Selasa, Disember 15, 2009
SAYEMBARA : TERUJA ATAU JAHIL ETIKA?
Mungkin kerana ghairah. Mungkin kerana teruja ingin berkongsi. Atau mungkin juga kerana tidak tahu etikanya. Ya, segalanya mungkin.
Saya bukanlah pihak terbaik untuk mengulas seputar hakcipta sesebuah karya, tetapi saya rasa ada baiknya saya "mengusik" sedikit berkenaan isu yang agak "kurang wajar dan tidak manis" dalam kalangan penulis generasi baharu yang mesra dengan teknologi siber.
Kira-kira tiga tahun lepas, apabila diumumkan senarai pemenang sayembara novel yang dianjurkan oleh sebuah agensi, saya tertarik melihat beberapa judul novel yang terpilih menjadi pemenang utamanya. Bukan senarai pemenangnya menjadi persoalan, tetapi ada dalam senarai novel yang menang itu judulnya pernah saya dengar dan baca sepintas lalu di internet sebelum itu. Ya, judulnya sama dan watak-watak utama yang disebut dalam ulasan ringkas panel hakim yang disiarkan menerusi sebuah majalah juga sama. Dan penulisnya pula adalah dalam kalangan generasi baharu yang baru menulis atau pertama kali menulis. Namun tanda tanya itu saya pendamkan setahun dua. Mungkin saya tersilap pandang, apatah lagi novelnya belum terbit untuk dinilai pembaca.
Bagaimanapun, setahun lalu, apabila saya bertemu seorang pegawai yang terlibat dalam penerbitan buku pemenang sayembara itu, tanpa disangka-sangka dia bercerita kepada saya hal yang telah saya diamkan sekian lama. Jelaslah bahawa telahan saya selama ini benar. Meskipun novel tersebut belum terbit, tetapi pegawai terbabit mengesahkan bahawa pihaknya telah mengesan dan mendapati bahawa novel itu telah disiarkan sebahagiannya di internet. Dalam kata yang lebih mudah, pengarang telah menyiarkan novel tersebut (atau dinamakan cerpen bersiri) secara berperingkat di internet selama beberapa lama, kemudian dalam pada masa yang sama membaiki novel itu lalu dikirim kepada penganjur sayembara untuk dipertandingkan. Lebih menarik lagi, novel itu memang sudah ada pengikutnya di alam siber.
Tujuan saya mengusik isu sebegini tidak lain dan tidak bukan kerana ia melibatkan sikap atau etika. Tambahan pula ia melibatkan penulis generasi baharu yang mungkin tidak sedar "batasan" yang dilanggarnya. Hukumnya pula adalah "haram" kerana pengarang telah melanggar syarat-syarat peraduan yang tidak "menerima" karya yang sudah tersiar/terbit dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan situasi di atas berlaku bukan sekali, tetapi beberapa kali bahkan merebak ke sebuah sayembara lain.
Tidak berapa lama dahulu, teman saya seorang staf di sebuah penerbitan pula memberitahu bahawa terdapat beberapa manuskrip novel yang dihantar oleh penulis baharu untuk menyertai sayembara yang dianjurkan oleh pihaknya melakukan perkara yang sama. Mujurlah pihak penganjur yang mesra siber dapat mengesannya lalu menggugurkannya dari senarai penilaian. Jangan terperanjat jika khabarnya ada manuskrip yang telah disiarkan dari A hingga Z di blog penulis terbabit sedangkan keputusan sayembara belum diumumkan pun.
Mungkin kerana ghairah. Mungkin kerana teruja ingin berkongsi. Atau mungkin juga kerana tidak tahu etikanya. Ya, segalanya mungkin.
6 komentar:
Salam USTAZ,
Penulis lapis baru, memang banyak yang begitu, walaupun banyak yang berbakat besar. Hendak cepat popular, hendak cepat kaya, dan hendak cepat semuanya. Mereka bukan tidak terfikir ttg kewajaran atau peraturan/syarat, tetapi sentiasa percaya bahawa tidak akan ada yang tahu sikap buruk mereka itu. Sayangnya, seringkali mereka tersilap.
Salam Zaid,
Izinkan saya berkongsi pandangan.
Soal hak cipta tidak timbul di sini. Isunya ialah melanggar syarat-syarat pertandingan. Penulis itu telah 'menerbitkan' karyanya yang dihantar ke pertandingan itu. Dengan itu, penganjur berhak membatalkan hadiahnya.
Soal bagaimana mahu mendapatkan hadiah itu semula, ada banyak cara untuk menguruskannya. Cara kasar : minta semula saja. Alasannya mudah. Penganjur memang ada hak, walaupun hadiah itu sudah diberikan kepada penulis.
Namun, lihat semula sama ada penulis itu sendiri tahu ataupun tidak akan perbuatannya yang melanggar syarat pertandingan. Ramai benar penulis yang tidak tahu bahawa :
a) tulisan yang tersiar di blog / laman web ialah suatu bentuk penerbitan (published work)
b) menghantar tulisan (dalam kes ini novel) yang sudah terbit tidak kiralah di mana-mana sekalipun ke sayembara dikira sebagai melanggar syarat.
Penganjur ada pilihan. Kalau didiamkan dan diterbitkan juga, ertinya penganjur 'menggalakkan' hal ini berlaku dan sudah mencetuskan 'precedent'. Selepas ini, penulis lain juga boleh buat perkara yang sama dengan menggunakan alasan, "penulis A dulu boleh saja hantar manuskrip yang sudah terbit di blog dia!"
Penganjur harus lebih bertegas. Menghukum penulis itu bukannya kerana dengki dia menang ataupun seumpamanya. Menghukum penulis itu sebagai pengajaran kepada penulis lain yang sama-sama jahil, supaya tidak mengulangi.
Salam Ustaz,
Perkara sebegitulah yang paling saya takuti. Oleh sebab itu, sudah menjadi prinsip saya tidak menghantar sebarang tulisan saya di blog ke mana-mana syarikat penerbitan. Saya amat yakin, penulis yang mengambil jalan singkat itu sebenarnya sedang "menyingkatkan" hayatnya dalam bidang penulisan karya kreatif.
salam.
Tuan Azhar,
moga iktibarnya diambil bersama.
Puan Nisah,
pengarang orangnya tentu terpelajar dan harus peka dengan syarat penyertaan. tapi ia tidak berlaku. mereka menganggap penyiaran di media siber itu tidak termasuk dlm "apa bentuk sekalipun".
Cikgu Nizar,
bukan salah hantar atau disiar di blog, tapi janganlah untuk masuk peraduan.
Salam,
Saya hanya mahu memberikan satu pandangan alternatif. Mohon difikirkan.
Malangnya, penulis yang menulis di blog belum lagi dikira sebagai penulis yang diterbitkan. Kredibiliti diragui sehingga diterbitkan dalam bentuk buku.
Sekiranya tidak boleh mengaku sebagai penulis keraena hanya menerbitkan di blog, bermakna karya tersebut tidak "diterbitkan".
Menulis di blog tidak dianggap penulis. Tetapi, tidak dibenarkan menyertakan penulisan tersebut walaupun baik kerana dikira sebagai "terbitan".
Ini adalah suatu ketidakadilan pada penulis.
Sekiranya, kita fikir bahawa penulisan yang lahir di blog sebagai khusus untuk pembaca blog itu sahaja yang boleh memberi komen, ia sebenarnya sama seperti memberikan kepada seorang editor yang menyunting karya, cuma dalam aspek ini, editornya lebih ramai yang membantu memperbaiki karya.
Saya fikir ini suatu moraliti/dimensi hakcipta baru yang dibawa oleh internet dan kita harus mendefinasikan idea "penerbitan" semula sebelum kita membuat sebarang rumusan.
Wallahua'alam.
Saya belum melakukannya kerana penulis di blog (walaupun novel/cerpen) masih tidak dikira sebagai "penulis" serius dan saya tidak mahu kredibiliti saya dipersoalkan, walaupun kadang-kadang, mahu sahaja ikut turut serta kerana mungkin itu jalan karya sampai ke khalayak.
Wallahua'alam.
Wassalam.
Salam.
Kak S.K,
Saya percaya definisi 'penerbitan' yang diberikan oleh Kak Nisah itu adalah penerbitan dari sudut undang-undang hak cipta. Memang sesebuah karya akan dikira telah terbit sebaik ia sampai kepada khalayak. Dalam hal ini, walaupun sekadar disiarkan dalam blog, ia tetap sampai kepada khalayak umum. Melainkanlah kalau misalnya blog itu disetkan hanya kepada pembaca-pembaca terpilih sahaja yang boleh melayari -- maka dalam hal itu barulah mungkin analogi mengirimkan kepada editor untuk dikomen boleh digunapakai.
Ustaz Zaid,
Kalau tak silap saya ada juga seorang penulis mapan yang sudah sampai tingkat tertinggi kesusasteraan, tetapi masih melakukan hal yang sama. Dalam sebuah buku autobiografinya ada satu bab yang menceritakan secara agak rinci akan novelnya yang telah siap ditulis tapi belum diterbitkan. Kemudian tup-tap, apabila sebuah sayembara mengarang novel yang agak besar anjuran DBP mengumumkan pemenang, novelnya ternyata tersenarai sebagai penerima salah satu hadiah utamanya. Sedangkan isi novel itu secara sangat rinci sudah pernah diturunkan dalam bab buku autobiografinya itu. Dan orang sudah tahu tajuk novel itu adalah karangannya. Hal ini tentu sekali tidak adil kerana salah satu syarat sayembara ialah manuskrip itu hendaklah bersifat anonymous -- agar panel hakim dapat bersikap adil dalam menilainya.
Wassalam.
Catat Ulasan