Korban 1433H

Selasa, Oktober 30, 2012

Ia sunnah yang dituntut. Seperti tahun-tahun sebelumnya, keluarga kami melaksanakan ibadah korban lagi. Alhamdulilah. Kali ini 3 ekor lembu tumbang. Moga ia korban yang diterima dan menjadi tunggangan kami di akhirat.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya rasa begitu besar maknanya bila Eidil Adha datang. Bersyukurlah kepada-Nya yang memberikan lebihan rezeki kepada kita untuk melaksanakan tuntutan yang disebut dalam ayat kedua surah al-Kauthar.

Allahu akbar. Allahu akbar. Allahu akbar. Wa lillahil hamd.


Read more...

Hadis Fitan i

Ahad, Oktober 21, 2012

SEMAKIN SINGKATNYA MASA

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
لا تقوم الساعة حتى يتقارب الزمان، فتكون السنة كالشهر، ويكون الشهر كالجمعة، وتكون الجمعة كاليوم، ويكون اليوم كالساعة، وتكون الساعة كاحتراق السعفة                                                                                                                رواه الإمام أحمد بسند صحيح 
Ertinya:
Dari Abu
Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda; "Tidak akan terjadi Kiamat sehingga masa menjadi singkat; maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".
                                                                                                           Hadis riwayat Imam Ahmad 

Syarah:
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlajak jauh, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa. 

Menurut sebahagian ulama, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Kalau dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya Kiamat.

Read more...

SALJU SAKINAH DARI PERSPEKTIF "KHASA'IS AT-TASAWWUR AL-ISLAMIY" (Siri 1)

Khamis, Jun 21, 2012


oleh Dr Rahmah H. Osman (UIAM)
(dibentangkan dalam Diskusi Karya Mantan MPR 2008 pada 2 Ogos 2008 di Dewan Seminar DBP)

Sastera pada pandangan Sayyid Sayyid Qutb  adalah ta‘bîr mËÍin ‘an qiyamin hayyah yan fa‘ilu bihã Ìamîr al fannãn, takbir yang diilhamkan dari nilai –nilai yang hidup (yang peka) yang bergolak dalam jiwa artis tersebut. Pada pandangan Sayyid, adalah suatu perbuatan yang sia- sia untuk cuba mengasingkan sastera dari nilai-nilai ini. Al adab (sastera) dan al fann al Islamiy (seni Islam) pula adalah adab wa fann muwajjah, muwajjah bi tabî‘at al tasawwur al Islamiy lil Íayãh wa irtibãtãt al kã’in al basyari fîhã, sastera yang bermisi dan terarah. Bermisikan dan terarah oleh sifat semula jadi al tasawwur al Islamiy tentang kehidupan, dan komitmen harian manusia sebagai seorang Muslim dalam kehidupan sehariannya. Misi yang terkandung dalam (fikrah Islãmiyah) fikiran keislaman itu dengan sendirinya adalah (tabî‘at harakiyyah dãfi‘at) insentif yang dinamik untuk berkreativiti, mengarang dan mencipta, untuk membangun dan mencapai sesuatu matlamat. Islam tidak memerangi bidang seni tetapi memerangi sebahagian al (tasawwurãt) pandangan- pandangan “views” dan (al qiyam) nilai- nilai atau unsur- unsur yang dikemukakan oleh bidang seni. Islam ngin mengantikan tempat unsur dan nilai- nilai yang materialistik ini dengan tasawwurasãt “views” dan nilai- nilai yang lebih bermakna yang berupaya untuk mengurniakan dan melahirkan keindahan yang ulung, terbit dari al tasawwur al Islãmiy. Oleh itu, seni dan sastera Islam mempunyai (manhaj muÍaddat) kaedah yang tertentu yang mesti dipraktikkan dalam segala lapangannya. Dengan itu akan lahirlah seni dan sastera yang merupakan suatu penggambaran atau pengolahan yang lahir dari jiwa expression of the soul” yang diselubungi overwhelmed oleh nilai dan perasaan keislaman. 
"التعبير الناشئ عن امتلاء النفس بالمشاعر اﻹسلامية"
Sastera dalam pandangan Sayyid Qutb adalah takbir muwajjah adalah ungkapan yang diilhamkan yang terhasil tatkala jiwa seniman terusik oleh nilai-nilai yang bernyawa dan segar (hayyah). Sungguhpun nilai-nilai ini berbeza-berbeza dari satu individu ke satu individu yang lain, namun yang pasti, nilai-nilai ini terbit/lahir dari gambaran/ pandangan yang tertentu tentang kehidupan, iaitu dari al taÎawwur yang tertentu.

