahun 1919). Lebuh Chang'an yang digunakan untuk perarakan pula terletak antara Pintu Tiannanmen dan Dataran Tiannanmen.

Menghampiri Pintu Tiannanmen
Di hadapan potret besar Mao Zedong

Menapak di Medan Tiannanmen memang agak melenguhkan, namun mengambil foto di setiap sudutnya juga boleh dikira mengasyikkan. Setelah puas menapak dari selatan ke utara, sebelum melepasi Lebuh Chang'an, pada bangunan agam yang dinamakan Pintu Tian'an di seberangnya, kelihatan jelas potret agam Mao Zedong yang menubuhkan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949. Inilah pemimpin ulungnya yang berjaya menjadikan China sebuah negara komunis hingga ke hari ini.

Merentasi Pintu Tiannanmen menuju ke Kota Larangan

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP