Jumaat, November 14, 2008
Menyorot Sastera.com di Berita Harian Semalam
Novel Dakwah pikul tugas bantu pembaca
oleh: Nazmi Yaakub
BLOG Zaid Akhtar Online di alamat http://www.myzaidakhtar.blogspot.com berkongsi impian penulisnya, Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar untuk menjadikan penulisan novel dakwah sebagai usaha pengarang Muslim melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar, sekali gus membentuk generasi ulul albab.
Pengarang itu berharap karya dakwah yang dihasilkannya mampu mencapai sasaran menjadikan novel dakwah sebagai model kepada pembaca dengan mewujudkan watak protagonis pelajar Islam yang memiliki cita-cita tinggi dan kuat semangat Islam serta mempunyai sifat baik atau mahmudah, bijak bertindak dan sensitif dengan hal ehwal sekelilingnya.
“Dalam novel dakwah, watak sebegitu yang perlu ditonjolkan sebagai qudwah hasanah atau contoh yang baik agar pembacanya terkesan dengan bahan bacaan terbabit.
Graduan Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Arab) daripada Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan, ini mengakui masyarakat sering dilambakkan dengan karya berbau cinta ‘asyik-masyuk’, hanyut tenggelam dan melalaikan sehingga karya berunsurkan dakwah perlu hadir sebagai alternatif kepada pembaca.
Sungguhpun demikian beliau tidak melarang mereka yang berkecenderungan menghasilkan novel cinta, beliau mengingatkan agar karya tampil dengan kisah cinta yang terkawal dan selari dengan batas Islam seperti tidak bergaul bebas, patuh ibu bapa dan taat memelihara syariat.
“Karya dakwah yang mempunyai jati diri Islam dan Melayu di negara ini mampu bertindak sebagai perisai kepada pembaca genre ini dalam menghadapi serangan budaya dan pemikiran buruk yang bertali arus daripada pelbagai arah,” katanya.
Baca lanjut Read more...