Sastera Islam adalah sastera yang mempunyai misi dan terarah dan sastera Islam mempunyai kaedahnya yang khas yang wajib diterapkan. Persoalannya di sini, apakah arah dan misi yang dimaksudkan di sini? Apabila jiwa manusia telah terbiasa dan selesa dengan world view Islam tentang kehidupan, dengan sendirinya jiwa tersebut akan dapat mengenali  dan merasakan bentuk-bentuk seni yang tidak bercanggah dengan world view Islam tersebut. Sastera Islam bukan sastera yang semata-mata memperkatakan tentang Islam, sejarah Islam atau tentang personaliti tertentu yang terkenal dalam Islam. Adapun sastera Islam adalah sekadar  ungkapan yang lahir dari jiwa yang telah dipenuhi dengan perasaan  dan intuisi (intuition) keislaman. 

Oleh itu proses pengkaryaan Islam harus bermula dengan memahami Islam itu dengan kefahaman yang betul dan tepat. Islam tidak boleh dibahagi-bahagikan. Dalam erti kata yang lain, Islam bukanlah sekadar mentafsirkan ayat- ayat al-Quran atau hadis di satu penjuru, kemudian berdakwah untuk berjihad di satu penjuru, kemudian memaparkan suatu adegan sejarah di satu penjuru, kemudian sastera atau seni di suatu penjuru dan penyelarasan cara pemerintahan kerajaan di suatu penjuru. Tidak, ini bukan cara Islam. Ini adalah kerana Islam adalah suatu pandangan tentang hidup, yang sempurna. Islam adalah minhaj, program yang konklusif, kamil dan komprehensif. 

Adalah sukar untuk memahami apa jua aspek yang berkaitan dengan Islam sekiranya kita tidak dapat memahami Ïabî‘at Islam itu sendiri sebagai satu kesatuan yang sempurna dan saling menyempurnakan. Islam bukan sekadar slogan- slogan yang patut dilaksanakan. Islam bukan sekadar da‘awah berbentuk moral. Islam bukan sekadar sistem pentadbiran atau sistem untuk ekonomi atau sistem untuk hubungan antarabangsa. Kesemua di atas hanya merupakan aspek-aspek tertentu dalam Islam dan bukanlah Islam secara keseluruhan. 

Cara berkarya dan berseni dalam Islam tidak terbatas sekadar memaparkan realiti tentang yang baik dan buruk, tentang kekuatan dan kelemahan, tentang yang kurang dan yang sempurna. Ia tidak juga terbatas sekadar memaparkan gambaran idealistik yang “partial” dan “biased” yang hanya dapat dilaksanakan dalam ‘alam yang khayal dan angan-angan. Islam melakarkan dalam jiwa individu gambaran yang tertentu tentang kehidupan. Jiwa individu tersebut membiasakan diri dengan pandangan tersebut. Jiwa tersebut akan cenderung untuk merealisasikan pandangan tersebut dalam bentuk kegiatan kreatif dengan rasa bertanggungjawab dengan membangunkan seluruh kehidupan berdasarkan pandangan tersebut.    

Sayyid Qutb telah menamakan ciri-ciri al-tasawwur al-Islami seperti berikut:
1.    Rabbaniyya (Ketuhanan) - Lordship.
2.    al-Harakah (Kesinambungan) - Constancy.
3.    al Thabat (Tetap) - Permanence.
4.    al Shumul (Komprehensif) - Comprehensiveness.
5.    al TawÉzun ( Keseimbangan) - Balance.
6.    Al Ijãbiyyat (Positif) - Positive.
7.    al Waqi‘iyyat (Realisme) - Realism.
8.    al TawÍîd (Keesaan) - Divine Oneness.

Rabbaniyya adalah ciri yang asas yang tidak boleh digantikan atau di perkecilkan. Seluruh aspek kewujudan manusia bermula dan berakhir dengan ciri ini. Sungguhpun manusia berupaya untuk menjangkau cakerawala dengan fikiran dan jiwanya, fungsi manusia dalam ‘alam ini masih terbatas kepada memenuhi peranannya sebagai khalifah Allah yang diciptakan untuk tujuan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah (Sayyid Sayyid Qutb, 1988: 45- 75).

