Selasa, Jun 28, 2011

ISRA' WA MI'RAJ

Doa yang meruntun hati sebelum selesai kuliah
Selepas bersolat maghrib, terus berkereta ke Masjid Kampung Jawa kira-kira 5 kilometer dari kediaman saya. Niat saya hanya dua. Menghadiri ceramah Isra' wa Mi'raj sempena esok 27 Rejab 1433 yang disampaikan oleh Prof Muhd. Kamil Ibrahim dan seterusnya bersolat isyak berjemaah di sana.

Menurut Prof, itulah kali pertama beliau mendapat peluang berceramah di kariahnya sendiri. Alhamdulillah, tercapai juga hajat dan lintasan hati Prof yang bakal berhijrah ke Madinah untuk bertugas di Universiti Toyyibah kira-kira dua bulan lagi. Saya dapat melihat betapa gembiranya dia. Dengarnya, Prof dan isteri sudah mewakafkan banglo Ar-Raudhah yang didiaminya sekarang kepada PERKIM Segamat untuk dijadikan markas kegiatan dakwah dan ilmu. Subhan-Allah. 

Seperti biasa, ceramah Prof akan cuba membawa sisi yang berbeza. Namun lazimnya beliau tidak akan lupa menyebut tentang solat berjemaah dan qiam yang sudah diceramahkannya lebih 2000 jam. Tentang sifat syukur seorang Nabi. Tentang sifat sabar yang sebenar bila menjadi mangsa banjir.

Ya, betapa agungnya sifat ar-Rahman-Nya yang memberi kelonggaran solat daripada 50 waktu kepada 5 waktu. Betapa agungnya sifat ar-Raheem-Nya yang mengurniakan waktu sepertiga malam untuk sekalian hamba.

Read more...

Ahad, Jun 26, 2011

KEMBARA BEIJING : Catatan ii

Amin@Ming beragama Islam. Masih bujangan pada usia akhir 30-an. Salah seorang pemandu pelancong yang sangat laris di ICT (Islamic China Tours). Kefasihannya berbahasa Melayu mengagumkan. Katanya, dia graduan Beijing Foreign Studies University yang menjurus dalam Pengajian Melayu. Justeru, bahasa ibunda kita tidak menjadi masalah baginya. Lagu Ayat-ayat Cinta nyanyian Rossa menjadi nada dering telefon bimbitnya.

Amin memperkenalkan dirinya. Mesra
Ming dan temannya yang memandu bas persiaran akan menemani kami sepanjang 6 hari di China. Perjalanan dari Tianjin ke Beijing memakan masa 2 jam. Jalan tidak macet. Cuaca juga tidak terlalu panas. Kami tidak terus ke hotel sebaliknya dibawa untuk mengisi perut di sebuah restoran Islam di pinggir Beijing.Alhamdulillah, perut memang sudah lama mendendangkan lagu keroncong sebenarnya.

Restoran halal orang-orang Islam Xinjiang
Menanti hidangan diedarkan satu demi satu

Juadah makan malam. Bawang besar dan kobis wajib ada.
Hampir jam 5 petang, kami tiba di sebuah restoran halal. Kebanyakan restoran Islam di Beijing katanya dimiliki oleh Muslim dari etnik Uygur yang menetap di Beijing. Etnik Uygur adalah etnik majoriti di wilayah Xinjiang atau dulunya dikenali sebagai Turkistan Timur. Insya-Allah, saya akan menulis sebuah entri khusus tentang etnik ini memandangkan saya membawa bersama sebuah buku berjudul Cerita Minoriti Muslim di China untuk dibaca sepanjang permusafiran kami. Buku tulisan Ann Wang Seng itu saya beli di PBAKL 2011 di PWTC awal Mei lalu.
Tiba di hotel Tai Shun yang dikelilingi deretan kedai-kedai kecil
Hotel Tai Shun yang menjadi lokasi penginapan kami
Jam 6.30 petang, kami tiba di Hotel Tai Shun setinggi 7 tingkat. Saya kira ia bertaraf 3 atau 4 bintang. Bagi peserta yang masih belum bersolat jama' takhir masih boleh melakukannya kerana Maghrib masuk jam 7.35 malam. Saya sudah menunaikan jama' taqdim di lapangan terbang. Malam itu kami lena awal sebelum Isyak. Letih. Subuh esok masuk jam 2.47 pagi.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP