HANG TUAH & PENDEDAHAN
Selasa, Januari 31, 2012
Apabila polemik Hang Tuah "dipanaskan" oleh Prof Khoo Kay Kim seminggu dua ini, saya lekas teringatkan sebuah cerpen saya yang pernah mengusik "legenda" tersebut beberapa tahun lalu. Judulnya Pendedahan. Ia tersiar dalam Mingguan Malaysia 3 Oktober 2004.
Ketara, "watak"
Hang Tuah memang cukup kuat menguasai kita, masyarakat Melayu khususnya. Justeru,
berpuluh-puluh karya interteks daripada Hikayat Hang Tuah dihasilkan,
waima dalam genre prosa dan puisi mahupun genre filem dan drama/teater. Seingat
saya, watak Hang Tuah sudah beberapa kali diangkat ke dalam filem tempatan.
Antaranya, Hang Tuah (1956) arahan Phandi Majundar, Hang Jebat (1961)
arahan Hussein Haniff, Puteri Gunung Ledang (1961) arahan S. Romai Noor,
dan Puteri Gunung Ledang (2004) arahan Saw Teong Hin.
Malah,
watak ini juga “dibawa” secara fiksyen ke zaman moden dalam filem Tuah
(1988) yang dibintangi Jamal Abdillah, dan filem XX-Ray II (1995) arahan
sutradara terkenal, Aziz M. Osman. Selain itu, “perdebatan” yang menyuguhkan
pertikaian “siapa benar siapa salah” melibatkan watak Tuah dan Jebat turut
ditemukan dalam drama atau teater seperti yang pernah diangkat oleh Usman Awang,
Rahim Razali dan beberapa karyawan lain.
Pendedahan juga
adalah sebahagian daripada karya-karya yang melakukan interteks terhadap Hikayat Hang
Tuah. Saya
tergerak untuk segera menyiapkan cerpen ini sejurus membaca tulisan Ku Seman Ku
Hussain dalam sudut sastera Mingguan Malaysia bertarikh 29 Ogos 2004.
Rencananya yang berjudul Hang Tuah Dianggap Sebahagian Sejarah Melaka –
Hebatnya Sebuah Hikayat banyak
mencetus persoalan dalam kepala saya yang selama ini sememangnya lebih meyakini
bahawa Hang Tuah hanyalah mitos semata-mata.
Antara lain Ku Seman
menyatakan:
“Kalau
melihat kepada periodiknya, Hang Tuah hidup pada abad ke-14. Sementara pada
awal abad ke-15 iaitu 1511 empayar Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun
1511. Meletakkan Hang Tuah abad ke-14 sebagai merujuk kepada kedatangan
Laksamana China,
Zheng He (Cheng Ho) ke Melaka. Sementara Zheng He pula dikatakan membawa puteri
Maharaja China, Hang Li Po. Bagaimanapun Hang Li Po tidak ada dalam sejarah China atau
Melaka.
Kepada
kita Hang Tuah adalah laksamana yang maha hebat, menewaskan Patih Karma Wijaya
dari Majapahit, menjadi pengutus ke negara China dan orang pertama melihat
wajah Maharaja China selain orang yang bertanggungjawab melarikan Tun Teja dari
Terengganu untuk diberikan kepada Sultan Melaka. Semua kehebatan ini diterima
sebagai sejarah oleh sebahagian besar daripada kita.
Tetapi
dalam buku 1421: TheYear China Discovered America tulisan Gavin Menzies yang menjejak kembali
laluan Laksamana Zheng He, nama Hang Tuah sebagai laksamana Melaka tidak
tercatat. Buku setebal 551 halaman itu ada menyebut tentang Sultan Melaka
semasa Cheng Ho singgah di Melaka. Masakan orang kanan sultan seperti Hang Tuah
tidak wujud di sisi Sultan Melaka? Ini satu bukti bahawa watak Hang Tuah
(seorang Melayu dan laksamana) adalah mitos dan hanya ditulis pada 1621 dalam
Hikayat Hang Tuah.”
Di samping itu, pertikaian sama ada Hikayat Hang Tuah adalah sebuah karya sejarah
(faktual) atau fiksi (sastera) sudah pun diperjelaskan oleh Kassim Ahmad selaku
penyelenggaranya. Menurut Kassim Ahmad: “Hikayat Hang Tuah bukan
karangan sejarah. Ia sebuah karya sastera Melayu lama, sebuah karya yang asli.”
(Hikayat Hang Tuah, DBP, 1975: xiv).
Justeru, saya beranggapan bahawa watak Hang Tuah adalah
mitos rekaan seorang sasterawan agung misteri yang menulisnya pada kurun ke-17.
Bahkan pangkal nama “Hang” juga meninggalkan keraguan kepada kita tentang
bangsa sebenar Hang Tuah. Barangkali ia berbangsa Melayu, Cina, Keling, Jawa,
Bugis, Acheh, Siam, Benggali, dan pelbagai lagi kaum yang tinggal di Melaka
waktu itu. Uniknya watak ini adalah keupayaannya bertenggek di atas sejarah
Melaka membuatkan ia lebih kelihatan sebagai sejarah berbanding hikayat.
Segala proses kreatif yang saya alami dalam menghasilkan Pendedahan ada diterbitkan dalam buku Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen yang diselenggarakan oleh Mawar Shafei dan Nisah Haji Haron. Sebahagian tulisan di atas dipetik dari esei saya dalam buku tersebut.

2 komentar:
Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.
Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang Jakun (Winstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.
Terima kasih atas perkongsian yang tuan berikan.
:-)
Catat Ulasan