Ciri kedua dan ketiga, al-harakah dan al-Thabat pula bermakna bahawa sungguhpun pembangunan dan perubahan terus-menerus berlaku dalam masyarakat Muslimin, akan tetapi berlegar di sekitar suatu kerangka yang mengandungi prinsip-prinsip yang tetap dan tidak berubah. Ini menunjukkan bahawa kandungan dan nilai- nilai Islam adalah abadi dan tidak berubah sedangkan aspek- aspek kehidupan sesuatu masyarakat dan cara mereka mengendalikan sesuatu perkara berbeza –beza di antara satu sama lain (Sayyid Qutb, 1988: 75- 95).

Ciri keempat , komprehensif bermula dengan faktor asasi iaitu pengiktirafan tentang keesaan Allah dan bahawa Allah berada di sebalik kejadian ‘alam ini. Islam memiliki pendekatan (approach) yang komprehensif dan berintegrasi (integrated) yang baik. Pendekatan ini meliputi konsepsi berhubung dengan “conscience” (kesedaran) dan perancangan (planning) dalam kehidupan manusia. Dalam erti kata lain, perlakuan “external” (luaran) manusia haruslah menuruti atau berdasarkan kepada kepercayaan dan pemikirannya. Dan ini adalah suatu “reflection” (refleksi) tentang prinsip Rabbaniyya (Sayyid Sayyid Qutb, 1988: 95- 118).

Al-Tawãzun adalah suatu “norm” (norma) di antara “the absolute divine” dan “the laws of the universe” peraturan ‘alam ini. Ciri al-Tawazun ini pula menghasilkan positiveness. Islam bersifat positif, aktif, berupaya (willing) dan dominan (Sayyid Sayyid Qutb, 1988: 119- 150).

Ciri ketujuh, al- Wãqi‘iyyat, Realisme. Islam menganggap manusia sebagai suatu entiti yang realistik (kã’in waqi‘iy) yang dibezakan oleh ciri-ciri tertentu (Sayyid QuÏb, 1988: 169- 188). Ciri kelapan, al TawÍîd, adalah paksi al-Tasawwur al-Islãmî. Seorang Muslim percaya bahawa Allah adalah “Supreme Ruler”, Pentadbir, dan Perancang kehidupan manusia, hubungannya sesama manusia, dan Penghubung kepada ‘alam ini dalam kehidupan secara umum (Sayyid Qutb, 1988: 189- 207).

Dalam konteks sastera Islam oleh kerana sastera Islam adalah suatu ungkapan yang menggambarkan/ membicarakan tentang ‘alam, manusia dan kehidupan dari perspektif                 al-Tasawwur al-Islami, maka hasilnya adalah:
1.    Dalam konteks Rabbaniyya, Sastera Islam haruslah sentiasa menggambarkan fungsi manusia di dunia ini terbatas sebagai khalifah dan hamba Allah. Tidak ada tempat untuk watak- watak seperti Hercules, half man half God.
2.    Dalam konteks harakah dan thabãt, “movement within a fixed boundary around a fixed axis” penulis Sastera Islam bebas bergerak dan berfungsi memperkatakan dan menceburi apa jua lapangan dalam tulisannya, tetapi yang tetap dan pasti adalah ia harus tidak terkeluar dan menyalahi nilai- nilai Islam.
3.    Sastera Islam juga bersifat syumul, komprehensif. Ia merangkumi segala aspek. Tidak ada segragation di antara ‘ibadat dan muamalat. Segala kegiatan manusia termasuk sastera dan seni adalah termasuk ibadat dengan syarat tidak menyalahi nilai-nilai Islam. Ini bermakna there is no such thing as sastera dan seni Islam dan kemudian sastera dan seni yang tidak ada kena mengena dengan Islam. Sebagai seorang Muslim, kita dikehendaki menerapkan nilai- nilai Islam dalam segala aspek kehidupan. Tidak boleh ada “double standard” dalam Islam. 
4.    Dalam konteks al-Tawãzun, sastera Islam mesti mengamalkan ciri balance. Tidak boleh excessive dalam sesuatu aspek dan mengabaikan aspek yang lain. Perlu ada keseimbangan dalam nilai seni dan mesej atau amanat yang hendak diutarakan. Jangan sampai kerana nama seni, aspek amanat mendukung nilai-nilai Islam diabaikan. Begitu juga jangan atas nama berdakwah, nilai- nilai seni diabaikan atau diremeh-temehkan.
5.    Sastera Islam perlu bersifat al-Ijãbiyyah, positif. Misalnya, dalam menggambarkan kehidupan manusia, penulis sastera Islam perlu bersikap positif dan tidak hanya menggambarkan ciri-ciri negatif seperti sikap berputus-asa, kegagalan dan kemusnahan- “Inna ma‘al ‘Usrî yusrã”.
6.    Sastera Islam harus bersifat realistik kerana Islam adalah agama yang realistik. Manusia tidak pernah di suruh melaksanakan sesuatu di luar kemampuannya- “Lã yukallifu nafsan illã wus ‘ahã”.
7.    Sastera Islam mesti mendukung hakikat Keesaan Allah. Tidak boleh ada percanggahan dan sekutu. Tidak ada tempat untuk watak-watak atau adegan yang mempertikaikan keesaan Allah.      
Maka dengan itu, sastera Islam adalah sastera yang bertanggung-jawab. Yang ada iltizam. Bukan sastera dan seni yang menggambarkan dan melakarkan adegan-adegan lucah dengan alasan menggambarkan realiti kehidupan, kemudian tidak berani bertanggung-jawab menghadapi consequencesnya terhadap masyarakat yang sudah tertagih dengan adegan-adegan tersebut as a direct result dari pemaparan adegan lucah tersebut. Di antara faktor- faktor yang perlu diberi perhatian dalam menghasilkan sastera Islam adalah:

1.    Sastera Islam bukan sastera yang memandang mudah tentang aspek-aspek kesenian dalam penulisan. Islam amat mengambil berat tentang aspek-aspek seni dan dalilnya adalah al-Quran itu sendiri.
2.    Sastera Islam menekankan peri pentingnya isi kandungan fikiran yang terdapat dalam sesuatu penulisan.
3.    Sastera Islam membicarakan dan meliputi segala aspek kehidupan.
4.    Sastera Islam mengamalkan sifat amanah dalam menggambarkan tentang suatu realiti kehidupan.
5.    Sastera Islam tidak membuang masa membicarakan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah ‘abath. “Afa Íasibtum annamã khalaqnãkum ‘abathan wa annakum ilainã lã turja‘Ën” (Mukminun: 115).
6.    Sastera Islam bukan qawã‘id jãmidah kaedah yang lapuk dan beku. Malah seperti Islam itu sendiri, sastera Islam bersifat innovatif dan refreshing.
7.    Sastera Islam adalah sastera yang berjiwa sedar (adab al Ìamîr al Íay), sastera yang lahir dari naluri yang luhur adab al wijdãn al salîm, sastera bertasawwur yang betul, sastera yang aspek khayalnya membangun bukan dongeng dan pasif dan sastera yang berperasaan yang luhur dan lurus.
8.    Sastera Islam adalah sastera yang menekankan wudhuh (jelas) dan tidak mengelirukan. Sastera Islam tidak mungkin terhasil kecuali jika terbit dari zat (suatu entiti) yang telah dikurniakan nikmat untuk merasakan apa itu keyakinan. Dari zat yang bahagia dengan rasa keyakinan tersebut. Dari zat yang telah terpaut dengan manhaj (sistem) Allah.

Sebagai kesimpulan, sastera Islam adalah:
1.    Ungkapan seni yang indah dan berkesan.
2.    Terbit dari zat yang beriman.
3.    Adalah terjemahan tentang kehidupan, manusia dan ‘alam sekitar.
4.    Berlandaskan asas- asas ‘aqidah seorang Muslim.
5.    Membangkitkan keseronokan (mut‘ah) dan bermanfaat.
6.    Penggerak atau stimulus fikiran dan perasaan.  
7.  Senantiasa bersiap sedia dan tidak teragak-agak untuk mengambil sesuatu pendirian dan keputusan dan bertindak dengan mengambil sesuatu langkah yang diperlukan. (Najib al Kaylani, 1992; 32- 36). 

Read more...

DISKUSI ILMU

Isnin, Jun 04, 2012

Sejak mula bercuti pada 30 Mac 2012, saya memang sentiasa mencari peluang untuk menambah ilmu yang boleh membantu saya mempersiapkan diri sebelum mula menulis. Ia amat penting untuk saya mengekalkan momentum memandangkan saya kadangkala tenggelam sendiri lantaran tinggal berjauhan dari universiti.  Justeru, saya memaksa diri menghadiri kelas yang saya fikirkan perlu terutamanya yang berkaitan teori dan falsafah kesusasteraan. Terima kasih kepada pensyarah yang mengizinkan saya mustami (menumpang hadir) dalam kuliahnya.

Pada hari Khamis, 31 Mei 2012, saya berasa beruntung kerana dapat menghadiri sebuah diskusi bagi kuliah BBK 6202: Teori & Falsafah Kesusasteraan, di Bilik Sarjana Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM yang telah dihadiri oleh Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dari ATMA, UKM. Perbincangan berlegar tentang Syarahan Inaugural beliau dan Gagasan Persuratan Baru. Cukup kagum saya menyaksikan stamina Prof Ungku menyampaikan ilmunya selama dua jam tanpa henti.

 
Prof Ungku Maimunah sedang menurunkan autografnya pada buku Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu yang merupakan syarahan inaugralnya apada 2007.

Read more...

Selasa, Mei 29, 2012

10 TAHUN MERAIKAN CINTA


Kekasih,
pada ulangtahun kesepuluh
meraikan cinta ini 
ingin kuungkapkan
dari dasar kalbu yang paling dalam:

Terima kasih kerana sudi 
berkongsi perih dan ria
di jalanan hayatku
lalu kita saling
memberi dan menerima.



Read more...

SELEPAS SALJU SAKINAH

Sabtu, April 07, 2012


Akhirnya yang dinanti-nanti tiba jua. Selepas Salju Sakinah terbit pada 2008, inilah buku saya yang terbaru. Ia merupakan kumpulan cerpen saya yang pertama. Dan setelah hampir 19 tahun menulis, baru tahun ini dapat menghimpunkan dan menerbitkan kompilasi cerpen peribadi. 

Kumpulan cerpen ini adalah koleksi cerpen remaja yang saya karang dari tahun 1997 hingga 2008. Ada 15 buah cerpen semuanya. Ada beberapa cerpen lain juga yang saya gugurkan, Namun cerpen-cerpen yang menjadi semacam titik taaruf saya kepada segolongan pembaca masih saya senaraikan. Antaranya, cerpen Nil Masih Mengalir, Cinta Kala Gegar Jakarta, Risik, Pendedahan dan beberapa lagi.

Terima kasih kepada pihak Telaga Biru yang bersedia menerbitkan kumpulan cerpen ini. Sebetulnya, tidak banyak penerbit yang sudi menerbitkan antologi sebegini berbanding novel dan buku umum yang lebih mendapat sambutan dalam pasaran. Moga kolaborasi ini memberi manfaat bersama.

Selamat menikmati Bayu Dingin Mediterranean!

Read more...

NIL 9 TAHUN

Rabu, April 04, 2012


Moga engkau menjadi anak yang solehah dan taat kepada ibu bapa.

Read more...

SESEKALI DI FPI

Sabtu, Mac 10, 2012

Saya akan hadir pada slot kedua yang bermula sekitar jam 11.00 pagi. 
Insya-Allah.

Read more...

PRAPROMOSI II

Ahad, Februari 19, 2012


Majlis Perwakilan Pelajar di Universiti Yarmouk diwakili oleh barisan I’tilaf Islamiy sering mengadakan protes secara aman dalam skala yang kecil tetapi agak kerap di kampus. Apalagi yang menjadi sasaran mereka jika bukan Zionis Yahudi yang menceroboh bumi Palestin milik sanak-saudara mereka. Saya sering tersentuh melihatkan perarakan kecil mahasiswa di Yarmouk yang dilakukan demi ‘berkongsi rasa’ dengan saudara kita di sana.

Dalam catatan saya, cerpen Bayu Dingin Mediterranean ini disiapkan pada cuti sempena Hari Natal 1997. Ia merupakan cerpen pertama yang saya hantar ke media cetak di Malaysia sepanjang pengajian saya di Jordan. Jarak antara Irbid dan sempadan Palestin bukanlah jauh – lebih kurang 40 kilometer. Meskipun dekat, namun kerana ‘penjajahan’ Zionis Yahudi, menyebabkan jarak sebegitu terasa jauh. Alangkah beruntungnya jika saya dapat ke sana!

Read more...

MEMBACA PRUF

Rabu, Februari 15, 2012



Antologi cerpen ini menghimpunkan 15 buah cerpen remaja yang saya hasilkan dari tahun 1997 sehingga 2008. Mungkin boleh dikatakan sebahagiannya bernuansa Islami dan dua pertiga daripadanya berlatarkan Timur Tengah. Barangkali tidak keterlaluan jika ia dianggap mewakili diri saya sepanjang tempoh tersebut.

Apabila menyambung pengajian di Jordan pada akhir Ogos 1995, saya pada mulanya menyepi beberapa ketika sebelum menulis semula setelah terlibat dalam sidang redaksi majalah suara kampus Tanjung Puteri yang diterbitkan oleh Badan Kebajikan Pelajar Johor Jordan (BKPJJ). Bayu Dingin Mediterranean ialah cerpen pertama yang saya kirimkan ke media tanah air. Kemudian diikuti oleh Risik dan Cinta Kala Gegar Jakarta yang tersiar dalam majalah Muslimah hanya selang beberapa bulan sahaja pada tahun 1998. Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Menulis bukan sekadar berkreatif mencari kepuasan peribadi, bahkan ibadah yang perlu saya laksanakan sebagai salah satu cabang dakwah.

Pengalaman bermastautin beberapa tahun di Jordan ternyata memberi sedikit kelebihan kepada saya untuk mengangkat latar Timur Tengah dalam karya. Selain cerpen-cerpen yang disebutkan tadi, saya menulis beberapa cerpen lagi seperti Darah Pejuang, Nil Mengalir Songsang dan Nil Masih Mengalir sepanjang berada di sana. Kebanyakan karya pada fasa mengaji ini selain tersiar dalam media tanah air, diterbitkan juga oleh majalah-majalah suara kampus seperti Tanjung Puteri, Reformis, Permai, Wacana Minda, Puteri Nasuha di Jordan dan SUKEJ di Mesir.

 Insya-Allah ...


Read more...

PRAPROMOSI

Khamis, Februari 09, 2012

akan muncul tidak lama lagi ...

Read more...

HANG TUAH & PENDEDAHAN

Selasa, Januari 31, 2012

Apabila polemik Hang Tuah "dipanaskan" oleh Prof Khoo Kay Kim seminggu dua ini, saya lekas teringatkan sebuah cerpen saya yang pernah mengusik "legenda" tersebut beberapa tahun lalu. Judulnya Pendedahan. Ia tersiar  dalam Mingguan Malaysia 3 Oktober 2004.

Ketara, "watak" Hang Tuah memang cukup kuat menguasai kita, masyarakat Melayu khususnya. Justeru, berpuluh-puluh karya interteks daripada Hikayat Hang Tuah dihasilkan, waima dalam genre prosa dan puisi mahupun genre filem dan drama/teater. Seingat saya, watak Hang Tuah sudah beberapa kali diangkat ke dalam filem tempatan. Antaranya, Hang Tuah (1956) arahan Phandi Majundar, Hang Jebat (1961) arahan Hussein Haniff, Puteri Gunung Ledang (1961) arahan S. Romai Noor, dan Puteri Gunung Ledang (2004) arahan Saw Teong Hin. 

Malah, watak ini juga “dibawa” secara fiksyen ke zaman moden dalam filem Tuah (1988) yang dibintangi Jamal Abdillah, dan filem XX-Ray II (1995) arahan sutradara terkenal, Aziz M. Osman. Selain itu, “perdebatan” yang menyuguhkan pertikaian “siapa benar siapa salah” melibatkan watak Tuah dan Jebat turut ditemukan dalam drama atau teater seperti yang pernah diangkat oleh Usman Awang, Rahim Razali dan beberapa karyawan lain.
 
Pendedahan juga adalah sebahagian daripada karya-karya yang melakukan interteks terhadap Hikayat Hang Tuah. Saya tergerak untuk segera menyiapkan cerpen ini sejurus membaca tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam sudut sastera Mingguan Malaysia bertarikh 29 Ogos 2004. Rencananya yang berjudul Hang Tuah Dianggap Sebahagian Sejarah Melaka – Hebatnya Sebuah Hikayat  banyak mencetus persoalan dalam kepala saya yang selama ini sememangnya lebih meyakini bahawa Hang Tuah hanyalah mitos semata-mata. 

            Antara lain Ku Seman menyatakan:

“Kalau melihat kepada periodiknya, Hang Tuah hidup pada abad ke-14. Sementara pada awal abad ke-15 iaitu 1511 empayar Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Meletakkan Hang Tuah abad ke-14 sebagai merujuk kepada kedatangan Laksamana China, Zheng He (Cheng Ho) ke Melaka. Sementara Zheng He pula dikatakan membawa puteri Maharaja China, Hang Li Po. Bagaimanapun Hang Li Po tidak ada dalam sejarah China atau Melaka.


Kepada kita Hang Tuah adalah laksamana yang maha hebat, menewaskan Patih Karma Wijaya dari Majapahit, menjadi pengutus ke negara China dan orang pertama melihat wajah Maharaja China selain orang yang bertanggungjawab melarikan Tun Teja dari Terengganu untuk diberikan kepada Sultan Melaka. Semua kehebatan ini diterima sebagai sejarah oleh sebahagian besar daripada kita. 

  Tetapi dalam buku 1421: TheYear China Discovered America tulisan Gavin Menzies yang menjejak kembali laluan Laksamana Zheng He, nama Hang Tuah sebagai laksamana Melaka tidak tercatat. Buku setebal 551 halaman itu ada menyebut tentang Sultan Melaka semasa Cheng Ho singgah di Melaka. Masakan orang kanan sultan seperti Hang Tuah tidak wujud di sisi Sultan Melaka? Ini satu bukti bahawa watak Hang Tuah (seorang Melayu dan laksamana) adalah mitos dan hanya ditulis pada 1621 dalam Hikayat Hang Tuah.” 


 Di samping itu, pertikaian sama ada Hikayat Hang Tuah adalah sebuah karya sejarah (faktual) atau fiksi (sastera) sudah pun diperjelaskan oleh Kassim Ahmad selaku penyelenggaranya. Menurut Kassim Ahmad: “Hikayat Hang Tuah bukan karangan sejarah. Ia sebuah karya sastera Melayu lama, sebuah karya yang asli.” (Hikayat Hang Tuah, DBP, 1975: xiv).


Justeru, saya beranggapan bahawa watak Hang Tuah adalah mitos rekaan seorang sasterawan agung misteri yang menulisnya pada kurun ke-17. Bahkan pangkal nama “Hang” juga meninggalkan keraguan kepada kita tentang bangsa sebenar Hang Tuah. Barangkali ia berbangsa Melayu, Cina, Keling, Jawa, Bugis, Acheh, Siam, Benggali, dan pelbagai lagi kaum yang tinggal di Melaka waktu itu. Uniknya watak ini adalah keupayaannya bertenggek di atas sejarah Melaka membuatkan ia lebih kelihatan sebagai sejarah berbanding hikayat.

Segala proses kreatif yang saya alami dalam menghasilkan Pendedahan ada diterbitkan dalam buku Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen yang diselenggarakan oleh Mawar Shafei dan Nisah Haji Haron. Sebahagian tulisan di atas dipetik dari esei saya dalam buku tersebut.

Read more...

8

Selasa, Januari 17, 2012

Alhamdulillah. Genap 8 tahun blog ini beroperasi. Meskipun Facebook lebih menjerat perhatian, namun fungsi blog tetap tersendiri dan kekal relevan. 

Terima kasih kepada para pengunjung yang sudi mengikuti blog saya yang seadanya ini. Mohon maaf kerana jarang-jarang mengemaskininya. Mengikut rekod, tahun 2011 adalah tahun paling kurang blog ini dikemaskini. Cuma 33 kali sahaja. Mudah-mudahan, pada tahun ini, saya diberi kekuatan untuk lebih aktif menulis dan berkongsi di sini. Insya-Allah.

Dua tahun lalu, saya ada mencatatkan serba ringkas sejarah kelahiran blog ini pada tanggal usianya yang keenam.

Terima kasih sekali lagi.

Kullu 'aam wa antum bi alfi khayr.

Read more...

AMAL MAHU KE SEKOLAH

Khamis, Januari 05, 2012

Hari pertama. Nil di sisi Amal yang sudah bersiap awal untuk ke Raudhah.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP